Jawapan
YB. LIM HOCK SENG
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
29. (a) Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dibesarkan supaya dapat menerima pesawat bersaiz besar seperti A380 dan memiliki kapasiti pengurusan penumpang melebihi kapasiti semasa iaitu 6.5 mppa (million passenger per annum). Pada masa ini, jumlah pengurusan penumpang di LTAPP telahpun mencapai 6.1 mppa. Hasrat ini telah disuarakan kepada Kerajaan Pesekutuan melalui permohonan peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) sebanyak RM600 juta memandangkan ianya di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Malaysia.
(b) Cadangan pembinaan sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Baru di Utara Malaysia sedang dijalankan kajian oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM). Hasil dapatan kajian tersebut belum dimuktamadkan dan laporan awal kajian menunjukkan LTAPP berupaya untuk dibesarkan sehingga mencapai kapasiti 20 mppa dengan hanya menggunakan tanah-tanah yang telah dibuat pengambilan balik oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Oleh itu LTAPP tidak akan dipindahkan setakat ini.
(c) Tapak baru lapangan terbang utara masih dalam kajian dan belum mempunyai keputusan. Oleh itu, impaknya kepada ekonomi Pulau Pinang tidak dapat dinyatakan.