Jawapan
11. Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah dan boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melakukan penerokaan bukit bukau secara haram. Tindakan yang boleh diambil ialah:
(i) Pemilik tanah diminta menjalankan/dikenakan syarat-syarat berikut:
(a) Mengarah mengemukakan perancangan kerja-kerja pemulihan tanah.
(b) Memberhentikan segala aktiviti kerja tanah di tapak dengan serta-merta.
(c) Menutup tebing-tebing cerun dengan kepingan geotekstil sebagai langkah sementara dan menanam rumput secara rapat sebagai langkah panjang.
(d) Mengemukakan Pelan Mitigasi Kerja Tanah melalui Jurutera Perunding bertauliah untuk kelulusan Majlis.
(ii) Mengambil tindakan di bawah Seksyen 19 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) kerana menjalankan pemajuan tanpa kebenaran merancang. Hukuman : Jika disabitkan dengan kesalahan denda tidak lebih daripada RM500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya dan berkenaan dengan sesuatu kesalahan yang berterusan, denda tambahan sehingga RM5,000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan yang pertama bagi kesalahan itu;
(iii) Mengambil tindakan di bawah Seksyen 70A (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu menjalankan kerja tanah tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu. Hukuman yang boleh dikenakan : Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima (5) tahun atau denda tidak lebih daripada RM50,000.00 atau kedua-duanya dan bagi suatu kesalahan yang berterusan denda yang boleh meningkat hingga RM500.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan;
(iv) Sekiranya penerokaan itu melibatkan pembinaan bangunan, tindakan juga boleh diambil di bawah seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Hukuman yang boleh dikenakan : Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
(v) Di bawah Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984 ia melibatkan kesalahan melakukan perkara-perkara yang dilarang di dalam Hutan Simpanan kekal. Ini termasuklah penerokaan kawasan bukit bukau di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal untuk sebarang aktiviti aktiviti tanpa lesen/permit
Jumlah kes penerokaan hutan secara haram sejak tahun 2008 mengikut tindakan-tindakan yang telah/boleh digunakan di atas adalah sebanyak 100 kes di mana 68 kes diambil tindakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), 27 kes oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan 5 kes oleh Jabatan Perhutanan.