Jawapan
28. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan sentiasa berusaha dalam meningkatkan keselamatan warga tua, kaum wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) seperti menyediakan tempat khas meletak kenderaan di bangunan-bangunan awam termasuk kompleks membeli belah, laluan pejalan kaki, tandas, pengangkutan awam dan sebagainya.
Antara polisi yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut :
(a) Penelitian terhadap reka bentuk di dalam pelan bangunan yang dikemukakan terutamanya di dalam aspek penyediaan fasiliti dan aksesibiliti kepada golongan OKU warga tua, kaum wanita dan kanak-kanak;
(b) Penyediaan petak letak kereta OKU mengikut MS1184:2014 ‘Universal Design And Accessibility In Built Environment – Code of Practice (2nd Revision)’. MS1184 ini telah diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan sejak awal tahun 2014;
(c) Kerajaan Negeri melalui MBPP juga sedang dalam proses untuk menambah petak letak kereta OKU dengan kemudahan ‘ramp’ secara berperingkat untuk menjamin keselamatan serta memberi keselesaan kepada golongan OKU;
(d) Kerajaan Negeri melalui MPSP pula telah melaksanakan polisi Garis Panduan Rekabentuk Bandar Selamat.
Antara Ciri-ciri Rekabentuk Bandar Selamat yang dijalankan sebagai Senarai Semak Pelan Kebenaran Merancang (PKM) adalah :
(i) Rekabentuk susun atur hendaklah jelas dan kemas (jarak berjalan kaki 400 meter dari pusat kejiranan);
(ii) Mengelakkan kemudahan awam seperti taman permainan kanak-kanak, tandas awam dan depoh sampah di lokasi terpencil;
(iii) Mewujudkan “Corner Shop”, Gerai dan Kiosk bergerak atau tetap di lokasi bersesuaian berhampiran dengan kawasan tumpuan awam;
(iv) Memudahkan pemantauan dan pengawasan orang ramai ke arah tempat letak kenderaan yang boleh menjadi lokasi berlakunya jenayah ragut dan kecurian;
(v) Meningkatkan pengawasan semulajadi orang awam dan mengelakkan tandas menjadi lokasi insiden rogol dan buang bayi;
(vi) Meningkatkan pandangan hadapan yang jelas dan pengawasan semulajadi penguna jalan raya;
(vii) Selekoh tajam dan kecerunan yang mendadak perlu dielakkan;
(viii) Menghadkan akses lorong belakang dan lorong tepi bangunan (pembangunan perumahan sedia ada) dan konsep rumah teres tanpa lorong belakang (bagi pembangunan baru);
(ix) Konsep double frontage, street mall dan bangunan sesebuah bagi pembangunan perniagaan;
(x) Penyediaan laluan pejalan kaki di kawasan perumahan, kemudahan awam dan masyarakat selebar 5 kaki yang berkesinambungan dan tidak terhalang oleh sebarang struktur dan dipisahkan dari laluan bermotor dengan mewujudkan zon penampan atau perabot jalan.
Antara ciri-ciri Reka bentuk Bandar Selamat bagi Senarai Semak Pelan Bangunan (PB) adalah :-
(i) Memastikan pintu, tingkap, ruang legar rumah kediaman menghadap jalan, kawasan lapang dan tempat letak kenderaan;
(ii) Mengelakkan “blind wall”;
(iii) Memastikan ketinggian tembok pagar / tembok pemisah tidak melebihi 5 kaki;
(iv) Tangga kecemasan atau tangga ke tempat letak kenderaan dalam bangunan perlulah dapat dilihat dengan jelas dari luar dan dalam bangunan;
(v) Pintu dan dinding lif perlulah lutsinar. Selain daripada itu syarat dan keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga perlu dipatuhi. Reka bentuk sejagat ini juga boleh digunasama oleh orang yang memerlukan contohnya kanak- kanak dan orang tua.
Antara ciri-ciri yang terkandung dalam reka bentuk sejagat adalah :-
(i) Tempat letak kereta OKU;
(ii) Ramp;
(iii) Tandas OKU;
(iv) Laluan bebas halangan;
(v) Keperluan OKU pada Lif (suara dan butang lif).
Semua syarat dan keperluan yang disenaraikan hendaklah dipatuhi mengikut kategori pembangunan baru bagi memastikan orang tua, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan umumnya masyarakat lebih mudah, selesa dan selamat.
(e) Kerajaan Negeri melalui kerjasama bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Penang Women's Development Corporation (PWDC) juga sedang berusaha memuktamadkan draf 'Gender Checklist for the Built Environment' (nama penuh: 'Senarai Semak Kemudahan Mesra Gender Untuk Persekitaran Terbina'). Setakat Julai 2015, kandungan draf 'Gender Checklist' lebih berdasarkan dokumen Malaysian Standards MS1184: Universal Design and Accessibility in the Built Environment - Code of Practice (Second Revision, Nov 2014), terutamanya bab Annex J: Family-Friendly Facilities. Bab tersebut mengandungi banyak cadangan bernas seperti tandas saiz kanak-kanak, bilik tukar lampin, tempat mainan untuk kanak-kanak dan sebagainya. Beberapa cadangan lain turut dimasukkan seperti parkir wanita dan keluarga ke dalam draf 'Gender Checklist'.