MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Huraikan dengan terperinci rancangan kerajaan negeri dalam meningkatkan kemajuan pelancongan di seberang perai dan apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam membangunkan produk-produk perlancongan di kawasan tersebut
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
YB. LAW HENG KIANG
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
15. Dalam usaha meningkatkan kemajuan pelancongan di Seberang Perai, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Penang Global Tourism (PGT) telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan produk–produk pelancongan di kawasan tersebut seperti berikut:

(i) Menubuhkan Unit Warisan di bawah Jabatan Bangunan bertujuan memantau serta memelihara bangunan-bangunan peninggalan sejarah lama seperti Bangunan Bersejarah, Rumah Tradisional, Homestay dan tapak-tapak kawasan pelancongan. Bangunan-bangunan warisan ini bakal menjadikan Seberang Perai sebagai salah satu tarikan pelancong utama khususnya peminat senibina bangunan serta sejarah lama selaras dengan pengiktirafan Geoge Town sebagai Tapak Warisan Dunia.

(ii) Menubuhkan Jawatankuasa Pelancongan dan Unit Warisan untuk merancang, membangun dan memantau tapak-tapak pelancongan dan warisan Seberang Perai serta menambah baik kawasan/bangunan yang dikenal pasti.


(iii) Menerbitkan Seberang Perai Tourist Map dan Seberang Perai Heritage Map untuk diedarkan kepada pelancong-pelancong melalui Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan, hotel-hotel dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

(iv) Menerbitkan Seberang Perai Coffee Table Book yang mengandungi lokasi tempat-tempat menarik dan bersejarah di Seberang Perai dan telah diberikan kepada hotel-hotel di Seberang Perai.

(v) MPSP dengan kerjasama George Town World Heritage juga telah mengenal pasti warisan ketara di Seberang Perai Utara dan warisan ketara di Seberang Perai Tengah, manakala warisan ketara di Seberang Perai Selatan dilaksanakan pada tahun ini.

(vi) Mengedarkan Tourist Map dan cakera padat (CD) yang mengandungi tempat-tempat menarik kepada peserta-peserta seminar antarabangsa yang dihadiri oleh YBhg. Dato’ Yang Dipertua, Tuan Setiausaha Perbandaran dan pegawai-pegawai MPSP yang menyertai program tersebut.

(vii) Memuatkan naik Seberang Perai Tourist Map, Seberang Perai Heritage Map dan Seberang Perai Coffee Table Book ke dalam laman web MPSP dan juga laman web Pelancongan Negeri Pulau Pinang.

(viii) Menganjurkan Seberang Perai Story pada 26 April 2015 dan 9 Oktober 2015 serta penganjuran Butterworth Fringe Festival pada bulan Ogos 2015 bagi memperkenalkan Seberang Perai kepada orang ramai.


(ix) Menyediakan sebuah pakej pelancongan yang menyatukan kedua-dua bahagian Pulau dan Seberang Perai iaitu Pakej Pelancongan Jambatan Kedua Pulau Pinang. Melalui pakej ini, para pelancong akan dibawa dari George Town melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) ke Auto City, Juru untuk makan malam dan balik ke George Town melalui feri. Pelancong akan dapat menikmati keunikan makanan Pulau Pinang di Seberang Perai serta menikmati keindahan panorama waktu malam bahagian Pulau.
Kembali