MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Penyelidikan dan pembangunan (R & D) adalah penting untuk pembangunan industri berteknologi tinggi. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri supaya membantu menggalakkan lebih banyak kerja R & D dilaksanakan oleh industri dan universiti kita. Apakah hasil yang diperolehi setakat ini dan apakah rancangan untuk masa hadapan.
Dun -
Exco TKW
Perkara Perindustrian (Perusahaan)

Jawapan
Penyelidikan dan pembangunan (R&D) sememangnya merupakan satu aspek yang penting di dalam memastikan pembangunan industri berteknologi tinggi di negeri ini terus berkembang maju dan berdaya-saing. Kerajaan negeri sentiasa komited dan prihatin terhadap usaha-usaha peningkatan keupayaan untuk sektor R&D di negeri ini.

Di antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menggalakkan aktiviti R&D di negeri ini ialah dengan menubuhkan Pusat Sumber dan Penyelidikan Bersama (PSPB) atau lebih dikenali sebagai Collaborative Research and Resource Centre (CRRC). Pusat ini yang terletak di dalam kawasan kampus Universiti Sains Malaysia telah mula beroperasi secara rasminya pada 10hb. Februari, 2003. Penubuhan pusat ini adalah merupakan hasil kerjasama di antara kerajaan negeri dengan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui anak syarikat penuhnya iaitu USAINS Holding Sdn. Bhd.. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan wang sumbangan berbentuk geran sebanyak RM150,000 untuk tahun 2003 dan sebanyak RM150,000 lagi untuk tahun 2004. Pihak USM pula menyediakan ruang pejabat termasuk kemudahan pejabat di Kompleks Eureka, USM. Selain daripada itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula memberikan sumbangan berjumlah RM150,000 untuk tahun 2003 bagi menanggung kos personel dan lain-lain perbelanjaan operasi.

Penubuhan pusat ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menambahkan aktiviti R&D bagi meningkatkan keupayaan dan kepelbagaian sektor pembuatan di negeri ini. Justeru itu, tujuan pusat ini ditubuhkan adalah untuk menyelaras aktiviti R&D bagi meningkatkan rantaian R&D di kalangan institusi penyelidikan universiti dan sektor swasta. Penubuhan pusat ini juga adalah bagi mendapatkan komitmen dan penyertaan sektor swasta untuk memperluaskan aktiviti penyelidikan.

Di antara perkhidmatan yang disediakan oleh CRRC adalah seperti berikut:

i. menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan antara sektor industri dan institusi penyelidikan pengajian tinggi bagi memastikan bahawa sesuatu projek itu mempunyai nilai ekonomi dan berkaitan dengan keperluan industri;

ii. memperolehi atau mendapatkan sumber kewangan samada daripada pihak swasta ataupun pelbagai geran untuk projek-projek R&D yang disediakan oleh Kerajaan untuk pembiayaan projek serta mengenalpasti tenaga manusia yang mahir dan peralatan-peralatan berteknologi tinggi untuk menyokong aktiviti-aktiviti yang strategik;

iii. bertindak sebagai pusat rujukan (one stop centre) di dalam membantu syarikat-syarikat memohon paten dan menggalakkan aktiviti-aktiviti R&D di dalam sektor perkilangan dengan menyediakan buku panduan mengenai kepakaran, sumber-sumber, kemudahan penyelidikan dan pembangunan yang sedia ada daripada organisasi-organisasi yang menyertai;

iv. mengenal pasti keperluan kursus-kursus pembangunan profesional mengikut permintaan semasa serta menyebarkan maklumat mengenai potensi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan serta sumber-sumber kewangan melalui kerjasama USM;

v. mengadakan mesyuarat dan seminar dari semasa ke semasa untuk bertukar-tukar pandangan dan keputusan; dan

vi. mengekalkan satu program perhitungan (foresight) untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul.

Memandangkan pusat ini baru sahaja ditubuhkan, pencapaian ataupun hasil yang diperolehi dalam masa yang singkat ini masih belum dapat dinilai. Walau bagaimanapun, pusat tersebut telahpun mula menganjurkan forum mengenai aktiviti R&D di dalam pelbagai sektor dengan pihak swasta dan juga universiti tempatan dan sambutan yang diperolehi adalah amat menggalakkan. Untuk rancangan masa hadapan, usaha ini akan terus dipertingkatkan dan diyakini akan dapat menarik lebih banyak syarikat swasta dan pusat penyelidikan institusi pengajian tinggi untuk bekerjasama dengan pusat ini di dalam aktiviti R&D.








Kembali