MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan (a) Berapakah jumlah pelaburan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2000, 2001, 2002 dan 2003. (b) Apakah langkah-langkah kerajaan negeri untuk menarik pelabur-pelabur asing. (c) Apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Pulau Pinang. (d) Apakah insentif-insentif istimewa yang disediakan untuk pelabur tempatan dan asing. (e) Apakah sektor perindustrian tertentu yang diberi tumpuan khas oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco TKW
Perkara Pembangunan

Jawapan
(a) Mengikut statistik Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), projek-projek yang diluluskan di Pulau Pinang bagi tahun 2000, 2001 dan 2002 adalah seperti berikut:

Tahun Bil. Projek Jumlah Jumlah
Pekerjaan Pelaburan
(RM juta)
2000 131 15,057 4,442.8
2001 124 14,630 3,837.2
2002 98 12,986 2,337.4

Statistik bagi tahun 2003 belum dikeluarkan oleh MIDA.

(b)& (c)Untuk menarik pelaburan asing ke Pulau Pinang, kerajaan negeri dari masa ke semasa merancang dan menganjurkan misi-misi pelaburan ke luar negara. Di samping mengadakan seminar penggalakan pelaburan untuk menerangkan mengenai kelebihan Pulau Pinang, perjumpaan juga diadakan dengan syarikat-syarikat berteknologi tinggi tertentu yang mempunyai potensi untuk melabur di sini. Strategi promosi 'China + One' telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan persaingan terus dengan China dengan menasihati pelabur agar tidak membuat semua pelaburan mereka di China tetapi menimbang Malaysia sebagai negara alternatif kedua di dalam pasaran Asia. ASEAN dengan jumlah penduduk melebihi 500 juta menawarkan pasaran yang luas iaitu setengah daripada negara China dan dengan pertumbuhan pesat pasaran India dan Timur Tengah, Pulau Pinang berada di dalam kedudukan strategik untuk menjadi pusat pelaburan utama di rantau Asia.

Di samping pelaburan baru, kerajaan negeri juga berusaha untuk menggalakan pelaburan semula daripada syarikat-syarikat sedia ada. Untuk itu, kerajaan negeri telah merancang pelbagai projek penambahbaikkan infrastruktur dan menyediakan suasana pelaburan yang kondusif di Pulau Pinang. Semasa misi pelaburan ke luar negeri, perjumpaan juga diadakan dengan ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat MNC yang sedia ada di Pulau Pinang untuk mengeratkan hubungan dan membincangkan mengenai rancangan masa depan mereka serta menggalakkan pelaburan semula.

Kerajaan negeri juga melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang menjalankan kajian Industrial Customer Feedback (ICF) untuk mendapatkan maklumbalas daripada pihak industri mengenai isu-isu yang dihadapi oleh mereka. Maklumbalas yang diterima gunakan untuk menganalisa pencapaian sektor perindustrian dan membantu di dalam merangka strategi-strategi bagi pembangunan sektor perindustrian di Pulau Pinang. Ia juga bertujuan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan sektor swasta dan menyelesaikan masalah-masalah mereka dengan secepat mungkin.

Kerajaan negeri telah menubuhkan ‘Penang Competitiveness Committee’ (PECO) yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri untuk merangka beberapa strategi dan inisiatif bagi meningkatkan dayasaing Pulau Pinang di dalam sektor pembuatan. Di antara inisiatif PECO adalah penubuhan ‘Collaborative Research and Resource Centre’ (CRRC) untuk menggalak dan menarik kepakaran tempatan melibatkan diri di dalam aktiviti R&D. CRRC adalah kerjasama di antara kerajaan negeri dan USAINS Holding Sdn Bhd dengan objektif utama untuk bertindak sebagai penghubung di antara Institusi Pengajian Tinggi dan industri di dalam bidang R&D serta menyelaras akitiviti R&D di Pulau Pinang. Sektor perindustrian di Pulau Pinang perlu melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti R&D untuk memastikan pembangunan secara berterusan.

Usaha-usaha juga giat dijalankan untuk membangunkan dan meningkatkan daya saing IKS tempatan supaya mereka dapat menyokong syarikat-syarikat multinasional. Kebolehan IKS tempatan untuk membekalkan produk dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa adalah menjadi salah satu faktor tarikan kepada pelabur. Untuk membantu syarikat-syarikat tersebut supaya terus berdayasaing, kerajaan negeri menggalakkan syarikat-syarikat di dalam sektor ini menubuhkan sebuah konsortium ke arah menjadi pengeluar rekabentuk asal (ODM). Inisiatif ini akan menyatukan kepakaran syarikat tempatan untuk menawarkan syarikat MNC dengan perkhidmatan menyeluruh yang termasuk reka bentuk, pembuatan, penghantaran dan perkhidmatan selepas jualan.

Satu lagi usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan daya saing Pulau Pinang adalah projek e-logistik. Projek ini adalah kerjasama di antara PDC sebagai ‘promoter’ Kastam Di Raja Malaysia sebagai agensi pelaksana dan Dagang Net Technology sebagai rakan teknologi. Dua buah syarikat iaitu Intel dan Dell telah menawarkan diri untuk membantu di dalam perlaksanaan projek tersebut. Tujuan utama e-logistik adalah untuk meningkatkan tahap kecekapan pengendalian logistik dan mengurangkan masa penghantaran dari 2 ½ jam ke 30 minit dengan perlaksanaan proses permohonan, pemerosesan dan kelulusan secara ‘online’. Sebanyak 18 buah syarikat logistik, iaitu 9 buah mewakili Intel dan 9 buah lagi mewakili Dell telah mengambil bahagian di dalam ‘pilot run’ yang diadakan pada Ogos 15 hingga Disember 14, 2002. Hasilnya adalah masa penghantaran telah dapat dikurangkan dari 2 ½ jam ke 5 minit sahaja.

Hasil daripada usaha-usaha gigih tersebut, beberapa buah syarikat MNC telah membuat komitmen untuk melabur sendiri atau memberi kontrak tempahan kepada syarikat-syarikat yang sedang beroperasi di Pulau Pinang. Agilent Technology telah membuat pengumuman pelaburan semula sebanyak RM1 Billion di dalam aktivit R&D di Pulau Pinang. Di samping itu, Lucent Technologies telah memberikan kontrak perniagaan yang besar kepada Solectron dan Jabil Circuits. IBM baru-baru ini telah melantik SCI-Samina untuk mengeluarkan komputer buatan Malaysia yang pertama.

d) Kerajaan negeri tidak memberikan sebarang insentif kepada pelabur kerana insentif yang menarik telahpun diberikan oleh Kerajaan pusat melalui MIDA.

e) Kerajaan negeri juga telah mengenalpasti industri-industri baru seperti photonik dan bio-teknologi diberi penekanan dan digalakkan ke Pulau Pinang. Usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk menarik industri-industri tersebut ke Pulau Pinang. Pada bulan Mac tahun ini, PDC telah menyertai Optic Fibre Conference (OFC) bersama-sama dengan MIDA untuk memperkenalkan kebolehan syarikat-syarikat tempatan kepada syarikat asing. Kerajaan negeri juga telah mengambil bahagian di dalam Persidangan dan Pameran BioMalaysia yang diadakan di PWTC pada Oktober 1-4, 2002 untuk mempromosi Pulau Pinang sebagai pusat industri bio-teknologi. Fokus utama adalah di dalam pemeliharaan bio-diversiti, eco-pelancongan dan bio-pendidikan.








Kembali