MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan (a) Sejauh manakah peranan Yayasan Belia Negeri. (b) Siapakah yang dipertanggungjawab bagi menjalankan kegiatan ataupun urusan pentadbiran yayasan. (c) Sejauhmanakah faedah ataupun manfaat yang telah diperolehi oleh golongan belia melalui yayasan yang telah diujudkan. (d) Berapakah jumlah usahawan muda yang telah diujudkan melalui pertolongan atau bimbingan yayasan ini.
Dun -
Exco JH
Perkara Belia

Jawapan
a. Peranan penubuhan Yayasan Belia Negeri Pulau Pinang adalah untuk menerima, mengumpul, mewujudkan tabung bagi membantu belia secara amnya dan Pertubuhan Belia di Negeri Pulau Pinang secara khususnya dan semua ahli anggota kesatuan atau pertubuhan mempunyai objektif yang sama iaitu segala usaha dilakukan bagi tujuan sosioekonomi, pendidikan dan perkembangan agama. Ia juga berperanan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada para belia demi kemajuan diri, masyarakat dan negara. Bantuan yang akan diberikan dalam pelbagai bidang, tidak mengira bangsa, agama, warna kulit dan kepercayaan. Selain itu, Yayasan juga berperanan menaja projek yang akan dijalankan oleh mana-mana pertubuhan atau persatuan atau individu bagi tujuan latihan, kebajikan, meningkatkan sosioekonomi dan perpaduan masyarakat serta menyediakan bantuan kewangan biasiswa, sumbangan atau pinjaman untuk pendidikan sama ada di dalam negara atau di luar negara. Selain itu, peranan Yayasan adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan terhadap projek sosioekonomi untuk menggalakkan semangat berdikari, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup serta perpaduan serta bekerjasama dengan kerajaan atau badan berkanun, agensi swasta, sektor awam bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan sukarela atau perseorangan untuk kemajuan dan pembangunan belia.

b. Yayasan Belia Negeri Pulau Pinang adalah sebuah Syarikat yang didaftarkan di bawah Pendaftar Syarikat mengikut Akta Syarikat 1965 di bawah Seksyen 23 (2) dan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah Akta Syarikat 1965 di bawah Seksyen 22 (1). Yayasan ini adalah sebuah institusi bebas dan ditadbir oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada pengasas Yayasan ini.

c. Golongan belia mendapat pelbagai faedah dan manfaat melalui program yang dianjurkan oleh yayasan ini iaitu :-

(i) Peningkatan motivasi, kemahiran dan keusahawanan

(ii) Mengelolakan program khidmat bakti seperti projek kesihatan,kebajikan dan pencegahan gejala sosial.

(iii) Mengendalikan program pendidikan untuk pelajar-pelajar sekolah khususnya di luar bandar.

d. Yayasan ini baru sahaja dilancarkan pada 1 Mac 2003 oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Hotel Equatorial. Oleh yang demikian , Yayasan ini sedang merancang untuk memulakan program Usahawan Muda menerusi penganjuran Kursus Pembangunan Usahawan seperti Kursus Kontraktor Kelas F, Kursus Asas Binaan, Kursus Pelancongan dan Kursus Perancangan Perniagaan.








Kembali