MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Pada musim penuaian padi yang lalu, ramai penanam padi yang mengalami kerugian bukan kerana hasil padi tetapi masalah penjualan padi yang mana pengilang-pengilang padi mengenakan potongan antara 25% hingga 40%.Apakah langkah-langkah dan perancangan kerajaan bagi mengatasi masalah ini.
Dun -
Exco AI
Perkara Pertanian/Penternakan/Perikanan

Jawapan
Untuk makluman Yang Berhormat, dalam usaha mengatasi keseluruhan isu yang berbangkit daripada persoalan ini, satu mesyuarat bersama yang melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah diadakan pada 27 Januari 2003. Susulan itu satu kertas bersama telahpun dikemukakan untuk pertimbangan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang bersidang pada 11 Mac 2003 yang lalu. Kertas tersebut telah mengenalpasti isu dan masalah serta cadangan penyelesaian seperti berikut:

i) Bahawa isu lambakan padi yang berlaku di Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis adalah disebabkan padi di ketiga-tiga negeri berkenaan masak secara serentak. Pada masa yang sama hasil padi juga didapati meningkat meliputi ketiga-tiga negeri berkenaan

ii) Bahawa ekoran perkara di para (i), lain-lain isu berbangkit adalah seperti berikut:
(a) Peratus potongan padi yang lebih tinggi; dan
(b) Harga padi yang lebih murah dan pemberian insentif harga jualan padi berkurangan

iii) Masalah pengangkutan (lori) dan mesin jentuai “combine harvester” yang tidak selaras khususnya pada masa berlakunya lambakan padi di ketiga-tiga negeri berkenaan.

iv) Masalah penyeludupan beras dari negara jiran yang lebih berkualiti pada harga yang lebih rendah memberi ancaman langsung kepada industri beras tempatan

v) Budaya masyarakat tempatan yang lebih gemar menggunakan beras yang diimport berbanding beras tempatan.

vi) Kapasiti kilang BERNAS dan swasta yang tidak selaras dengan hasil pengeluaran padi. Saiz kilang dan keupayaannya adalah kecil berbanding pengeluaran padi khususnya semasa berlaku lambakan padi.

vii) Pengilang padi swasta membeli padi berdasarkan “drying capacity” kilang berkenaan sedangkan BERNAS membeli berdasarkan “drying capacity” dan ruang yang terdapat di sesebuah kilang berkenaan. Pembelian yang berlebihan tersebut menyebabkan pihak BERNAS terpaksa mengagihkan kepada kilang-kilang BERNAS di seluruh Malaysia (Kelantan, Terengganu dan Selangor) yang secara langsung meningkatkan kos operasinya.

viii) Semasa berlakunya masalah lambakan padi tanggungjawab membeli sebahagian besar pengeluaran padi petani tempatan diselesaikan oleh BERNAS. Sedangkan dari segi kawalan beras tempatan hanya 38% dikawal oleh pihak BERNAS manakal bakinya 62% dikawal oleh pihak swasta.

Cadangan

i) Memperketatkan kawalan ke atas penyeludupan padi/beras khususnya dari negara jiran yang dianggarkan di sekitar 60-70 lori padi/beras setiap hari.

ii) Mengawal dan menyelaras bilangan mesin jentuai “combine harvester” yang semakin bertambah dengan sewajarnya. Jumlah yang tidak terkawal memberi kesan langsung kepada industri padi/beras negara. Jumlahnya yang banyak memberi keuntungan kepada petani. Walau bagaimanapun, penggunaan mesin tersebut yang tidak terkawal akan memudahkan merebaknya masalah “padi angin”. Dicadangkan supaya mesin jentuai tersebut dilesenkan tidak hanya menjurus pada bilangan mesin tetapi lebih memberi penekanan kepada spesifikasi mesin bagi mengatasi masalah “padi angin”. Bersetuju supaya hanya jumlah tertentu dikenalpasti untuk beroperasi di sesuatu kawasan.

iii) Mencadangkan supaya lori-lori yang digunakan mengangkut padi didaftarkan bertujuan mengawal pergerakan lori tersebut semasa musim menuai dan luar musim.

iv) Mencadangkan supaya kilang-kilang padi khususnya kilang swasta diberi kebenaran untuk menambah kapasiti pengeluarannya. Dalam hal ini, Bahagian Kawalselia Padi, Kementerian Pertanian Malaysia perlu meneliti dan menyemak kilang-kilang terlibat serta memberi cadangan yang bersesuaian.

v) Bahagian Kawalsedia Padi, Kementerian Pertanian Malaysia dicadangkan juga supaya membuat pemeriksaan rapi ke atas setiap kilang swasta bagi memastikan segala garis panduan dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya antaranya melibatkan peratus potongan padi oleh pihak kilang.

vi) Pihak BERNAS diminta supaya menyesuai semula keupayaan kilang-kilangnya bagi menampung keperluan yang semakin meningkat berdasarkan corak “paddy production” semasa

vii) Mencadangkan supaya promosi beras tempatan dipergiatkan menerusi media massa seperti TV dan radio. Tujuan promosi adalah untuk menggalakkan masyarakat tempatan menggunakan beras tempatan yang lebih baik berbanding dengan beras import.

viii) Mencadangkan supaya para petani tempatan melipatgandakan usaha mempertingkatkan kualiti produk padi tempatan. Sehubungan itu, jabatan/agensi terlibat perlu berusaha untuk memberi khidmat nasihat yang berterusan kepada para petani bagi mencapai sasaran tersebut.

ix) Menyemak dan meneliti semula kadar upah yang dibayar kepada penggunaan mesin jentuai, bagi memastikan ianya memberi keuntungan kepada para petani. Perlu diteliti konsep bayar upah berdasarkan “keluasan” ataupun “metrik tan” yang mana lebih menguntungkan para petani.

x) Bagi mengatasi masalah pemotongan padi yang tinggi, dicadangkan supaya aktiviti industri kecil secara mini estet atau “organise farming” digalakkan supaya penyaluran maklumat kepada petani adalah lebih mudah dan berkesan. Penanaman padi sedemikian yang lebih sistematik menjamin hasil yang lebih baik.

xi) Mencadangkan supaya Jabatan Pertanian membuat “counter check” ke atas padi yang dihantar oleh para petani ke kilang untuk di proses. Ini bagi memastikan tidak terdapat sebarang unsur penipuan khususnya oleh pihak kilang dalam menentukan peratus potongan padi.

xii) Mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Bersama melibatkan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ditubuhkan bagi membincang dan memantau isu berkaitan dengan industri padi/beras. Bersetuju supaya selain dari ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua jabatan/agensi negeri-negeri berkenaan wakil Kementerian juga dijemput menganggotai jawatankuasa tersebut.





Kembali