MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Apakah perkembangan terkini projek pembangunan Pulau Jerejak. Apakah projek atau kemudahan yang sedang dan telah siap dibina. Sila hurai dengan terperinci termasuk kosnya. Bilakah orang ramai boleh mengunjungi kawasan itu dan mula menikmati kemudahan yang disediakan.
Dun -
Exco KPC
Perkara Pembangunan

Jawapan
Projek pembangunan Pulau Jerejak dilaksanakan oleh Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIRSB) iaitu syarikat usahasama di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (ekuiti 49 %) dan Uda Holdings Berhad (ekuiti 51%).

Berdasarkan pelan induk pembangunan TIRSB, Pulau Jerejak dibahagikan kepada 4 zon utama yang mana kerja-kerja pembangunan ini akan dilaksanakan melalui 3 fasa iaitu :-

Fasa 1 ( Zon 4 : Kembara dan Jeti)
Komponen pembangunan utama dalam Fasa 1 antaranya termasuklah pembinaan bangunan utama, 2 blok dormitori (200 katil), 13 unit chalet, tapak perkhemahan, jeti dan terminal berlepas. Mengikut perancangan yang terkini, ianya dijangka akan siap dan beroperasi pada bulan Ogos 2003.


Fasa 2 ( Zon 1 : Rekreasi/Komersil dan Zon 2 : Vista Point)
Zon ini yang mengandungi pembangunan utama seperti medan selera, budget hotel dan muzium penjara dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2003 dan siap pada akhir 2004. Ianya akan beroperasi pada suku pertama 2005.

Fasa 3 ( Zon 3: Resort Eksklusif)
Pembangunan di dalam zon ini merupakan fasa terakhir pembangunan Pulau Jerejak. Adalah dijangka pembangunan di dalam zon ini akan bermula pada awal 2006 dan beroperasi pada akhir suku pertama 2007.


TIRSB kini sedang rancak menjalankan kerja-kerja pembinaan bagi Fasa 1 iaitu Zon 4 : Kembara dan Jeti yang meliputi antaranya pembinaan bangunan utama, 2 blok dormitori (200 katil), 13 unit chalet, tapak perkhemahan dan jeti serta terminal berlepas. Kemajuan kerja-kerja pembinaan setakat 30 April 2003 bagi projek Zon Kembara adalah sebanyak 80% dan peratus kemajuan kerja pembangunan di Jeti Berlepas/Ketibaan pula adalah sebanyak 90%.

Bagi tujuan pengangkutan penumpang dan perkhidmatan, TIRSB telah menempah sebuah bot pelancongan dan sebuah bot feri dengan muatan untuk 50 orang penumpang. Bot pelancong telah siap dibina dan diserahkan kepada TIRSB dan bot feri pula adalah diperingkat pembinaan 80% siap.

Manakala anggaran kos dibelanjakan untuk keseluruhan Fasa 1 adalah seperti berikut:-

Bil. Perkara RM
1. Kos Awalan termasuk
Yuran Perunding 1,800,000
2. Pembangunan Zon 4
termasuk pembinaan
struktur dan bangunan-
bangunan 19,842,127

3. Pembangunan Jeti 5,262,873

4. Pejabat Pengurusan TIRSB 500,000
5. Kos untuk Premium Tanah
Zon 4 dan 3,870,000
Pajakan Tapak Jeti

6. Kos Bekalan Air 850,000

7. Bot dan Feri 1,800,000

8. Sumbangan Kepada Tenaga
Nasional Berhad, 3,700,000
Pihak Berkuasa Air,
Telekom dan MPPP

Jumlah 37,625,000
Adalah dijangka Zon Kembara dan Jeti beroperasi pada Ogos 2003 di mana orang ramai boleh mengunjungi kawasan itu dan menikmati kemudahan yang disediakan.








Kembali