MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Bagaimanakah kerajaan negeri menangani masalah pengangkutan awam yang kurang memuaskan di Pulau Pinang. Sila huraikan.
Dun -
Exco THN
Perkara Pengangkutan Awam

Jawapan
Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan dan menggariskan rancangan-rancangan untuk menambahbaik tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, usaha telah dipertingkatkan lagi khususnya untuk menambahbaik perkhidmatan bas awam.

Konsortium Bas

Pada tahun 1997, kerajaan telah memainkan peranan yang penting dalam penubuhan konsortium bas berhenti-henti di Pulau Pinang. Penubuhan konsortium bas mempunyai beberapa kebaikan seperti:

i.) Perkhidmatan yang lebih efisyen dapat disediakan

ii ) Laluan-laluan sosial (yang tidak menguntungkan) dapat diliputi.

iii) Mengurangkan pertindihan dan duplikasi.

iv) Kawalan tenaga kerja dan pengagihan bas (bas gantian) yang lebih baik dapat disediakan yakni menjimatkan perbelanjaan operasi.

Walaubagaimanapun, usaha kerajaan untuk menyatukan syarikat-syarikat bas awam ini tidak mendapat sambutan yang baik kerana masalah menentukan pecahan pegangan ekuiti dan percanggahan dari segi syarat-syarat memasuki konsortium yang ditentukan oleh syarikat utama serta kegawatan ekonomi pada masa itu.

Kerajaan telah mengkaji kelemahan-kelemahan yang wujud dalam penubuhan konsortium ini dan sedang meneruskan usaha untuk menubuhkan satu entiti perkhidmatan bas awam di mana kerajaan akan mempunyai pengaruh. Melalui cara ini, kerajaan secara langsung dapat menentukan bahawa perkhidmatan bas awam yang disediakan itu adalah selesa, mengikuti jadual dan laluan-laluan sosial diliputi. Perlu dinyatakan di sini juga bahawa pengeluaran permit bas-bas awam adalah di bawah budi bicara Kementerian Pembangunan Usahawan.

Bas ‘Shuttle’

Satu kajian untuk mengetahui kelemahan yang ada pada sistem pengangkutan bas awam sediada juga telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan keputusan kajian akan dikemukakan kepada pihak kementerian dengan perakuan Kerajaan Negeri. Sebagai langkah awal, perkhidmatan sokongan kepada Bas ‘Shuttle’ akan disediakan di laluan-laluan tertentu dalam kawasan Georgetown yang tidak mempunyai perkhidmatan bas awam pada masa sekarang. Di samping ini, beberapa laluan dalam kawasan Daerah Barat Daya dan Daerah Seberang Perai Selatan yang tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam juga telah dikenalpasti untuk disediakan dengan perkhidmatan van awam.


Penyediaan perkhidmatan Bas ‘Shuttle’ mulai 1 Ogos 2001 telah berjaya menangani kelemahan perkhidmatan bas awam di kawasan pusat bandar. Perkhidmatan ini diwujudkan dengan objektif utama untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di seluruh Negeri Pulau Pinang. Satu sesi temuduga dengan pengguna-pengguna Bas ‘Shuttle’ telah diadakan baru-baru ini untuk mengetahui setakat mana objektif kerajaan telah tercapai. Daripada 110 orang yang ditemuduga secara rambang, 63.6% menyatakan bahawa mereka telah menggunakan Bas ‘Shuttle’ sebagai ganti kepada kenderaan persendirian mereka. Manakala sebanyak 51.8% daripada mereka telah mula menggunakan pengangkutan awam dari rumah mereka ke pusat bandar dan menggunakan Bas ‘Shuttle’ untuk ke destinasi yang seterusnya. Bancian ini mengesahkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengujudkan perkhidmatan Bas ‘Shuttle’ telah mula menampakkan hasil dan mencapai objektifnya. Perkhidmatan ini juga telah menjadi salah satu asas untuk menangani kelemahan pada sistem pengangkutan awam sediada. Rancangan sedang dijalankan sekarang untuk meluaskan liputan laluan perkhidmatan Bas ‘Shuttle’ dengan menyediakan perkhidmatan sokongan serta menambah bilangan bas yang beroperasi pada waktu puncak lalulintas.

‘Park & Ride’

Perkhidmatan ‘Park & Ride’ telah dilancarkan untuk kakitangan kerajaan di KOMTAR pada 1 Mac 2001 dengan stesen pertama di Tapak Pesta. Mulai 2 April 2001 stesen kedua telah diwujudkan iaitu di Jalan Kennedy.
Perkhidmatan ini bertujuan mengurangkan bilangan kenderaan yang memasuki pusat bandar Georgetown dan keperluan menyediakan lebih banyak tempat letak kenderaan serta menggalakkan penggunaan bas awam. Kenderaan-kenderaan kakitangan kerajaan khususnya kereta akan dibenarkan diletak secara percuma di kawasan-kawasan yang dikenalpasti dan perkhidmatan Bas ‘Park & Ride’ disediakan untuk membolehkan mereka berulang alik ke tempat kerja. Perkhidmatan ini telah mula bertambah popular di kalangan kakitangan kerajaan yang tinggal di kawasan stesen-stesen yang terbabit.

Pembaikan Terminal Bas Komtar

Di samping ini, kerajaan juga telah mula mengawasi keadaan lalulintas di Terminal Bas Komtar dan akan mengambil tindakan untuk melegakan kesesakan yang dapat menambahbaik perkhidmatan bas awam. Sebagai langkah jangkamasa pendek, satu kawasan jalan yang terletak berdekatan dengan terminal sediada akan dijadikan satu lorong perhentian bas untuk melegakan kesesakan. Lokasi perhentian yang dicadangkan adalah di Lebuh Lintang di bawah Bangunan Prangin Mall di mana terdapat lorong sediada untuk membolehkan bas-bas menunggu. Selaras dengan ini juga Jawatankuasa Pengurusan Lalulintas dan Pengangkutan Awam Negeri Pulau Pinang sedang mempertimbangkan lain-lain rancangan jangkamasa pendek dan panjang untuk meningkatkan dan menambahbaik kemudahan pengangkutan awam di kawasan pusat bandar khususnya Komtar. Rancangan jangkamasa pendek dan sederhana melibatkan perkembangan Terminal Bas Komtar sediada dengan mewujudkan lorong-lorong bas lain untuk destinasi yang dikenalpasti manakala rancangan jangkamasa panjang pula membabitkan pembinaan satu terminal pengangkutan awam berintegrasi di kawasan pusat bandar. Tapak untuk terminal ini telahpun dikenalpasti iaitu tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang yang dilingkungi oleh Jalan Magazine, Jalan C.Y. Choy, Jalan Dr. Lim Chwee Leong (Jalan Prangin) dan Lebuh Carnarvon. Terminal ini juga akan dihubungkan dengan beberapa stesen ‘Park & Ride’ lain melalui sistem pengangkutan awam. Beberapa plot tanah kerajaan telah dikenalpasti dan diresab untuk dijadikan stesen-stesen ‘Park & Ride’ seperti di Gat Lebuh Noordin, berhadapan Marina Bay di Tanjung Tokong, berdekatan Jambatan Pulau Pinang, Relau dan Air Itam.

Terminal Bas Ekspres

Pembinaan terminal bas ekspres di Tapak Pesta juga akan dimulakan pada tahun ini untuk memusatkan aktiviti-aktiviti perkhidmatan tersebut serta menyediakan kemudahan yang mencukupi bagi kepentingan dan keselesaan perjalanan orangramai. Dengan penyiapan terminal ini juga masalah gangguan kepada aliran lalulintas dan pergerakan bas-bas awam khususnya di kawasan Komtar dapat dikurangkan.

Sistem Monorel
==============
Sistem Monorel Aliran Ringan dan ‘Electric Tram Bus’ adalah juga satu komponen dalam perancangan Kerajaan Negeri untuk penyediaan sistem pengangkutan yang bersepadu bagi kemudahan rakyat Negeri Pulau Pinang. Pada masa sekarang, kerajaan sedang berbincang dan berunding dengan kerajaan pusat untuk penyediaan sistem-sistem ini. Perlaksanaan sistem monorel aliran ringan juga akan meluaskan lagi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam yang akan bertindak sebagai penghantar (feeder) di samping memberi perkhidmatan di kawasan luar laluan monorel.

Perkhidmatan Teksi
=================
Selain itu, perbincangan diteruskan dengan persatuan-persatuan teksi untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka menggunakan sistem bermeter dan sistem berlegar-legar untuk mendapatkan penumpang. Kualiti perkhidmatan juga menjadi tumpuan dengan pemandu-pemandu disyaratkan memakai pakaian seragam serta kereta yang digunakan mestilah dalam keadaan baik dan bersih. Turut diberi perhatian adalah perkhidmatan beca yang sering dipromosikan oleh Kerajaan Negeri. Perhentian-perhentian baru juga telah disediakan untuk perkhidmatan teksi dan beca serta perhentian sediada telah diperbesarkan.

Kemudahan-kemudahan Lain
========================
Perhatian juga diberikan kepada penyediaan kemudahan-kemudahan di perhentian-perhentian bas dan teksi seperti berbumbung, tempat duduk, kemudahan telefon dan tandas untuk keselesaan penumpang. Kemudahan laluan-laluan pejalan kaki yang lebih sempurna juga disediakan berserta lintasan pejalan kaki dan jambatan untuk penumpang-penumpang pengangkutan awam yang terpaksa berjalan kaki.



Penguatkuasa
============
Penguatkuasaan dijalankan dari semasa ke semasa ke atas pemandu-pemandu dan operator-operator perkhidmatan awam yang tidak mengikut peraturan atau syarat-syarat permit. Beberapa operasi telah diadakan baru-baru ini untuk memastikan setiap jenis kenderaan perkhidmatan awam melalui pemeriksaan di PUSPAKOM dan membaharui cukai jalan.

Pembinaan Infrastruktur
=======================
Semua rancangan ini juga tidak akan berjaya sekiranya jalan raya sesak dengan lalulintas dan oleh itu program-program pembinaan jalan yang telah dirancang akan diteruskan. Pembinaan lebuhraya akan membolehkan kenderaan-kenderaan persendirian dialih dari jalan-jalan tempatan dan oleh itu lebih banyak ruang dapat disediakan untuk perkhidmatan pengangkutan awam di jalan-jalan tempatan.

Penubuhan UPPL & PA
===================
Kerajaan Negeri begitu memandang berat terhadap sistem pengangkutan awam sediada sehingga telah menubuhkan satu Unit Perancang Pengurusan Lalulintas dan Pengangkutan Awam (UPPL & PA) pada tahun lalu dengan objektif membentuk dan menambahbaik sistem lalulintas dan pengangkutan awam di Pulau Pinang melalui rancangan-rancangan dan polisi-polisi yang bersepadu dan mapan (sustainable).

Pewujudan Sistem Pengangkutan Yang Berintergrasi
================================================
Kerajaan sedar bahawa perkhidmatan pengangkutan awam yang baik akan mengurangkan keperluan orang ramai menggunakan kenderaan persendirian dan secara langsung ia akan membantu mengurangkan kesesakan.
Hasrat kerajaan juga adalah untuk mewujudkan satu sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang dapat berintegrasi di antara satu sama lain, efisien, selesa dan dengan harga tambang yang berpatutan. Langkah-langkah awal telahpun diambil dan tindakan-tindakan serta perancangan akan diteruskan ke arah memenuhi hasrat ini.




Kembali