MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Permatang Pasir (Y.B. Encik Mohd. Hamdan bin Abd. Rahman) bertanya kepada Ketua Menteri: 61. Bolehkah YAB. Ketua Menteri menjelaskan mengenai pelaburan teknologi menghantar dan menyimpan maklumat dengan menggunakan cahaya iaitu “Fotonik” dan “Optomik” sebagai industri yang berdaya saing di Negeri Pulau Pinang di masa hadapan.
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Perindustrian (Perusahaan)

Jawapan

Ketua Menteri:

61. Perkataan ‘fotonik’ merujuk kepada teknologi dan sains yang berkaitan dengan menjana, memanipulasi, memancar dan mengesan cahaya. Ia merupakan satu bidang teknologi yang canggih dan luas, merangkumi optik, optik quantum, laser, optoelektronik, penduaan, pemerosesan optikal maklumat, sains sumber dan aplikasi-aplikasinya. Buat masa ini fotonik sememangnya digunakan dalam pelbagai aktiviti perindustrian terutamanya dalam bidang telekomunikasi, teknologi maklumat, pemantauan alam sekitar, sains biomedical dan proses-proses perindustrian. Ianya semakin kritikal bagi aplikasi dan penyelidikan lanjut dalam pelbagai bidang seperti biologi, komputer, kimia, kejuruteraan, pemeliharaan alam sekitar, teknologi maklumat, perubatan, penerokaan angkasa lepas dan fizik.

Keperluan komputer yang berkuasa tinggi dan keperluan akses cepat untuk telekomunikasi dan internet telah juga membawa kepada perkembangan pesat dalam bidang fotonik, terutamanya optoelektronik dan fiber optik. Ini adalah kerana peralatan-peralatan fotonik adalah lebih laju, berbanding dengan peralatan elektronik, boleh diharap dan mampu dimiliki.

Sepanjang zaman, terdapat peristiwa-peristiwa bersejarah yang direkodkan apabila aplikasi penemuan-penemuan saintifik telah menyumbang dengan dramatiknya kepada kehidupan sosial dan ekonomi. Alaf baru ini akan menyaksikan kemunculan fotonik sebagai teknologi yang penting bagi memudahkan pengkomputerisasi, telekomunikasi, teknologi maklumat, proses pembuatan dan perubatan selain daripada aplikasi-aplikasi yang belum ditemui lagi. Bagi abad ke-21, kemungkinan besar fotonik akan menjadi penting seperti juga wap air, enjin pembakaran dan litar bersepadu integrated circuit bagi abad ke-19 dan ke-20.

Negara-negara yang membuat pelaburan besar bagi penyelidikan dalam bidang fotonik ini akan melonjak sebagai pemimpin dalam bidang ini dan akan mengalami taraf hidup yang lebih tinggi daripada negara-negara yang tidak membuat pelaburan dalam bidang ini. Amerika Syarikat, Komuniti Eropah, Jepun, Taiwan sedang mengembangkan infrastruktur fotonik mereka dengan pesat. Organisasi bagi pembangunan antarabangsa telah mengunjurkan bahawa industri fotonik di Amerika Syarikat akan berkembang dua kali ganda setiap 4 tahun. Adalah dijangkakan juga bahawa pasaran dunia bagi fotonik akan mencecah US $230 bilion pada tahun 2003. Syarikat-syarikat yang terlibat sekarang sedang menerokai kemungkinan memindah teknologi dan proses pembuatan alat-alatan fotonik ini ke negara-negara membangun seperti Malaysia dan China.

Berdasarkan kepada prospeks dan potensi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha menarik syarikat-syarikat fotonik untuk melabur di Pulau Pinang. Senario ini boleh menjadi hasil sampingan ekonomi yang penting di mana ianya dapat mewujudkan lebih banyak syarikat tempatan yang berteknologi tinggi, sama seperti industri-industri semikonduktor, pemacu cakera dan komputer telah berkembang rancak di Pulau Pinang sebelum ini.

Fotonik bukan sahaja akan dapat membantu kita menempah nama di arena antarabangsa, malah ia akan dapat membawa pasaran global ke sini. Selain itu, masanya adalah amat sesuai untuk mengemudi Pulau Pinang ke tahap yang selanjutnya bagi bidang pembuatan, sejajar dengan pembangunan yang mengkagumkan dalam industri fotonik di negara-negara maju.

Dalam aspek ini, PDC akan bekerja rapat dengan para bakal pelabur untuk mewujudkan rangka kerja bisnes yang akan menarik minat syarikat-syarikat fotonik antarabangsa ke Malaysia dan terutamanya ke Pulau Pinang. Saya telah memutuskan supaya menubuhkan dan mengetuai sebuah pasukan petugas khas fotonik untuk merangka strategi-strategi bagi menarik minat bakal syarikat-syarikat fotonik ke Pulau Pinang. Ahli-ahli kumpulan kerja fotonik adalah terdiri daripada ketua eksekutif dari syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan yang berteknologi tinggi, beberapa profesor Universiti Sains Malaysia dan beberapa pegawai tinggi PDC.

Kembali