Jawapan
Timbalan Ketua Menteri:
79. Permasalahan bumiputera di Pulau Pinang perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas yang bukan sahaja kepada isu-isu bumiputera di bandar sebaliknya kepada keseluruhan masyarakat bumiputera di negeri ini. Bagi membantu kaum bumiputera di Pulau Pinang, kerajaan telah menubuhkan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang yang bertanggung jawab merumuskan dasar dan strategi serta merancang projek dan program bagi membantu masyarakat bumiputera di negeri ini. Di samping itu, agensi-agensi seperti MARA, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), PDC, UDA Holdings dan kedua-dua majlis perbandaran turut mempunyai program tersendiri untuk membantu kaum bumiputera di Pulau Pinang.
Tiga aspek penting telah dikenal pasti untuk memajukan bumiputera di Pulau Pinang iaitu, program mewujudkan masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), program perumahan dan program kebajikan dan sosial. Untuk melaksanakan ketiga-ketiga program tersebut, Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera di bawah Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (JKP) telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memantau semua program yang telah dirancang ke arah mencapai matlamat tersebut.
Peranan dan fungsi JKP adalah seperti berikut:-
(a) Menyelaras, mengesan dan mengawasi pelaksanaan dasar program untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam semua bidang sosioekonomi serta melindung kepentingan mereka. Dalam hubungan ini JKP telah menyelaras, mengesan dan mengawasi pelaksanaan dasar kerajaan yang berkaitan dengan penyusunan semula masyarakat terutama mengenai penyertaan 30% bumiputera dalam semua bidang perkhidmatan/pekerjaan dan perdagangan.
(b) Menyelaras dan membantu Dewan Perniagaan Melayu, koperasi, syarikat dan individu dalam merancang, melaksana termasuk mendapatkan bantuan kewangan dalam melaksanakan projek-projek. Dalam hubungan ini di antara projek yang berjaya dilaksanakan atas bantuan JKP ialah:-
(i) Perumahan Rakyat Sungai Gelugor oleh Koperasi Sungai Gelugor;
(ii) Bangunan Dewan Perniagaan Melayu di Lebuh Pantai oleh Dewan Perniagaan Melayu;
(iii) Perumahan Rakyat di Jalan Kurau oleh Koperasi Serbaguna Masyarakat Bagan Dalam Berhad, Butterworth;
(iv) Rumah Pangsa Jalan Maklom oleh Syarikat Nusantara
(c) Menambah pemilikan harta bumiputera terutama dalam bidang hartanah melalui Bank Tanah; dan
(d) Menyediakan infrastruktur perniagaan di kawasan bandar kepada peniaga dan usahawan bumiputera di kawasan bandar.
Peranan menambah pemilikan harta dan menyediakan infrastruktur perniagaan telah dimulakan sejak tahun 1978. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pengambilan balik tanah, pembinaan kompleks perniagaan dan program pinjaman kewangan kepada individu yang ingin memajukan tanah sendiri. Di antara pengambilan balik tanah yang terawal adalah untuk projek perumahan Bagan Dalam Butterworth dan Jalan Tengku, Daerah Timur Laut. Aktiviti JKP sejak tahun 1980 hingga 1989 adalah seperti berikut:
(a) Pengambilan balik tanah - 180 ekar
(b) Pembinaan rumah - 15 projek
(c) Pembangunan tanah individu - 8 projek
(d) Kompleks perniagaan - 5 projek
Berhubung dengan masalah Melayu dalam kawasan bandar yang dibangkitkan kerajaan memang menyedari mengenai masalah yang dihadapi oleh kaum Melayu di Pulau Pinang terutamanya yang mendiami di kawasan bandar. Kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan melalui agensi seperti PDC, UDA Holdings, kedua-dua majlis perbandaran, PERDA dan MARA dan Majlis Agama Islam telah menjalankan pelbagai program untuk membantu kaum bumiputera. Bagi memastikan pembangunan adalah menyeluruh JKP telah diberi peranan untuk menumpukan pembangunan di kawasan bandar dan pinggir bandar. Kawasan yang menjadi tumpuan JKP ialah Georgetown, Jelutong, Gelugor, Butterworth, Bayan Lepas, Balik Pulau dan Bukit Mertajam. Pembangunan bagi kawasan luar bandar seperti di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan telah diberi tanggung jawab kepada PERDA. Di antara program yang telah dilaksanakan ialah seperti penyediaan perumahan, ruang niaga dan kemudahan asas dan infrastruktur supaya kawasan bandar dan luar bandar menjadi tempat yang selesa untuk didiami.
Dari segi perumahan, dasar yang diamalkan oleh kerajaan negeri ialah peruntukan kuota 45% untuk kaum bumiputera., 45% untuk kaum Cina dan 10% untuk kaum India. Namun demikian, bagi kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu, peruntukan kuota yang lebih banyak akan dipertimbangkan. Bagi membantu kaum bumiputera yang kurang mampu untuk memiliki rumah, kerajaan melalui JKP telah menubuhkan dana bayaran pendahuluan 10% untuk membeli rumah. Kerajaan negeri juga melalui PDC telah memperuntukkan unit-unit perumahan kepada bumiputera mengikut kawasan dan jenis rumah semenjak tahun 1975. Selain daripada itu, terdapat agensi kerajaan seperti UDA dan PERDA yang turut membina rumah dan premis perniagaan khusus untuk bumiputera. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh PDC ialah seperti berikut:
(a) Penyediaan Premis Perniagaan
Sehingga 31 Oktober 2000, PDC telah membangunkan sebanyak 788 unit premis perniagaan di lokasi-lokasi seperti di Bandar Bayan Baru, Bandar Seberang Jaya, Bukit Tengah dan Batu Kawan. Dari jumlah tersebut sebanyak 394 unit atau 50% telah diperuntukan khas kepada bumiputera manakala sebanyak 15 unit telah disewakan. Bagi ruang perniagaan di KOMTAR, PDC telah membina sejumlah 33,819.40 kaki persegi. Daripada jumlah tersebut, 34.3% telah dibeli dan disewa oleh Bumiputera.
(b) Penyediaan Kompleks Gerai Penjaja
PDC juga telah menyediakan tapak dan membangunkan kompleks-kompleks gerai penjaja yang diserahkan kepada MPPP untuk diperuntukan kepada peniaga-peniaga bumiputera. Kedudukan gerai-gerai ini adalah seperti berikut:
Lokasi Bil. Unit/Luas Tapak
Persisiran Pantai Lebuhraya Bayan Baru 80 unit
Taman Pelangi Bukit Tengah 68 unit
Sungai Pinang 46 unit
Bukit Gedong 0.67 ekar
Pesiaran Mayang Pasir 0.568 ekar
(c) Penyediaan Kemudahan Kilang IKS Siap Bina
Bagi membantu bumiputera menceburkan diri dalam bidang perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), PDC telah membangunkan 262 unit kilang IKS siap bina di lokasi-lokasi seperti di taman-taman perindustrian Bayan Lepas, Sungai Pinang, Bukit Tengah dan Bukit Minyak. Daripada jumlah ini sebanyak 121 unit (46%) telah diperuntukkan khas untuk diperolehi sama ada secara pembelian, sewaan atau melalui skim sewa beli. Setakat 31 Oktober 2000 sebanyak 48 unit (39.6%) kilang IKS telah diperuntukkan kepada bumiputera iaitu 28 unit telah disewa, 20 unit dibeli dan 1 unit disewa beli.
(d) Projek Infrastructure Perniagaan Automart
PDC juga sedang membangunkan Projek Infrastructure Perniagaan Automart di Bandar Seberang Jaya. Projek ini bermatlamat sebagai pusat perkhidmatan automart untuk dikendalikan oleh pengusaha bumiputera. Pembinaan projek ini telah bermula pada Jun 2000 dan dijangka siap pada Februari 2001. Antara perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan adalah seperti ruang pameran, kafeteria, pusat servis, kedai auto one stop, bengkel mengecat dan mengetuk, pusat tayar dan bateri, mengilat dan mencuci kereta, bilik latihan dan termasuklah perkhidmatan-perkhidmatan sampingan seperti syarikat insurans, sekolah memandu, pembaharuan lesen dan cukai jalan dan lain-lain lagi.
PDC akan menempatkan syarikat bumiputera yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi untuk bersaing di pasaran terbuka di bidang automotif dan distributif.
(e) Peluang-Peluang Perniagaan
PDC juga telah berjaya mewujudkan peluang untuk usahawan bumiputera melalui projek-projek tertentu seperti:
(i) Hotel 1926
Projek ini merupakan projek baik pulih bangunan kuarters kerajaan. Sebanyak 24 unit kuarters di Jalan Imigresen telah ditukarguna kepada hotel warisan dengan 94 buah bilik. Pengurusan projek ini diserahkan kepada Kompas Mutiara Sdn. Bhd. iaitu syarikat milikan penuh bumiputera.
(ii) PDC juga turut menjalankan projek baik pulih bekas kuarters kerajaan di Jalan Chow Thye untuk kegunaan komersil di atas tapak seluas 3.197 ekar. Pada peringkat permulaan, PDC telah menjalankan kerja baik pulih 14 unit kuarters kerajaan fasa satu. Pada masa ini, terdapat 6 orang usahawan bumiputera telah menjalankan perniagaan di projek Jalan Chow Thye secara sewaan antara RM1,500 – RM2,000 sebulan.
Sementara itu, MPSP bekerjasama dengan agensi yang berkaitan bagi memastikan Kuota Penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi dan perumahan. MPSP juga menyediakan peluang-peluang perniagaan melalui pembinaan gerai-gerai dan pasar-pasar dan juga pemberian kontrak kepada kontraktor bumiputera.
Kerajaan negeri melalui MPPP turut memberi beberapa keistimewaan kepada bumiputera dari segi kelulusan pembangunan. Di antaranya ialah:-
(a) Memberi pertambahan 30% ketumpatan bagi pemajuan perumahan;
(b) Memberi pertambahan 10% dari nisbah plot maksimum bagi pemajuan perniagaan dan hotel;
(c) Potongan mengikut peratusan berkadar bagi sumbangan bayaran pemajuan.
Dasar dan langkah-langkah di atas diharap akan dapat membantu mengekalkan kaum Melayu untuk terus tinggal dalam kawasan bandar. Di dalam usaha untuk membantu pengurusan bumiputera dalam mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIS) seperti MARA, PERDA dan juga Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera masing-masing menganjurkan kursus-kursus pembangunan usahawan di samping menyediakan kemudahan dan tempat perniagaan. Satu projek terbaru ialah penyediaan ruang kedai yang strategik di tingkat 3, KOMTAR di mana sebanyak 52 gerai akan dibina untuk menempatkan peniaga bumiputera.