Jawapan
YB. Dato' Dr. K. Rajapathy :
8. Pulau Pinang mempunyai bilangan penagih dadah paling ramai dikesan berbanding dengan negeri-negeri lain kerana kekerapan pihak Jabatan Narkotik, Polis DiRaja Malaysia membuat operasi dari masa ke semasa seperti Ops Poket dan Ops Berkas untuk membersihkan Negeri Pulau Pinang dari penagih-penagih dadah.
Kerajaan negeri melalui Jabatan Narkotik, Polis DiRaja Malaysia telah menangkap penagih di seluruh Negeri Pulau Pinang mulai Januari hingga Oktober 2000 dan pengesahan ujian air kencing positif adalah seperti berikut:-
Daerah Timur Laut - 2,382 orang
Daerah Seberang Perai Utara - 916 orang
Daerah Seberang Perai Tengah - 817 orang
Daerah Seberang Perai Selatan - 163 orang
Daerah Barat Daya - 179 orang
____________
Jumlah - 4,457 orang
============
Purata tangkapan penagih oleh Jabatan Narkotik setiap hari ialah sebanyak 30 orang.
Peluang pekerjaan dan gaji yang lumayan di sektor perindustrian seperti kawasan Perai, Bayan Lepas, Bukit Tengah dan Bukit Minyak telah menjadi tarikan bukan hanya kepada penduduk Pulau Pinang tetapi negeri-negeri lain yang berjiran. Kepesatan sektor perindustrian ini juga telah mendorong wujudnya pekerjaan di sektor lain yang menjadi pemangkin kepada sektor ini seperti pengangkutan, binaan, perniagaan, hiburan dan lain-lain perkhidmatan.
Golongan yang berhijrah ini terdiri dari penagih dadah dan bukan penagih. Rekod Agensi Dadah Kebangsaan mendapati 30% penagih dadah yang ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berasal dari negeri Kedah Selatan, Perak Utara, Kelantan dan Terengganu. Kebanyakan penagih ini telah terlibat dengan dadah dan pernah ditangkap oleh polis sebelum mereka berhijrah ke Pulau Pinang.
Program-program yang dirancang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menghapuskan kesan dadah dalam masyarakat untuk tempoh jangka masa panjang. Mengikut teori sesuatu program pencegahan yang telah dilaksanakan memerlukan masa yang panjang untuk dinilai keberkesanannya.
Program-program yang dijalankan meliputi:-
(a) Pencegahan amalan.
- Peringkat sekolah hingga peringkat belia (ceramah, pameran, latihan kendiri)
- Program intelektual latihan rohani (PINTAR).
- Program belia berwawasan.
(b) Pencegahan umum.
- Agensi Dadah Kebangsaan bersama radio setiap bulan.
- Program waris pintar.
- Seminar/kempen anti dadah.
- Program bekas dadah di tempat kerja.
- Program-program pemulihan.