MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Bukit Tengah (Y.B. Puan Ng Siew Lai): Y.B. Dato’ Speaker, soalan saya No. 10. 10. Pelancongan merupakan salah satu industri yang memuncak pembangunan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Nyatakan pasaran-pasaran yang telah berjaya dijadikan penggalakkan pelancongan oleh kerajaan negeri dan apakah pencapaian industri pelancongan sehingga kini?
Dun -
Exco YB DATO' KEE PHAIK CHEEN
Perkara Pelancongan

Jawapan

Ahli Kawasan Batu Uban (Y.B. Dato’ Kee Phaik Cheen):

Yang Berhormat Dato’ Speaker, melalui usaha-usaha promosi pelancongan yang agresif di peringkat domestik dan antarabangsa, pelbagai pasaran telah berjaya ditembusi serta dipertingkatkan dan jumlah pelancong yang melawat Pulau Pinang telah meningkat pada kadar yang membanggakan. Mengikut data yang terbaru bagi 6 bulan pertama tahun 2000, pasaran utama pelancong-pelancong luar negara ke negeri kita adalah daripada United Kingdom yang menyumbang (14%), Australia (8%), Jepun (6%), Netherland (5.8%). Manakala negara yang menunjukkan peningkatan ialah Singapura, Thailand negara-negara Timur Tengah dan negara-negara Scandinavia.




Dari segi pencapaian industri pelancongan pula, pada tahun 1999 anggaran jumlah ketibaan pelancong ke Pulau Pinang ialah sebanyak 3.52 juta iaitu peningkatan sebanyak 8.26% berbanding dengan tahun 1998 yang mencatatkan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 3.25 juta.

Dato’ Speaker, anggaran jumlah ketibaan pelancong ke Pulau Pinang iaitu 3.52, 1.46 juta orang ialah datang dari para pelancong domestik dan angka ini menunjukkan kalau dibandingkan dengan tahun 1998 adalah kenaikan anggaran ini oleh kerana 1.27 juta orang datang pada tahun 1998 ini dalam bidang pelancong domestik. Pada 1999 anggaran jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ialah 2.06 juta orang dan ini berbanding dengan 1.98 juta orang dalam tahun 1998. Peningkatan dalam jumlah ketibaan pelancong sebanyak 8.26 % telah menstabilkan purata kadar penginapan bagi tahun 1999 iaitu 59% untuk tahun 1999, berbanding 60% untuk tahun 1998. Adalah sedikit kekurangan oleh pertambahan sebanyak 727 jumlah bilik yang menyebabkan jumlah bilik telah meningkat ke 12,825 buah bilik berbanding 12,123 bilik dalam tahun 1998. Hotel-hotel yang menyumbang ke arah peningkatan jumlah bilik dalam tahun 1999 antaranya termasuk Hotel 1926, Northam All Suite, Hotel Lone Pine, dan Hotel City Bayview iaitu pembukaan blok barunya. Sekiranya kita tambah bilik Hotel Vistana, Penang iaitu 238 bilik hotel ini dibuka pada buan November 1999 dan blok tambahan Hotel Equatorial, Pulau Pinang mendapati sehingga lebih 13,500 buah bilik pada tahun ini.

Dato’ Speaker, sebagaimana anggaran perbelanjaan perkapita oleh para pelancong iaitu sebanyak RM1,400 untuk para pelancong asing dan RM300.00 untuk pelancong domestik yang diumumkan oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, hasil yang diperolehi oleh Negeri Pulau Pinang dari 3.52 juta pelancong adalah dianggarkan RM3.31 billion dan ini menunjukkan kenaikan 5% kalau berbanding dengan apa yang didapati dalam tahun 1998 iaitu RM3.15 billion. Berkenaan pasaran peningkatan jumlah ketibaan pelancong dari pasaran United Kingdom adalah disebabkan oleh kekukuhan matawang British Paun dan juga kerana aktiviti promosi dan pemasaran yang berterusan sejak tahun 1991 oleh jawatankuasa Induk Industri Pelancongan Negeri. Peningkatan di dalam pasaran Australia pula adalah disebabkan oleh kekacauan oleh di Indonesia yang menyebabkan kebanyakan pelancong Australia beralih dari Bali ke Pulau Pinang.

Kedudukan matawang Australia yang kukuh juga adalah merupakan salah satu faktor penyebab. Dari segi jarak sederhana, pasaran Timur Tengah telah meningkat dengan baiknya, 2.34% dalam tahun 1999 berbanding 1.25% dalam tahun 1998. Ketibaan pelancong dari Timur Tengah lebih tertumpu terutamanya dalam bulan Julai dan
Ogos dan kebanyakan menginap di hotel-hotel sepanjang persisiran pantai. Ketibaan dari pasaran Indonesia telah turut mengalami peningkatan yang baik terutamanya dari Medan. Kebanyakan ketibaan di Pulau Pinang adalah atas sebab melawat sanak saudara yang sedang menuntut di pelbagai kolej-kolej swasta di Pulau Pinang selain daripada mendapatkan rawatan di hospital-hospital kita. Ketidakstabilan suasana politik di Indonesia juga menjadi faktor yang meningkat lagi kadar ketibaan dari pasaran tersebut.

Secara keseluruhannya, prestasi bagi tahun 1999 adalah baik terutamanya disebabkan oleh pemulihan suasana ekonomi di rantau ini. Aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran yang dilaksanakan sempena Tahun Melawat Pulau Pinang 1999 juga telah menyebabkan peningkatan yang baik khususnya melalui penganjuran acara-acara pelancongan bertaraf antarabangsa dan penyediaan pakej-pakej yang lebih berinovatif. Tahun Melawat Pulau Pinang seharusnya dijadikan sebagai batu loncatan untuk mempergiatkan lagi usaha-usaha pemasaran khususnya bagi sektor-sektor tertentu seperti MICE iaitu Meeting Incentive Convention Exhibition dengan izin. Program penginapan jangka panjang atau long stay programmer kepada orang Jepun, program rawatan kesihatan, pendidikan dan juga acara-acara sukan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, kajian yang dijalankan juga menunjukkan bahawa bagi tempoh suku tahun ketiga tahun 2000 iaitu dari bulan Julai hingga September tahun ini, saya merasa sangat bangga untuk melaporkan melalui kajian profail visitor, 50.7% daripada pelancong luar negara yang melawat Pulau Pinang merupakan pelancong ulangan atau repeat visitor. Ini menunjukkan Pulau Pinang masih merupakan destinasi pelancongan yang popular serta menjadi tarikan kepada mereka. Sekian, terima kasih.

Tuan Speaker:

Soalan Tambahan, Pengkalan Kota.

Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik):

Adakah Kerajaan Negeri sedar kemudahan-kemudahan tandas awam di tempat pelancongan di negeri ini, ini bukan boleh ketawa, ini betul punya. This toilet cautious, dengan izin. Tandas awam di tempat pelancongan, keadaanya basah, buruk, umpamanya tandas awam di terminal jeti dan tandas awam di pusat perhentian bas di Victoria Street. Saya sudah bangkit dua tahun sampai sekarang masih belum buat apa-apa lagi. Ini memberi imej yang buruk kepada pelancong asing. Ini memang satu symbiotic atau petanda Penang green atau Penang clean.
Saya harap Kerajaan Negeri atau Ahli EXCO Pelancongan mengambil prihatin masalah itu. Lagi satu masalah iaitu Jabatan Pelancongan ada menggalakkan pelancong-pelancong asing datang melawat jeti-jeti tetapi masalah-masalah di jeti-jeti iaitu di sana sangat membahaya di mana papan semua sudah pecah dan berlubang. Saya takut satu hari nanti akan ada orang yang jatuh di sana. Dengan ini, soalan saya minta Kerajaan Negeri atau Ahli EXCO Pelancongan mengambil prihatin dengan masalah-masalah tersebut.

Ahli Kawasan Batu Uban (Y.B. Dato’ Kee Phaik Cheen):

Dato’ Speaker, perkara tandas awam, bukan satu perkara yang baru. Ini ialah perkara yang lama dan Ahli MMK telahpun bersetuju supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan pada dua tahun lalu tetapi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada masa itu telah memaklumkan di berita iaitu Menteri tersebut akan menubuhkan task force yang istimewa ke seluruh negara. Oleh kerana kerajaan pusat pun mengambil perhatian besar dan akan menjalankan task force besar ini dan Negeri Pulau Pinang telah serahkan tugas itu kepada Kementerian tersebut. Sekarang apa yang kita boleh saksikan ialah di Pulau Pinang, MPPP dan MPSP telah diberi maklumat berkenaan tandas-tandas dan ini lebih sesuailah Ahli EXCO yang menjaga portfolio ini boleh memberitahu kepada Dewan Yang Mulia ini apakah tindakan yang telah diambil bukan Ahli EXCO Pelancongan. Saya bersetuju dengan Ahli Kawasan Pengkalan Kota atas kebersihan tandas di Malaysia dan juga di Pulau Pinang dan Lat telahpun melukis kartun yang menunjukkan boleh jadi satu filem hantu keadaan tandas kita.

Dato’ Speaker, saya menyokong bahawa jeti-jeti di Pengkalan Weld boleh jadi satu produk pelancongan yang baik dan The Duke Of Edinburgh telah melukis satu lukisan yang cantik berkenaan Jeti Chew dan jeti-jeti kita. Saya diberitahu oleh penduduk-penduduk di sana kayu atas jeti itu mesti ditukar tetapi apabila kita siasat, peruntukan yang diberi kepada SPO atau Pegawai Pembangunan Negeripun telah meluluskan peruntukan untuk membaiki jeti-jeti tersebut. Tetapi saya bersetuju lebih elok kalau kita boleh masuk satu rancangan yang baik di bawah Rancangan Malaysia Ke-8. Kita boleh membersihkan dan juga mengindahkan kawasan itu yang boleh berkhidmat seperti satu produk pelancongan yang boleh menarik hati ramai pelancong asing.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Soalan Tambahan.




Tuan Speaker:

Soalan Tambahan, Ahli Kawasan Batu Lancang.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Dato’ Speaker, kerajaan sentiasa mengatakan pelancongan di negeri ini bertambah dan mendapat pelancong sehingga 3.5 juta tetapi kita menerima rayuan daripada hotel-hotel kerana businessnya dalam tahun ini tidak begitu baik dan terdapat tiga hotel di Pulau Pinang iaitu Paradise Resort dan satu hotel di Bukit Mertajam mengalami kerugian yang besar sehingga kena di under receivership, dengan izin dan saya ingin hendak tahu Hotel Vistana iaitu sebuah hotel usahasama dengan Kerajaan Negeri, adakah setelah beroperasi mendapat keuntungan?

Ahli Kawasan Batu Uban (Y.B. Dato’ Kee Phaik Cheen):

Dato’ Speaker, kalau hotel-hotel di Pulau Pinang ini menghadapi masalah besar, mengapa kita ada tambahan bilik hotel? Kalau saya seorang peniaga dalam bidang pelancongan dan selalu menghadapi masalah penurunan kadar penginapan, saya tidak mahu buat nvestment terhadap bidang ini tetapi apa yang saya melaporkan di Dewan Yang Mulia ini ialah tambahan bilik hotel juga setiap tahun sehingga 13,500 bilik hotel kalau dibandingkan dengan 6,000 bilik sahaja dalam tahun 1990. Kita sudah dapat tambahan. Tiap-tiap hotel mempunyai pengurusan mereka, management mereka. Kalau ada pengurusan pengurusnya yang baik, jika idea-idea yang inovatif, hotel-hotel ini boleh mendapat keuntungan dan sebahagian besar hotel-hotel di Pulau Pinang, mempunyai 60% kadar penginapannya, over 60 percent sepanjang tahun. Saya juga diberitahu oleh para perhotelan, kalau kita dapat 40%, kita sudah dapat keuntungan, we already can make money. Apakah sebab, beberapa hotel yang menghadapi receivership. Ini juga adalah kerana pengurusannya. Lain sebab ialah ada orang yang hendak jual hotelnya jikalau dia dapat untung dan ada orang yang menghadapi masalah dengan pengurusannya. Kalau kita dapat overview pandangan keseluruhannya, apa yang saya boleh melaporkan ialah sebahagian besar hotel di Pulau Pinang dapat keuntungan dan jangan lupa juga lokasi hotel itu. Apa yang saya diberitahu ialah sebelum kegawatan ekonomi, semua hotel-hotel di bandar raya dapat lebih keuntungan daripada hotel-hotel di pantai oleh kerana pada masa itu peniaga-peniaga juga datang ke hotel-hotel tersebut. Selepas kegawatan ekonomi, kita menerima kekurangan businessman, kekurangan peniaga-peniaga dan ini telah mengeluarkan keputusan di mana hotel pantai sekarang dapat lebih ramai pelawat kalau dibandingkan dengan hotel-hotel di bandar raya atau business hotel.

Berkenaan Hotel Vistana yang diberitahu kepada saya oleh pengurus besarnya dan juga YTL ialah Vistana Hotel sejak pembukaannya dalam bulan November tahun 1999 telah mencapai kadar penginapan 70% tetapi ini saya tidak tahulah, tahun kini kalau dibandingkan dengan investment apakah keuntungannya. Kita belum tahu oleh kerana kita belum dapat akaunnya setahun. Apabila saya pergi hotel ke hotel ada orang kata “apa khabar”, saya kata “apa khabar kadar penginapan anda” “That is how I greet manager”.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan Ahli Padang Kota.

Ahli Kawasan Padang Kota (YB. Encik Teng Chang Yeow):

Dalam usaha kerajaan negeri membuat penggalakkan pelancongan, apakah bentuk-bentuk promosi yang diguna pakai oleh kerajaan negeri untuk pasaran-pasaran yang berlainan sepertimana yang dilaporkan iaitu ada pasaran UK, Australia, Jepun, Netherland dan juga pasaran-pasaran yang sedang meningkat seperti Singapura, Thailand, Timur Tengah dan Scandinavian countries.

Ahli Kawasan Sungai Dua (Y.B. Encik Jasmin bin Mohamed):

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ingin mendapat penjelasan. Kita telah dimaklumkan bahawa terdapat 14 persatuan belia dalam negeri ini yang telah dibatalkan pendaftarannya. Saya hendak dapatkan penjelasan apakah puncanya yang menyebabkan persatuan ini dibatalkan dan apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah ini? Ini masalahnya kalau persatuan belia itu dibatalkan, dia melibatkan ahli persatuan berkenaan dan kesannya amat tidak baik kepada belia-belia di kawasan berkenaan.

Ahli Kawasan Telok Ayer Tawar (Y.B. Puan Jahara bt. Hamid )

Ada banyak sebab kenapa persatuan-persatuan belia ni tidak aktif sampai ke satu tahap persatuan ini terpaksa dibatalkan pendaftaran sekiranya mereka tidak menjalankan mesyuarat agung tahunan sepertimana yang diperuntukkan di bawah akta pertubuhan, maka ini akan menyebabkan mereka terpaksa dibatalkan.






Oleh itu, persatuan-persatuan belia perlulah mempunyai kepimpinan yang berwibawa supaya boleh membimbing dan menjalankan aktiviti dan meneruskan aktiviti mereka bagi menarik minat ahli-ahli dan juga belia-belia yang tidak menjadi ahli. Dan juga sebab itu kursus-kursus bimbingan sentiasa diadakan dan akan terus diadakan bagi membimbing persatuan-persatuan belia ini supaya mereka tahu akan tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing bukan sahaja untuk menjalankan ataupun meneruskan aktiviti-aktiviti persatuan tetapi juga menarik minat ahli-ahli dan juga mereka yang bukan ahli.

Tuan Speaker:

Soalan tambahan Ahli Kawasan Permatang Pasir.

Ahli Kawasan Permatang Pasir (Y.B. Encik Mohamad Hamdan bin Abdul Rahman):

Dato’ Speaker, tadi kita telah mendengar penjelasan dasar belia, walaupun tidak begitu menyeluruh dasar yang telah dikemukakan oleh Y.B. kita daripada Telok Ayer Tawar itu. Kita melihat seolah dasar belia kita seolah-seolah dasar yang banyak menemui kegagalan, pendek kata kepada semua kaum, bukan sahaja kepada satu kaum di negara kita tetapi juga kepada kaum seperti juga di negeri Pulau Pinang ini. Kita lihat belia-belia Melayu umpamanya, banyak yang terlibat dalam kes dadah yang masih belum dapat diselesaikan. Begitu juga dengan belia-belia Cina yang kita lihat banyak terlibat dengan pil ecstasy, yang pernah kita bercakap dalam Dewan ini pada sidang yang lepas. Belia-belia India juga begitu, banyak terlibat dengan alkohol, khususnya melalui todi ataupun samsu dan setengahnya pula terlibat dengan masalah gangsterism. Maka ini kita lihat bahawasanya belia-belia ini nampaknya tidak dapat menemui sesuatu pertempuan kepada persatuan yang baik untuk mengatur dan menganjurkan belia-belia ini. Sedangkan negara kita telah merdeka hampir ….(gangguan).

Tuan Speaker:

Teruskan kepada soalan. Nampak macam berbahas. Simpan untuk sesi bahas.

Ahli Kawasan Permatang Pasir (Y.B. Encik Mohamad Hamdan bin Abd Rahman):

Ini hendak pergi ke soalan. Jadi apakah silapnya walaupun negara kita telah merdeka selama 40 tahun, apakah silapnya dasar belia ini dari pihak kerajaan negeri?

Ahli Kawasan Telok Ayer Tawar (Y.B. Puan Jahara bt. Hamid):

Untuk makluman Ahli Kawasan Permatang Pasir, dasar pembangunan belia negara adalah dasar yang digubal di peringkat kebangsaan dan bukan oleh kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, kita harus melihat ba awa masalah penagihan dadah, masalah pil ecstasy, masalah pelbagai yang disebut tadi, adalah masalah gejala sosial yang melibatkan masyarakat amnya, walaupun gejala-gejala ini ataupun masalah ini timbul, insidennya adalah banyak di kalangan remaja, tetapi ianya tidak boleh dipersalahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan sahaja untuk menanggani masalah-masalah ini. Semua pihak harus mengambil bahagian. Bukan sahaja melalui perancangan negara tetapi tanggungjawab ibu bapa, tanggungjawab institusi-institusi lain, pendidikan dan sebagainya adalah sama-sama harus dipikul untuk menangani masalah ini dan tidak betul kalau dikatakan bahawa hanya satu pihak yang perlu menggubal dasar atau melaksanakan program ataupun yang perlu mengatasi masalah ini kerana ia adalah satu masalah sosial yang berat yang harus dipikul bersama oleh semua lapisan masyarakat.

Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):

Soalan tambahan. Soalan tambahan saya ada dua. Yang pertama, saya hendak katakan dasar, nampak gayanya seperti apa yang dikatakan oleh Ahli daripada Telok Ayer Tawar tadi iaitu lima kursus di peringkat daerah dan dua kursus peringkat negeri, untuk satu tahun 7 kursus sahaja, saya ingat jabatan ini telah lama tidur. Saya minta kalau boleh Tan Sri Ketua Menteri tolong gerak jabatan itu, saya agaknya telah lama tidur. Untuk satu tahun 7 kursus, saya minta tolong ketok sikit jabatan itu. Tolong beri penjelasan lebih berapa kursus yang telah dijalankan. Dan yang kedua, bersangkut-paut dengan masalah sosial yang telah dibangkitkan oleh Ahli daripada Permatang Pasir. Memanglah, saya pun bukan hendak sokong, tetapi kena sokong juga……..(ketawa), tetapi cuma tidak sebut atas dasar, cuma saya rasa harus disentuh tentang kegiatan belia ini harus diperbanyakkan lagi. Adakah peruntukan cukup yang diberi oleh kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti dan kegiatan belia yang lebih aktif lagi. Sebab dulu peguambela pergi cari aktiviti di pihak belia. Pihak belia ini kena turun ke padanglah. Sama ada peruntukan ini cukup atau tidak cukup untuk menjalankan aktiviti yang lebih banyak.





Ahli Kawasan Telok Ayer Tawar (Y.B. Puan Jahara bt. Hamid):

Terima kasih. Sebenarnya tujuh kursus yang disebut tadi adalah kursus yang dianjurkan oleh jabatan belia peringkat negeri. Persatuan-persatuan belia sendiri banyak menganjurkan kursus dan seminar yang mana dibantu oleh jabatan melalui peruntukan dan sebagainya. Jadi, yang itu saya tidak ada maklumat terperinci hari ini, tetapi banyak lagi program-program yang dibuat di peringkat akar umbi yang telah dijalankan sepanjang tahun. Bercakap tentang peruntukan, tentulah sekali peruntukan untuk belia ini amat terhad. Kita banyak bergantung kepada peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan. Oleh itu memanglah kita akan berusaha untuk memohon supaya kerajaan negeri sendiri memberi peruntukan yang lebih untuk aktiviti-aktiviti belia supaya dapat disalurkan sehingga ke akar-umbi.

Tuan Speaker:

Saya beri ADUN wanita.

Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):

Terima kasih, Y.B. Dato’ Speaker. Saya ingat saya pakai baju merah boleh menarik perhatian Dato’ Speaker, tetapi tiga kali bangkit baru dapat. Terima kasih Dato’ Speaker. Ingin saya tanyakan, saya amat tertarik dengan statistik yang diberi oleh Yang Berhormat dari Telok Ayer Tawar. 299 adalah pertubuhan yang aktif, 14 adalah pertubuhan belia yang sudah dibatalkan, bolehkan saya tahu daripada statistik ini, berapa yang sudah tidur tetapi belum dibatalkan. Kerana kita tahu memang ada pertubuhan belia yang tidur walaupun pendaftarannya tidak dibatalkan. Kerana bila kita jalankan projek Rakan Muda peringkat daerah, kita Cuma boleh dapatkan 10, kalau 10 pun sudah bagus, 10 pertubuhan belia sahaja yang keluar, yang lain kita tidak tahu. Soalan yang kedua, bolehkah saya dapatkan satu senarai daripada kawasan SPS yang 53 itu yang dikatakan pertubuhan belia itu. Bolehkah saya dapatkan satu senarai supaya lain kali kita boleh menjemput mereka.

Yang ketiga, apakah rancangan jabatan belia untuk mengatasi masalah gejala sosial khususnya ecstasy pill itu. Kita ada satu rancangan khusus pergi ke tempat hiburan malam untuk edarkan risalah atau orang yang ditangkap oleh polis telah didakwa ada mengambil pil ecstasy. Atau adakah sama kita ada program rehabilitation, program macam inikah untuk mereka.




Ahli Kawasan Telok Ayer Tawar (Y.B. Puan Jahara bt. Hamid):

Ini soalan tambahan yang panjang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, walaupun ada 299 persatuan belia di seluruh Pulau Pinang yang masih berdaftar, hanya 40% sahaja yang aktif. Yang lain ada yang kurang aktif dan yang 14 langsung tidak bermesyuarat dan terpaksa dibatalkan. Jadi, memanglah antara masalahnya tadi ialah kewangan sebab mereka tidak boleh menjalankan aktiviti kerana kurang kemudahan kewangan. Tentang masalah pil ecstasy dan gejala-gejala sosial, setakat ini, program untuk mengatasinya dijalankan bersama dengan NGO-NGO. Sebab kita perlu memberi tumpuan kepada target groups, kumpulan-kumpulan sasar yang tertentu dan ini perlu dikenal pasti dan diberi bantuan oleh NGOs. Juga oleh kerana peruntukan yang kurang daripada peringkat negeri, kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan persatuan-persatuan yang lain. Memang ada banyak pertubuhan-pertubuhan politik juga telah memain peranan untuk membantu membanteras gejala ini. Juga diberi bantuan melalui jabatan belia di mana kita cuba gemblengkan pemimpin-pemimpin belia untuk membantu dan juga memberi penceramah-penceramah dan sebagainya daripada pihak kementerian untuk membantu memberi penerangan dan nasihat serta bimbingan. Dan usaha membanteras gejala-gejala sosial akan kita pergiatkan dan tingkatkan dengan kerjasama semua pihak. Kalau jabatan belia sahaja hendak buat tanpa kerjasama yang lain saya rasa susah sebab ini adalah masalah yang amat meluas, memerlukan terutama sekali kerjasama ibu-bapa dan pihak pendidik di dalam menangani masalah ini.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Sila Yang Berhormat Datok Keramat dengan soalan tambahan.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Terima kasih. Nampaknya ada 299 persatuan belia yang masih aktif di negeri tetapi kita tidak boleh menyerahkan peranan menganjurkan aktiviti-aktiviti kepada pertubuhan sahaja. Ada banyak belia yang tiada menyertai persatuan atau tidak percaya kepada persatuan. Pada waktu malam terutama pada malam Sabtu, banyak belia pergi ke Gurney Drive, Gurney Park, Coffee House dan lain-lain, mengapa mereka boleh tertarik ke tempat seperti ini, tetapi kerajaan negeri tidak boleh membuka peluang atau ruang-ruang sebegitu untuk mereka minum teh, kopi kerana tempat-tempat seperti itu mahal. Bukan semua belia boleh pergi, satu cawan kopi, RM15.00, RM25.00 pun ada, taruh ais tambah
RM10.00 lagi. Tetapi belia-belia suka pergi ke tempat ini. Kita mesti buka ruang untuk belia-belia pergi minum teh, kopi O. Soalannya ialah kerajaan berminat untuk membuka ruang-ruang sebegitu untuk menarik kepada belia kini.

Ahli Kawasan Telok Air Tawar (Y.B. Puan Jahara bt. Hamid):

Itu satu cadangn baik daripada Yang Berhormat, mungkin boleh dipertimbangkan. Walau bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat, walaupun kita mempunyai 299 persatuan belia yang berdaftar, ramai lagi belia-belia yang terlibat dengan persatuan-persatuan yang tidak mempunyai label belia. Di dalam JKKK, Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Rumah-rumah Berhala, NGOs yang lain juga terdapat ramai belia di dalamnya. Mereka ini juga boleh sama-sama memainkan peranan seperti juga belia-belia yang berpersatuan di dalam persatuan yang mempunyai label belia untuk menganjurkan program-program untuk belia dan membanteraskan gejala sosial.

Tuan Speaker:

Soalan berikutnya, ada lagi soalan tambahan. Gejala sosial, minat ya. Baik, soalan akhir.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Tuan Speaker, memang saya setuju bahawa dasar belia kerajaan memang tidak kena sasaran. Dan juga pejabat penguatkuasa harus bertanggungjawab dan bekerja keras kerana kita dapat maklumat, lebih banyak pusat-pusat permainan dan disco masih tidak ikut peraturan atau polisi negeri kerana mereka membuka business sampai pukul 5, 6 pagi, masih buka lagi.

Tuan Speaker:

Itu sudah tahu jawapannya. Soalan tidak ada.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Soalannya, bilakah pejabat ini akan mengambil tindakan terhadap permainan illegal permainan.

Tuan Speaker:

Itupun sudah dapat jawapan.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Bila? Bila?

Ahli Kawasan Telok Ayer Tawar (Y.B. Puan Jahara bt Hamid):

Itu bukan berkenaan dengan masalah belia di sini. Itu terpulang kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan untuk mengambil tindakan.

Tuan Speaker:

Puas hati, Yang Berhormat? Tidak puas hati… (ketawa). Soalan berikutnya Yang Berhormat Looi Swee Cheang.

Kembali