Jawapan
Y.B. DATO’ DR. TOH KIN WOON
7. Walaupun ekonomi negeri Pulau Pinang telah pulih daripada krisis kewangan yang melanda pada pertengahan tahun 1997, tetapi apabila ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (US) mulai mengalami kelembapan yang serius sejak bulan November 2000 dan insiden serangan pengganas ke atas World Trade Centre dan Pentagon, New York pada 11 September 2001 keadaan ekonomi dunia telah menjadi lebih tidak menentu dan ini telah turut menjejaskan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Kelembapan ekonomi US telah mengurangkan permintaan terhadap beberapa barangan seperti elektronik, komputer dan telekomunikasi yang merupakan keluaran dan eksport utama negeri ini dan negara.
Pulau Pinang dijangka lebih banyak menerima kesan daripada kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat kerana struktur ekonominya terlalu bergantung kepada sektor perkilangan terutamanya sektor kecil elektrik dan elektronik dimana sebahagian besarnya untuk tujuan eksport. Sektor perkilangan telah menyumbangkan sebanyak 46 peratus daripada KDNK negeri Pulau Pinang pada tahun 2000 dengan sumbangan sektor kecil elektrik dan elektronik dalam sektor perkilangan kira-kira 53 peratus. Selain daripada itu, sektor perkilangan memberi sumbangan yang besar dari segi guna tenaga negeri, iaitu sebanyak 42 peratus. Daripada jumlah tersebut, sektor kecil elektrik dan elektronik merupakan 54 peratus daripada jumlah guna tenaga sektor perkilangan. Kelembapan sektor elektronik telah menyebabkan banyak syarikat multinasional di seluruh dunia, termasuk Negeri Pulau Pinang mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kos termasuk pembuangan pekerja.
Sebagai langkah bagi menghadapi kemelesetan ekonomi, Kerajaan Negeri telah, sedang dan akan mengambil pelbagai tindakan bagi menangani isu-isu yang telah dan mungkin berlaku.
1) Langkah Jangka Pendek
i) Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama juruperunding Socio-Economic & Environmental Research Institute (SERI) dan DCT Consultancy Services Sdn. Bhd. telah memantau keadaan semasa ekonomi negeri secara rapi sejak berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun 1997. Perkara ini diteruskan hingga ke hari ini di mana laporan bulanan berkala dikeluarkan;
ii) menghidupkan semula Jawatankuasa Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pulau Pinang (MTEN-PP) dan task force untuk sektor-sektor ekonomi utama untuk memantau dan merangka strategi pemulihan yang terperinci dan spesifik.
2) Bantuan Untuk Pekerja Yang Diberhentikan Kerja
i) Kerajaan Negeri melalui jabatan/agensi kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti menasihati majikan supaya tidak memberhentikan pekerja tetapi digalakkan untuk mengambil tindakan-tindakan mengurangkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu, sebelum mengambil tindakan memberhentikan pekerja.
ii) Majikan yang memberhentikan pekerja dikehendaki mematuhi undang-undang dan peraturan yang mensyaratkan supaya setiap pekerja yang diberhentikan mendapat faedah yang diperuntukan di bawah undang-udang dan pihak kilang mematuhi Akta Kerja 1955 yang mensyaratkan supaya pekerja-pekerja asing diberhentikan dahulu sekiranya pihak kilang bercadang untuk mengurangkan tenaga pekerja.
iii) Membantu pekerja yang diberhentikan mendapat pekerjaan seperti :-
a) mewujudkan sistem Job-Link. Sistem ini merupakan rantaian beberapa jabatan/agensi yang mengesan pemberhentian pekerja dan tindakan serta merta diambil untuk membantu mereka yang diberhentikan kerja;
b) menganjurkan ‘Job Fair’ di mana majikan-majikan yang ingin mengambil pekerja mempamerkan kekosongan jawatan dan ditemuduga secara terus;
c) menjalankan pendaftaran pekerja-pekerja yang diberhentikan bagi tujuan menempatkan semula pekerja-pekerja tersebut ke dalam pekerjaan baru;
d) menyalurkan pekerja yang diberhentikan kepada majikan-majikan lain yang ingin mengambil pekerja baru;
e) mengenalpasti majikan-majikan yang memohon pekerja asing dan memaklumkan kepada mereka mengenai bekalan tenaga kerja tempatan yang boleh diperolehi daripada aktiviti pemberhentian pekerja tempatan;
iv) Mengadakan Skim Latihan untuk menggalakan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapat latihan dalam bidang kemahiran baru melalui :-
a) menggalakkan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapatkan latihan di bawah Skim Majlis Pembangunan Sumber Manusia;
b) mengaktifkan semula Tabung Pusingan Latihan Kemahiran Bagi Pekerja Yang Diberhentikan Kerja bagi membolehkan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapat latihan semula (retraining) supaya mereka boleh diserap kepada pekerjaan baru. Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1,046,000 untuk membiayai program latihan semula melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) untuk para pekerja yang diberhentikan terutamanya di peringkat operator pengeluaran. Program ini dijangka dimulakan pada November 2001.
c) Membantu pekerja yang diberhentikan mencebur dalam bidang perniagaan melalui penganjuran seminar mengenai peluang perniagaan dan kemudahan pinjaman dan ruangniaga kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja. Seminar pertama yang diadakan pada pertengahan tahun 2001 telah dihadiri oleh 1000 orang.
3) Menggiatkan Peranan Sektor Awam
Memandangkan sektor swasta dijangka akan mengalami kemerosotan yang lebih serius, peranan sektor awam akan dipergiatkan lagi untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Kerajaan persekutuan telah meluluskan sehingga ini beberapa projek khas kerja-kerja kecil di bawah pakej pre-emptive untuk pelaksanaan segera. Sehingga ini Negeri Pulau Pinang telah mendapat peruntukan sebanyak RM45 juta untuk melaksanakan pelbagai projek di negeri ini, tidak termasuk projek-projek kecil sektor pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta. Pelaksanaan projek dengan cepat dan sistematik akan dapat menggiatkan aktiviti ekonomi di samping mengurangkan kos pembangunan dan rakyat akan mendapat faedah yang cepat daripada projek yang dilaksanakan. Sehubungan ini kerajaan akan mengambil beberapa langkah seperti berikut :-
a) memantau projek-projek pembangunan dengan lebih kerap dan rapi supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan pembayaran kepada kontraktor dapat disegerakan;
b) meningkat penggunaan barangan tempatan dalam projek awam;
c) memastikan supaya kontrak awam dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh; dan
d) mengambil langkah drastik untuk penambahbaikan dari segi proses dan prosidur berkaitan pelaksanaan projek terutamanya di peringkat perancangan, peringkat tender seperti mempercepatkan proses tender dan peringkat pelaksanaan seperti mempercepatkan pengeluaran waran peruntukan.
4) Langkah Jangka Panjang
Sebagai persediaan untuk jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah merangka beberapa strategi bagi menangani isu kelembapan ekonomi. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut :-
i) menerokai bidang-bidang teknologi tinggi dan pengeluaran produk atau komponen yang baru, seperti photonics, telekomunikasi dan bio-tech;
ii) mengekal dan mempertingkatkan tahap pengeluaran oleh kilang-kilang sedia ada dengan menggalakkan tranformasi ke proses automasi dan teknologi tinggi;
iii) mempromosikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan supaya dapat menghadapi cabaran globalisasi serta berjaya muncul sebagai “global supplier†yang berdaya saing di pasaran dunia;
iv) meneruskan usaha menarik pelaburan asing datang ke Pulau Pinang dengan menghantar rombongan pelaburan ke negara-negara asing seperti Amerika Syarikat, Jepun, Eropah Barat, Taiwan, Hong Kong dan Republik Korea. Tujuan lawatan-lawatan rombongan ini ialah mempromosikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat pelaburan yang menarik yang memiliki tenaga pekerja yang mahir dan infrastruktur yang baik dan canggih. Sementara itu, usaha sedang diteruskan untuk menggalakkan pelaburan yang lebih oleh pelabur-pelabur tempatan.
v) mengekalkan kilang-kilang yang sedia ada dan menggalakkan kilang-kilang ini meningkatkan pelaburan semula melalui :-
a) pelanjutan insentif-insentif yang ditawarkan;
b) pembaikan infrastruktur yang berterusan; dan
c) mengekal atau mengurangkan kos menjalankan perniagaan seperti tidak menaikkan kadar bayaran utiliti.
vi) mempromosikan k-ekonomi yang berdaya saing dan mewujudkan sebuah k-masyarakat yang maju dan berkualiti. Sebuah Majlis Ilmu-Teknologi Maklumat dan Komunikasi, atau Knowledge-ICT Council yang di pengerusikan oleh Ketua Menteri, telah ditubuh untuk mewujudkan rangkaian perhubungan yang canggih dan lengkap dengan pelbagai aplikasi perisian yang sesuai dan berkesan, mewujudkan e-kerajaan dan e-komuniti dalam pelbagai sektor ekonomi dan menggubal Pelan Induk K-ICT negeri Pulau Pinang.
vii) mempromosikan penggunaan e-dagang untuk memberangsangkan sektor pengangkutan, logistik, perkhidmatan, kewangan, pelaburan dan perdagangan kerana dalam era ICT;
viii) mempromosikan bidang pelancongan untuk meningkatkan bilangan pelancong dan mempelbagaikan sasaran pasaran seperti United Kingdom, Eropah, Australia, Jepun, Singapura, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Timur Tengah, China, India dan Scandinavia. Tumpuan juga akan diberi untuk membangunkan dan menjayakan beberapa produk pelancongan utama yang baru, seperti kawasan warisan, hutan lipur (tropical virgin rainforest) dan produk-produk eco-pelancongan dan agro-pelancongan;
ix) mempromosikan pendidikan dan pembangunan sumber manusia, khasnya dalam bidang-bidang teknologi dan pengurusan melalui kerjasama universiti, maktab dan institusi latihan. Dalam hal ini perhatian diberi kepada :-
a) menukarkan tanggapan pelajar supaya bersikap lebih positif terhadap latihan kemahiran. Pertubuhan perniagaan dan institusi latihan akan digalakkan memasarkan kursus kemahiran secara lebih aktif;
b) memupuk keusahawanan melalui seminar, latihan dan kempen supaya pekerja yang diberhentikan dapat menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara lebih mahir dan yakin; dan
c) memastikan bahawa institusi latihan kemahiran mempunyai korikulum yang lebih fleksibel dan responsif kepada keperluan sumber manusia semasa.
x) menggiatkan aktiviti pertanian untuk meningkatkan keluaran dan kepelbagaian produk pertanian bagi mengurangkan import, tekanan inflasi di samping menyediakan bekalan makanan kepada harga yang berpatutan.
xi) mempromosi keusahawanan-teknologi agar idea-idea yang kreatif dapat diterjemahkan menjadi projek-projek perniagaan yang berdaya maju dan boleh dilaksanakan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan akan berusaha mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pemupukan kreativiti serta mengatur pembiayaan melalui modal teroka yang mencukupi.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Law Heng Kiang):
Soalan tambahan
Dato’ Speaker :
Soalan tambahan, Ahli Kawasan Batu Lancang.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang) :
Y.B. Dato’ Speaker, memandangkan langkah-langkah yang dicadangkan oleh kerajaan seperti latihan semula memberi berbagai kursus kepada penganggur-penganggur Negeri Pulau Pinang, saya rasa semua cara ini sudah lama diperkenalkan. Saya ada satu cadangan iaitu bolehkah Kerajaan Negeri menghadkan pelabur asing di sesebuah kilang iaitu hanya 5% sahaja boleh mengambil pekerja asing? Pekerja Indonesia atau Bangladesh. Hanya 5% untuk memberi peluang kepada penganggur-penganggur Negeri Pulau Pinang.
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Dato’ Speaker, Memang dalam keadaan semasa yang begitu susah ini, kita memang tidak membenarkan kilang-kilang mengambil pekerja asing dan apa sahaja pekerjaan yang perlukan pekerja untuk mengisikannya keutamaan harus diberikan kepada pekerja-pekerja tempatan tetapi ini bukan masalah sekarang. Dalam pemberhentian kerja kita telahpun ada peraturan yang mengatakan bahawa kilang-kilang mesti terlebih dahulu memberhentikan pekerja-pekerja asing sebelum tindakan diambil untuk memberhentikan pekerja-pekerja tempatan. Jadi setakat hendak menghadkan pekerja sebanyak 5% buat masa ini kita memang tidak menggalakkan akan mengambil pekerja asing secara langsung cuma dalam keadaan melambung di mana adanya permintaan yang amat tinggi dan penawaran pekerja tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang begitu tinggi baharu kita mempertimbangkan dan itu pun pada masa hadapan kita tidak menggalakkan sebab bagi Pulau Pinang kita bercadang ingin beranjak ke aktiviti-aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi. Kalau kita berjaya dalam hal ini maka apa yang kita perlukan ialah pekerja yang berkemahiran dan berpengetahuan dan bukan pekerja yang separuh mahir yang memang kebanyakan di antara pekerja asing dalam kategori ini.
Dato’ Speaker :
Soalan tambahan Ahli Kawasan Sungai Dua.
Ahli Kawasan Sungai Dua (Y.B. Encik Jasmin bin Mohamed) :
Y.B. Dato’ Speaker, tadi Y.B. Ahli Machang Bubuk memaklumkan bahawa hampir 11,023 orang telahpun diberhentikan pekerjaan. Saya ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan ke arah untuk membantu 11,023 orang ini. Berapa orang yang pilih untuk ke bidang keusahawanan dan Job link ini hendak tolong dia ke mana?
Lagi satu berkenaan dengan Pakej Rangsangan Kerajaan Pusat Projek-projek Khas yang dilaksanakan yang kita telah maklumkan RM45 juta telah diperuntukkan kepada Pulau Pinang sehingga kini. RM45 juta itu berapa sudah ditawarkan kepada kontraktor dan jangkamasa berapa lama kontraktor yang melaksanakan kerja ini akan dapat pembayaran? Kata tadi hendak dipercepatkan, juga hendak dapatkan gambaran sepanjang tahun ini adakah kontraktor-kontraktor kelas F ini telah dibayar semua kerja-kerja yang telah dibuat oleh mereka.
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Dato’ Speaker, berkenaan dengan apakah yang dibuat oleh kerajaan bagi membantu 11,023 pekerja yang diberhentikan kerja, sebelum kita dapat membincangkan perkara ini kita terlebih dahulu mesti mengenalpastikan apakah masalah yang dihadapi oleh mereka. Kekurangan atau langsung tidak ada pendapatan lantaran daripada hakikat bahawa mereka telahpun diberhentikan kerja, jadi langkah bagi membantu mereka.
Yang pertama kita mesti memastikan sejauh mungkin bahawa syarikat-syarikat yang telahpun memberhentikan mereka itu membayar kompensasi seperti yang diperuntukkan dibawah Akta Gunatenaga Tahun 1995, Jadi dengan demikian mereka sekurang-kurangnya mendapat satu jumlah wang untuk menangani masalah berkait dengan kewangan di dalam tempoh yang kita harap pendek sebab selepas satu ketika kita berharap mereka boleh mendapat pekerjaan alternatif. Memang di negara kita ini kita tidak membayar bayaran pengangguran seperti yang kita buat di United Kingdom, Sweeden, Norway dan sebagainya.
Yang kedua kita membekalkan latihan . Latihan ini amat penting kerana latihan semula ini mendatangkan faedah bukan sahaja kepada pekerja sendiri supaya menyediakan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik, berpendapatan yang lebih tinggi nanti apabila pelaburan meningkat kemudian apabila perolehan berlaku nanti tetapi pada masa yang sama dengan adanya satu kumpulan pekerja yang terlatih yang menerima latihan semula khasnya dalam ICT dalam kemahiran yang nilai tambahnya lebih tinggi maka daya saing Negeri Pulau Pinang dalam menarik pelaburan masa depan akan juga ditingkatkan.
Buat sementara waktu, Dato’ Speaker, oleh kerana sektor swasta menghadapi masalah yang bererti pelaburan akan berkurang dan pada masa yang sama juga penggunaan tidak meningkat dengan pesat, maka sektor awam kena memainkan peranan yang mustahak dalam hal meningkatkan permintaan aggregate iaitu meningkatkan perbelanjaan, itulah sebabnya Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM45 juta kepada Negeri Pulau Pinang dan setahu saya wang ini telahpun diperuntukkan kepada Pejabat Daerah untuk dibelanjakan. Apa yang saya difahamkan dengan pengalaman di Seberang Perai Tengah sebab saya lebih kenal tentang keadaan di sana, memang mesyuarat telah dipanggil, projek-projek telahpun dikenal pastikan, tender kalau perlu telah dipanggil, kalau tidak perlu tender, memang banyak diantara projek yang tidak perlukan tender maka perbelanjaan telahpun berjalan. Saya difahamkan bahawa pakej pertama telah hampir habis dibelanjakan dan arahan telahpun dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kalau tidak salah saya bahawa pembahagian peruntukan ini haruslah seberapa luas yang boleh supaya menguntungkan khasnya kontraktor-kontraktor kecil dalam kelas F.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan Y.B. Telok Kumbar
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):
Terima kasih Dato’ Speaker, Soalan tambahan untuk 3 soalan. Yang pertama saya difahamkan RM45 juta atau RM145 juta yang diperuntukan untuk masalah retrenchment ini? (gangguan) RM45 juta yang dapat oleh Kerajaan kita tetapi yang diumumkan lulus RM145 juta kan? Yang kedua tentang latihan. Saya setuju tentang pandangan daripada Ahli Kawasan Machang Bubuk tentang latihan yang perlu kita adakan tetapi sebaliknya penjelasan daripada Ahli Kawasan Machang Bubuk ini menyentuh banyak tentang pemberian tender-tender dan kerja-kerja kelas F banyak, jadi yang manakah yang betul? Banyak buat latihan atau banyak keluarkan tender dalam RM45 juta ini? Itu soalan kedua.
Soalan ketiga ini berapa peratus Bumiputera yang kena buang berbanding yang bukan Bumiputera. Soalan keempat agihan kontrak-kontrak yang besar di Pulau Pinang ini kelas A berapa peratus orang Pulau Pinang dapat dan bukan Pulau Pinang yang tidak dapat. Yang saya difahamkan kontraktor yang hadir yang 60 million yang 200 million semua dapat bukan orang Pulau Pinang. Jadi bagaimana kita hendak perbanyakkan lagi projek-projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Masalah retrenchment ini terjadi di Pulau Pinang bukan di negeri lain. Kelas-kelas yang besar ini, kontrak-kontrak yang besar, fly over di Sungai Nibong dapat kepada orang Kuala Lumpur, jadi bagaimana orang Pulau Pinang hendak cari makan bagaimana?. Ini terpaksalah tanggungjawab.
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Dato’ Speaker, tentang agihan kontrak-kontrak besar saya perlukan notis untuk berikan jawapan yang tepat. Berkenaan dengan peratus daripada pekerja yang di berhentikan yang terdiri dari Bumiputera mengikut anggaran, oleh kerana 70% daripada pekerja yang bekerja di kilang-kilang elektronik dan kali ini masalah adalah berkait dengan industri elektronik saya anggarkanlah peratus daripada bilangan yang diberhentikan kerja yang terdiri daripada kaum Bumiputera lebih kurang 65 hingga 70 %. Ini adalah selaras dengan peratusan daripada jumlah pekerja yang sedang bekerja di sektor kecil elektronik. Berkenaan dengan RM45 juta peruntukan untuk latihan. RM45 juta ini merupakan sebahagian daripada yang kita panggil dalam istilah ekonomi sebagai prime pumping iaitu kerajaan membelanjakan secara langsung dengan harapan dapat mempergiatkan dengan pembinaan jalan, tambahan kepada sekolah kita berharap pekerja-pekerja dalam pembinaan mendapat pekerjaan, mereka mendapat pendapatan dan akan belanja dan ini akan menambahkan pendapatan beberapa kali beberapa pusingan.
Latihan lain, dan saya difahamkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membelanjakan agak banyak juga ke atas latihan, ada beberapa skim yang telah pun ataupun sedang dirancang, satu skim latihan semula untuk pekerja-pekerja yang diberhentikan yang akan menelan perbelanjaan kira-kira RM117 juta sampai penghujung 2002 dan ini terdiri daripada skim jangka pendek, jangka panjang. Bagi skim jangka panjang akan membawa kepada penganugerahan diploma dengan cara yang demikian kita berharap dapat melatih lebih ramai lagi pekerja yang mahir dan yang dimaksudkan dengan mahir ialah mereka yang memiliki diploma dalam kejuruteraan IT dan sebagainya.
Kemudian ada juga skim untuk siswazah yang menganggur dan adalah dijangkakan sebanyak RM150 juta akan dibelanjakan juga sampai penghujung tahun depan dan tekanannya adalah ke atas ICT dan bahasa. Dan ada juga skim bagi siswazah yang menganggur berkhidmat sekejap ataupun untuk tempoh yang tertentu untuk industri kecil dan sederhana dengan tujuan hendak mendapat pengalaman dan pada masa yang sama mempertingkatkan keupayaan ICT SMI dan ini adalah juga satu cara untuk mempertingkatkan keupayaan teknologi SMI dan pada masa yang sama menawarkan latihan kepada siswazah yang menganggur dan saya juga difahamkan bahawa satu skim yang banyak didorong oleh YAB. Ketua Menteri akan juga diberikan peruntukan. Jadi ini adalah lain daripada RM45 juta yang dibelanjakan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Bagi kita di negeri Pulau Pinang kita bercadang akan membelanjakan lebih kurang RM1.04 juta untuk melatih semula pekerja khasnya dalam ICT dan bahasa dan ini akan dikelolakan oleh PSDC. Sekian.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):
Tentang apa ini, latihan yang telah disebutkan oleh Ahli daripada Machang Bubuk itu banyak menjurus kepada latihan kemahiran, tetapi yang kena buang ini kebanyakannya buruh-buruh kasar kan, I mean unskill labour banyakkan? Jadi saya tak dengar langsung sebut tentang apa ini galakan baru ke arah pertaniankah, saya tak dengar langsung, usahawan memang ada sebut tadi, tentang usahawan pertanian usahawan tak dak. Jadi adakah perancangan kita nak tuju ke arah situ pula, pertanian, pelancongankah?
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Dato’ Speaker, memang ada, saya ada jelaskan tentang langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan langkah-langkah ini memang meliputi semua sektor bukan setakat sektor pembuatan sahaja sungguhpun tumpuan ditujukan kepada sektor pembuatan memandangkan kepada hakikat bahawa 46% daripada KDNK adalah dianggotai oleh sumbangan ataupun keluaran daripada sektor pembuatan dan juga memandangkan kepada hakikat bahawa 42% daripada tenaga kerja sedang berkhidmat di sektor pembuatan tetapi bagi sektor pelancongan kita juga ada skim jangka panjang untuk memberangsangkan sektor ini bagi merekaciptakan produk-produk pelancongan baru seperti warisan, barang warisan, mempelbagaikan pasaran supaya kita tidak tertumpu kepada hanya beberapa pasaran tertentu.
Bagi pertanian ada juga langkah-langkah, saya rasa Dato’ Speaker saya minta Ahli-ahli Dewan Undangan ini sabar esok pagi YAB Ketua Menteri akan membentangkan satu rancangan yang amat komprehensif yang akan meliputi masa 10 tahun dan apa saja sektor, saya berani mengatakan apa saja sektor yang menganggotai ekonomi Pulau Pinang juga terlibat dalam rancangan 10 tahun ini.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):
Dato’ Speaker, my point is dengan izin, kalau kata hendak buat sesuatu benda tetapi tanpa ada peruntukan hendak buat apa ini? Kalau kata dia hendak buat satu latihan berbentuk memberangsangkan dari segi anak-anak muda yang telah di retrench ini masuk ke pertanian, tetapi tanpa kita memperuntukkan duit kepada pertanian, kepada Jabatan Pertanian untuk hendak buat satu program hendak buat apa, kalau duit tidak, I mean be realisticlah kata, kalau kita ada satu program kita hendak lihat peruntukan itu mesti disalurkan juga kepada Jabatan Pertanian.
Dato’ Speaker:
Niatnya bagus, niat sudah dapat pahala.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):
Niat itu bagus, tetapi kena buat jugalah. Jadi ini kita hendak lihat ini. Satu lagi kelas A tadi, memang kita minta specific, dari Ahli Machang Bubuk, minta specific soalan tetapi saya rasa State Government kena buat satu stand yang barulah tentang kelas-kelas kontrak-kontrak award tender yang besar-besar kepada anak tempatan.
Dato’ Speaker:
Ya, kita setuju dengan apa yang dikemukakan oleh Ahli Telok Kumbar ini, terima kasih.
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Soalan tambahan.
Dato’ Speaker:
Ya.
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Terima kasih Y.B. Dato’ Speaker, tadi di sebut mengenai usaha-usaha kerajaan untuk memberikan satu perangsang kepada pekerja-pekerja yang dibuat kerja dari segi sektor swasta. Satu yang menarik perhatian saya ialah menggalakkan penglibatan pekerja-pekerja yang dibuang ini dalam sektor usahawan, sektor perniagaan kita katakan. Kalau sekiranya kita tidak ada satu sefahaman dengan pihak berkuasa tempatan, kerana saya dapati banyak pekerja-pekerja yang dibuang kerja telah pun mula membuat pekerjaan sendiri atau pun berniaga sendiri secara penjajaan seumpamanya jual burger, kueteow, kueteow kerang yang disuka oleh Paya Terubong, Y.B. Paya Terubong.
Dato’ Speaker:
Betulkah?
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Ha, dia suka kueteow. Ataupun buka gerai-gerai mi dan sebagainya. Tetapi pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang ataupun Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak mengeluarkan lesen untuk mereka menjaja. Ini satu masalah kalau sekiranya kita tidak ada persefahaman ataupun kita tidak ada perundingan dengan pihak berkuasa tempatan supaya melonggar dan mengeluarkan lesen penjaja sementara untuk mereka ini kerana di hadapan mata saya sendiri telah berlaku pihak berkuasa tempatan datang mengambil, ambil sekali dengan kueteow, dengan kuali, dengan periok dan sebagainya. Jadi kalaulah dalam keadaan kegawatan, kelembapan ekonomi negeri kita, kalau sekiranya pihak berkuasa tempatan mengadakan satu perundingan dengan portfolio Y.B. Machang Bubuk untuk mengatasi masalah ini dan keluarkan lesen penjaja sementara kepada pihak-pihak yang sudah pun menganggur menjalankan penjaja secara kecil-kecilan. Sekian, terima kasih.
Dato’ Speaker:
Terima kasih kerana memberi pandangan, macam orang bahas.
Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik):
Soalan Tambahan.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan, tidak ada soalan tambahan ya.
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
….apa ini, berunding dengan pihak berkuasa tempatan.
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Saya memang sudah mengadakan perundingan dengan satu, dengan kedua-dua pihak majlis perbandaran, mereka telahpun dijemput berdialog dengan mereka yang menganggur yang kita jemput untuk membincangkan tentang perkara menceburkan diri dalam perniagaan kecil. Selain daripada kedua-dua majlis perbandaran, kita telah pun menjemput MARA, Bank Pembangunan, wakil dari Kementerian Luar Bandar untuk memberitahu kepada mereka tentang pembiayaan ataupun skim pinjaman untuk perniagaan kecil yang sedia ada. Dan juga menjelaskan kepada mereka tentang bagaimanakah boleh memohon untuk mendapatkan pinjaman itu bagi membiayai skim perniagaan kecil yang mereka ingin mencebur dan juga kita bercadang untuk mengadakan suatu bengkel untuk mengajar kepada mereka itu bagi mereka yang berminat dan mahir dalam perniagaan. Memang kita telah pun merayulah kepada kedua-dua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk melonggarkan pengeluaran lesen sementara waktu tetapi mereka mengatakan ada juga masalah sebab sektor informal pun menghadapi masalah sesak sungguh. Jadi kalau setakat hendak mengeluarkan secara bebas, maka mereka yang kini menceburkan, sektor informal ini mungkin tidak berapa puas hati juga. Ini adalah satu dilema yang kita hadapi tetapi cadangan yang dibuat oleh Y.B. dari Penanti baik dan saya akan menyusuli cadangan yang diberikan oleh Y.B. dari Penanti.
Ahli Kawasan Telok Kumbar (Y.B. Tuan Syed Amerruddin bin Dato’ Haji Syed Ahmad):
Dato’ Speaker, macam mana kita hendak buka berniaga kalau orang tidak ada duit hendak beli? Kalau kilang sudah buang 11,000 orang, sudah tidak ada duit , gaji sebulan tidak ada, macam mana dia hendak beli barang, macam mana hendak buka kedai tepi jalan?
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Ada beberapa agensi kerajaan yang memang sedia dan ada skim pinjaman untuk mereka yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan kecil. MARA ada, Kementerian Luar Bandar ada, Bank Pembangunan ada dan itulah sebabnya kita mengatur satu dialog antara mereka dengan wakil agensi-agensi ini dan wakil agensi-agensi ini memaklumkan kepada mereka tentang adanya skim pinjaman itu dan ini adalah sebagai sebahagian daripada langkah kita untuk mengatasi kekangan kewangan yang disebutkan oleh Y.B. dari Telok Kumbar ini. Tetapi peratus daripada mereka yang hadir yang betul-betul minat terhadap menceburkan dalam perniagaan bukan tinggi sangat.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan, saya ingat ini dari depan ke belakang?
Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik):
Ini depan, depan.
Dato’ Speaker:
Depankah, depan, boleh.
Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik):
Memandangkan menggalakkan ekonomi dan menambahkan pelaburan masuk Pulau Pinang adalah mustahak, soalan saya adakah Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat menggalakkan pelabur-pelabur negara asing masuk Pulau Pinang atau Malaysia dengan kemudahan Imigresen dan kemudahan penduduk tetap untuk orang asing masuk Malaysia khasnya Pulau Pinang?
Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik):
Contohnya tahun 1998, Asia menghadapi kemerosotan ekonomi di mana Thailand ada satu polisi, dia menggalak itu pelabur asing masuk Thailand. Kalau pelabur asing boleh melaburkan 10 juta bath, dia boleh mendapat penduduk tetap di Thailand. Singapura pun macam itu juga- dua juta Singapore Dollar tetapi sayangnya di Pulau Pinang banyak orang Indonesia yang mahu masuk ke Pulau Pinang untuk melabur, beli rumah, beli properties tetapi dia tidak boleh dapat penduduk tetap. Dia tidak mahu datang, semua pergi ke Thailand, semua pergi ke Singapura dan kita sayanglah.
Tidak lama lagi ada satu projek iaitu Silver Hair yang mahu masuk ke Pulau Pinang bina Taiwan Village atau Kampung Taiwan, Jepun pun ada, Hongkong pun ada tetapi sebab susah dapat penduduk tetap dan sayanglah dia pergi Singapura, dia pergi ke lain tempat. Pulau Pinang satu tempat kita panggil Pulau Mutiara dan banyak orang yang mahu datang Pulau Pinang. Kalau kita tidak ubah polisi Imigresen maka kita memangnya rugi banyak. Tetapi kita di Pulau Pinang boleh fight, boleh merayu kepada Kerajaan Pusat untuk special. Ini sebab kalau kita tidak ubah sikit kita punya polisi maka memang kita akan rugi banyak itu investment. Banyak-banyak rugilah. Adakah kemudahan Imigresen penduduk tetap bagi orang asing melabur di sini dan bukan sebagai pekerja asing datang ke sini, dia korek duit dan bawa balik, tahu?
Dato’ Speaker:
Wah duit ada dalam tanahkah?
Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik):
Di sini, dia kerja-kerja, duit. Sayanglah. Memang tidak lama lagi orang Jepun mahu datang dan ini saya pun senanglah mahu cari itu. Soalan saya itu Imigresen…..(gangguan)
Dato’ Speaker:
Oh…soalan sudah lupa.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B.Encik Lim Boo Chang):
Bukan. Tidak lupa. Kemudahan Imigresen atau kemudahan penduduk tetap bagi orang asing mahu melabur sini memang itu bukan kita ada saja, Thailand pun ada, Singapura pun ada, China pun ada tetapi kita tidak tahu pakai kemudahan itu.
Dato’ Speaker:
Kalau ada duit, kita sama-sama pergi koreklah. Tidak payah beritahu orang.
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dr. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Dato’ Speaker, saya mengucapkan terima kasihlah kepada Y.B. Pengkalan Kota kerana membangkitkan isu berkenaan dengan Imigresen tetapi malangnya saya bukan Menteri Dalam Negeri tetapi saya memang tidak ada kuasa berkenaan dengan isu ini tetapi walau macam mana pun ada dua aspek kepada soalan yang dibangkitkan oleh Y.B. daripada Pengkalan Kota.
Satu, cadangan beliau mengizinkan mereka yang sedia membayar satu amaun tertentu untuk mendapat status permastautin tetap ataupun permanent resident.
Saya difahamkan sesiapa dari negara-negara asing yang sedia membayar RM150,000 bolehlah tinggal di Malaysia untuk selama 10 tahun. Tetapi RM150,000 ini mesti disimpan dalam akaun nama pemohon ini.
Yang kedua, sebenarnya apa yang kita lebih berminat ialah berkait dengan membenarkan pekerja-pekerja yang mahir seperti jurutera. Mereka yang memiliki kemahiran dalam ICT. Memang usahawan yang mungkin dalam tempoh jangka pendek Pulau Pinang ataupun negara Malaysia menghadapi kekurangan dan kekurangan ini perlu diisikan oleh impot pekerja-pekerja yang mahir, ahli-ahli kisas yang mahir dari negara asing. Kita pun telah lama membuat cadangan kepada Kerajaan Persekutuan. Bagi kategori ini, kita harus melonggarkan syarat berkait dengan pemastautin kita di Malaysia umpamanya memberikan tempoh permit yang lebih lama supaya mereka ini digalakkan datang.
Kemudian ada juga skim di mana insentif-insentif ditawarkan untuk menarik kembali rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom, mereka yang pakar dalam bidang-bidang yang dikehendaki untuk memajukan ekonomi Negeri Pulau Pinang dan Malaysia. Skim ini telah pun dirangka dan telah pun diumumkan tetapi sejauh manakah berjayanya skim ini, saya tidak ada maklumat ataupun statistik ini untuk memaklumkan kepada Y.B. daripada Pengkalan Kota. Sekian.
Dato’ Speaker:
Ada lagi soalan tambahan?
Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):
Soalan tambahan yang akhir.
Dato’ Speaker:
Yang akhir? Saya yang menentukannya.
Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):
Saya tengok Y.B. Dato’ Speaker hendak mengumumkan untuk rehat.
Y.B. Dato’ Speaker, saya ingin tanya berkenaan dengan berapa lagikah bilangan kilang asing atau gergasi, multi nasional kilang di Pulau Pinang ini yang sudah ada tanda-tanda ingin menutupkan operasi mereka di Pulau Pinang. Yang kedua, sebagai bila peristiwa 11.9.2001 berlaku di New York maka kita juga ada mendengar khabar angin, oleh sebab Malaysia ini juga ada segolongan yang meminta supaya orang Malaysia pergi ke Afghanistan untuk berjihad, jadi khususnya saya tidak mahu hendak sentuhlah parti yang mana. Jadi apakah kesan daripada kenyataan semacam ini yang memberikan gambaran kepada khususnya kilang asing yang beroperasi di Negeri Pulau Pinang dan ada sama kita juga ada nampak tanda-tanda kemungkinan mereka oleh sebab kebimbangan mereka juga ada rancangan untuk menarik diri daripada negeri kita. Itulah soalan saya.
Dato’ Speaker:
Sudah jadi menteri.
Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):
Dato’ Speaker, saya tidak tahulah, tidak sedar bahawa ada di antara kilang-kilang, khasnya daripada Amerika Syarikat yang bercadang hendak menarik diri dari Pulau Pinang atas sebab yang disebutkan oleh Y.B. dari Jawi. Kalau hendak menarik diri dan menempatkan semula di tempat lain yang mendorong mereka berbuat demikian adalah sebab-sebab ekonomi bahawa Pulau Pinang pun kehilangan daya saing dalam industri yang berintensif buruh. Jadi oleh kerana Negeri China umpamanya mempunyai penganugerahan tenaga buruh yang banyak dan kos ataupun seunit industri intensif buruh ini lebih rendah maka berlakunya pemindahan kilang dari sini ke sana. Jadi setahu sayalah setakat ini faktor-faktor ekonomi yang utama dari segi mendorong mereka berpindah dari satu negara ke satu negara yang lain. Politik memang ada tetapi yang diutamakan ialah kestabilan politik. Bagi negara Malaysia setakat ini, Malaysia adalah sebuah negara yang aman, sentosa dan kalau kita dapat kekalkan kestabilan politik maka saya rasa apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat tidak menjadi masalah yang besar sangat.
Kemudian berkenaan dengan berapa bilangan kilang akan ditutup di mana setahu saya bagi tahun ini kilang multi national yang telah mengumumkan penutupan adalah Seagate di Perai yang melibatkan 4,200 orang pekerja dan terdapat 6 buah kilang lagi iaitu satu di Pulau Pinang dan lima di Butterworth yang dijangka akan ditutup dalam tempoh enam bulan hadapan. Itu ialah setakat apa yang saya boleh memberitahu Y.B. dari Jawi.