MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan SOALAN BERTULIS OLEH Y.B. ENCIK LIM CHIEN AUN 8. Apakah kemudahan dan prasarana yang disiapkan oleh pihak kerajaan negeri atau sektor swasta untuk Penyelidikan dan Pembangunan (Research & Development) yang boleh digunakan oleh sektor awam dan swasta. Adakah pihak kerajaan negeri memberi insentif kepada pihak yang berminat dan layak untuk kendalikan projek-projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk manfaat negeri dan negara.
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Kajian

Jawapan

JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI

8. Kerajaan Negeri, melalui Perbadanan Pembangungan Pulau Pinang (PDC), telah membangunkan taman-taman perindustrian yang dilengkapi dengan kemudahan prasarana asas yang lengkap untuk menggalakkan syarikat-syarikat berteknologi tinggi melabur di Pulau Pinang. Pada lazimnya, syarikat-syarikat berteknologi tinggi ini mempunyai aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), terutamanya teknologi proses (process R&D) bagi operasi mereka. Syarikat Motorola, Intel, Inventec dan Seagate adalah di antara syarikat-syarikat berteknologi tinggi dengan elemen R&D yang canggih dalam operasi mereka.

Langkah menggalakkan aktiviti R&D juga selaras dengan usaha-usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Pusat Pembuatan Bersepadu (IMC) bagi menggalakkan aktiviti-aktiviti Nilai di Tambah Tinggi (high value added) yang merangkumi aktiviti R&D, perancangan strategik, rekabentuk, pemasaran dan logistik. Beberapa syarikat seperti Motorola, Dell, Intel, Inventec dan Bosch telah mencapai status IMC.

Di samping prasarana fizikal, bekalan tenaga kerja mahir juga merupakan faktor penting untuk menyokong aktiviti R&D. Di dalam hal ini, selain daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain, politeknik dan institut-institut latihan, PSDC memainkan peranan penting untuk memastikan terdapatnya tenaga kerja mahir yang terlatih mengikut kehendak dan keperluan industri teknologi tinggi di Pulau Pinang.

Pusat Inovasi dan Perundingan di USM dan SIRIM Berhad di Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah juga terlibat dalam program-program berkaitan R&D. Pusat Inovasi dan Perundingan menawarkan sumber kepakaran dan fizikal universiti untuk sektor perindustrian dan sektor awam. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk R&D, perundingan, latihan untuk pembangunan sumber manusia, pemindahan teknologi dan pembangunan perniagaan. Pusat ini juga menawarkan kemudahan fizikal dan sokongan untuk pihak swasta mewujudkan program R&D mereka tersendiri dalam universiti tersebut.

SIRIM Berhad pula mempunyai program R&D dengan fokus dalam bidang Teknologi dan Sains Bahan (Materials Science and Technology) dan Teknologi Proses (process technology). Secara amnya, syarikat-syarikat berkenaan memilih untuk menjalankan aktiviti R&D mereka dalam premis kilang sendiri dan kemudahan-kemudahan di USM.

Bagi menggalakkan syarikat-syarikat menjalankan aktiviti R&D, terdapat insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Insentif utama yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat R&D yang berkelayakan ialah taraf perintis (Pioneer Status) dengan pengecualian penuh cukai pendapatan (pada paras pendapatan berkanun) selama lima tahun ATAU Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) ke atas perbelanjaan modal yang layak yang dilakukan dalam tempoh 10 tahun. Elaun Cukai Pelaburan ini boleh diimbangi dengan 70% pendapatan berkanun pada tahun taksiran. Di antara syaratnya ialah peratusan tenaga kerja berkelayakan yang terlibat dalam penyelidikan dan teknikal, isi kandungan teknologi tinggi dan aktiviti R&D.

Terdapat beberapa syarikat MNC yang beroperasi di Pulau Pinang berjaya mendapatkan galakan strategik dan teknologi tinggi kerana mencapai syarat-syarat tersebut. Berdasarkan kepada fakta ini, wujudlah pemindahan teknologi dari syarikat-syarikat ini kepada pekerja tempatan. Terdapat juga pekerja tempatan yang menjadi usahawan dengan menggunakan teknologi ini dengan kebenaran daripada syarikat-syarikat MNC. Sebahagian daripada usahawan-usahawan tempatan ini telah menjadi pembekal global dengan menceburi pasaran antarabangsa.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berupaya memberi geran kerana kekurangan sumber kewangan manakala aspek insentif cukai pula adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Akan tetapi, kerajaan negeri akan terus membantu dan mempromosikan pembangunan R&D melalui perhubungan rapatnya dengan industri. Ini juga selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengalihkan industri ke k-ekonomi di mana dalam jangka panjang pelaburan di dalam R&D amatlah diperlukan. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri akan menggalakkan kilang-kilang di negeri ini mendapatkan peruntukan geran dan insentif dari Kerajaan Persekutuan di bawah program-programnya seperti Penggalakan Penyelidikan dalam Bidang Utama (Intensification of Research in Priority Areas) dan Skim Dana Industri R&D (Industry R&D Grant Scheme).

Kembali