MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan SOALAN BERTULIS OLEH Y.B. DR. RADIN MUHAMAD AMIN BIN RADIN HAJI HADI MUNIR 13. Apakah hasil kajian impak dari segi sosial, alam sekitar, ekonomi dan politik apabila jambatan kedua Pulau Pinang siap dibina nanti.
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Pembangunan

Jawapan

JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI

13. Telebih dahulu saya ingin menghuraikan latarbelakang berkenaan projek Jambatan Pulau Pinang supaya memberi gambaran yang lebih jelas terhadap asal-usulnya cadangan projek laluan kedua.

Mewujudkan satu laluan tetap berbentuk jambatan yang menyambungkan bahagian pulau dan Seberang Perai memang merupakan hasrat rakyat Pulau Pinang sejak tahun 1960an lagi. Pada permulaan tahun 1970an, beberapa kajian fisibiliti telah dibuat dan keputusan penerimaannya dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pada penghujung tahun 1970an. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan bermula pada awal 1980 dengan kerja-kerja tebusguna tanah, kerja pembinaan jambatan dimulakan pada awal tahun 1982 dan siap sepenuhnya pada bulan September 1985.

Jambatan Pulau Pinang telah menjadi infrastruktur yang amat penting dan mercutanda (landmark/icon) yang popular untuk berulang-alik dari bahagian pulau ke tanah besar dan sebaliknya.

Satu jangkaan bilangan kenderaan perjalanan sehala yang melalui plaza tol jambatan telah dibuat pada tahun 1992 bagi tempoh tahun 1993 hingga 2018, akan tetapi angka bilangan kenderaan sebenar telah meningkat dengan pesatnya. Bagi tahun 1993, angka sebenar ialah 9.20 juta berbanding dengan jangkaan 8.87 juta. Bagi tahun 1996, adalah 14.73 juta berbanding dengan 10.33 juta, iaitu lebihan 4.4 juta atau 43 peratus. Bagi tahun 2000 pula, adalah 18.46 juta berbanding dengan 11.98 juta, iaitu lebihan sebanyak 6.48 juta atau 54 peratus.

Peningkatan pesat dan mendadak ini tidak dijangka semasa perancangan jambatan pada awalnya mahupun semasa penswastaan pada 1993 kerana:

i. Pertumbuhan ekonomi yang pesat pada tahun 1990an meningkatkan pendapatan per kapita dan kuasa beli rakyat.

ii. Peningkatan pemilikan kenderaan persendirian terutamanya dengan pengeluaran kereta nasional.

iii. Peningkatan ketibaan pelancong domestik dan juga kenderaan dari luar Negeri Pulau Pinang, terutamanya selepas Lebuhraya Utara Selatan siap dibina pada 1994.

Statistik jumlah kenderaan yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1996 sebenarnya telah melebihi “Level of Service C” mengikut kriteria Jabatan Kerja Raya, yang menunjukkan aliran lalulintas terjejas akibat kapasiti kenderaan yang semakin bertambah.

Selanjutnya pada tahun 1997-98, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mulai berbincang berkenaan pelebaran Jambatan Pulau Pinang untuk menjadi enam lorong iaitu tiga lorong setiap hala.

Walaubagaimanapun, untuk merealisasikan cadangan melebarkan jambatan, adalah didapati bahawa kerja-kerja menanam cerucuk (piling) hendaklah dilaksanakan di dua-dua belah jambatan yang sedia ada dan ini mungkin akan menjejaskan struktur dasar laut jambatan sekarang. Selain daripada itu, bagi menjalankan kerja pelebaran lorong ketiga ini, lorong di luar bagi setiap hala hendaklah ditutup selama dua setengah tahun, iaitu tinggal satu lorong sehala. Ini akan menyebabkan kesesakan yang amat serius yang sudah pasti akan melumpuhkan (cripple) urusan ekonomi dan sosial seharian rakyat.

Untuk mengelakkan keadaan serius sedemikian, alternatifnya ialah pelebaran jambatan dengan hanya membina satu lorong motorsikal bagi setiap hala. Ini tidak memerlukan kerja-kerja penanaman cerucuk dan menjamin struktur dasar laut jambatan sedia ada tidak akan diganggu. Ianya juga dijangka menjejas sedikit aliran lalulintas jambatan kerana melibatkan penutupan separuh lorong luar sahaja. Kerja-kerja pelebaran ini dijadualkan bermula awal tahun 2002 dan mengambil masa kira-kira satu setengah tahun untuk siap.

Namun, pembinaan lorong motorsikal dijangka hanya dapat meredakan aliran lalulintas di Jambatan Pulau Pinang sehingga lima tahun sahaja kerana mengambilkira trend milikan dan pertambahan kenderaan. Maka hasil daripada perbincangan pada tahun 1998 ini telah dirumuskan bahawa penyelesaian jangkamasa panjang yang munasabah adalah pembinaan laluan kedua.

Di samping isu lalulintas, isu keselamatan perlu juga diambil kira dengan serius. Dengan adanya satu laluan kedua yang kekal, akan memastikan bahawa fungsi pengangkutan dan perjalanan urusan seharian tidak terjejas sekiranya berlaku apa-apa kecemasan yang mengakibatkan Jambatan Pulau Pinang ditutup. Perkhidmatan feri, walaupun boleh dan akan dipertingkatkan, tidak mampu untuk mengendalikan keperluan ini. Sebagai contoh, penutupan Jambatan Pulau Pinang untuk Larian Jambatan Tahunan pada satu hari Ahad sahaja telah menimbulkan banyak gangguan dan masalah kepada para pengguna jambatan

Oleh itu, pada pertengahan tahun 2000, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memulakan perancangan laluan kedua, dan pada 15 September 2000 telah melantik juru perunding HSS Integrated Sdn. Bhd. (HSSI) dengan kerjasama Yachiyo Engineering Co (Ltd) (YEC) untuk menjalankan kajian kemungkinan.

Mulai bulan Mei 2001, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah beberapa kali meminta diadakan sesi taklimat dan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan dan juruperunding supaya dapat memberi pandangan dan maklumbalas kami, akan tetapi atas sebab-sebab tertentu, sesi ini tidak dapat diadakan.

Akhirnya, selepas kajian tersebut disiapkan, satu sesi taklimat telah dapat diberi kepada Kerajaan Negeri pada 31 Julai 2001. Selepas sesi tersebut, Y.B. Menteri Kerja Raya mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan cadangan untuk membina laluan kedua dan jajarannya adalah di Laluan Utara. Kerajaan Negeri Pulau Pinang seterusnya meminta diadakan sesi taklimat dan perbincangan lanjut bagi meneliti pilihan lokasi yang paling sesuai untuk manfaat semua pihak.

Dua sesi taklimat dan perbincangan diadakan pada 9 dan 30 Ogos 2001. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga mengambilkira pandangan daripada pihak-pihak lain termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Kajian kemungkinan oleh juruperunding menunjukkan bahawa laluan kedua Pulau Pinang adalah keperluan mendesak memandangkan jumlah kenderaan yang melalui Jambatan Pulau Pinang telah mencapai tahap 100,000 unit sehari (perjalanan dua hala), yang melebihi had kapasiti 80,000 sehari. Di samping itu, pembinaan jambatan kedua akan mencergaskan lagi pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang khasnya dan negeri jiran amnya.

Tiga alternatif laluan kedua telah dicadangkan seperti berikut:-

(1) Laluan utara sepanjang 9.2 kilometer dari Bagan Ajam ke Bagan Jermal dengan pembinaan terowong dasar laut dan jambatan atas anggaran kos RM2.351 billion.

(2) Laluan tengah sepanjang 7.8 kilometer dari Butterworth ke Jelutong dengan pembinaan terowong dasar laut dan jambatan atas anggaran kos RM2.572 billion.

(3) Laluan selatan sepanjang 23.6 kilometer dari Batu Kawan ke Batu Maung dengan pembinaan jambatan dan jalan darat atas anggaran kos RM2.32 billion.

Setelah mengambil kira hasil kajian dan pandangan semua pihak, Kerajaan Negeri telah memilih Laluan Selatan sebagai yang paling sesuai bagi jambatan kedua Pulau Pinang berdasarkan aspek ekonomi, sosial, teknikal dan alam sekitar seperti berikut:.

(1) Pengagihan dan Penjanaan Pertumbuhan Kawasan
Baru

Pembinaan jambatan kedua di Laluan Selatan dapat mengagih, memangkin serta menjanakan pertumbuhan ekonomi ke kawasan-kawasan baru selain daripada George Town dan Butterworth. Kawasan-kawasan yang akan mendapat manfaat daripada pembinaan jambatan ini ialah Juru ke Nibong Tebal, Wilayah Batu Kawan dan Wilayah Transkrian di Seberang Perai Selatan serta Bayan Baru, Bayan Lepas, Teluk Kumbar sehingga Balik Pulau di bahagian pulau, kawasan selatan Kedah dan utara Perak. Bagaimanapun, pembinaan laluan kedua di Seberang Perai Selatan tidak akan menjejaskan pembangunan di kawasan Seberang Perai Utara dan Tengah yang dijangka akan terus berkembang dan dalam pelaksanaan dengan adanya koridor Butterworth-Kulim-Sungai Petani. Kawasan Georgetown dan Pantai Utara pula tetap akan mempunyai ciri-ciri daya penariknya sebagai bandaraya warisan dan zon pelancongan. Ini adalah selaras dengan matlamat dan visi kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan yang seimbang antara daerah-daerah di Negeri Pulau Pinang.

(2) Penyuraian Trafik
Laluan kedua akan membantu menyuraikan trafik dari George Town dan kawasan pantai utara kerana kawasan George Town dan Butterworth kini menghadapi masalah kesesakan lalulintas yang semakin serius. Sekiranya jambatan kedua dibina di kawasan utara, ini akan memburukkan lagi masalah kesesakan trafik serta menjejaskan kualiti kehidupan penduduk di dua kawasan bandar tersebut.

(3) Mempertingkatkan Peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas

Laluan kedua di selatan ini akan memperluaskan lagi kawasan hinterland bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas termasuk kawasan di Perak dan Kedah. Ianya akan menjamin dan mempertingkatkan lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai “air hub” di wilayah utara Semenanjung dan IMT-GT.

(4) Keselamatan dan Pembangunan Pelabuhan Masa Depan

Kedalaman maksimum dari paras laut bagi bahagian terowong dasar laut dianggar tidak melebihi 15 meter ACD (Admiralty Chart Datum). Ini akan menghadkan potensi pelabuhan untuk menampung keperluan kapal-kapal yang besar pada masa hadapan. Di samping itu, kerja pembinaan laluan di Laluan Utara akan menjejaskan rejim Pelabuhan Pulau Pinang untuk operasi semasa.

(5) Keselamatan Laluan Kapal Terbang TUDM
Pembinaan struktur laluan kedua di Laluan Utara terletak dalam kawasan Obstacle Limitation Surface dan Inner Horizontal Surface, bagi operasi pesawat udara di lapangan terbang TUDM Butterworth. Ini boleh menjejaskan keselamatan pesawat udara. Di samping itu, pihak TUDM dalam Rancangan Malaysia Kelapan mempunyai rancangan untuk membesarkan lapangan terbang sedia ada.

(6) Isu Pengambilan Balik Tanah dan Penempatan Semula Penduduk

Laluan Utara melibatkan prime areas dan kepadatan penduduk yang tinggi. Sehubungan dengan itu, pengambilan balik tanah dan penempatan semula penduduk dijangka melibatkan kos yang agak tinggi dan menimbulkan masalah-masalah rumit seperti mana yang dialami oleh Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan projek Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuhraya Jelutong (JEWay). Pembinaan jambatan kedua di Laluan Selatan dijangka tidak melibatkan kos pengambilan tanah yang tinggi dan penempatan semula penduduk yang ramai kerana Batu Kawan sekarang merupakan tanah pertanian milikan kerajaan.

(7) Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Warisan
Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan program pemuliharaan dan pembangunan kawasan warisan di kawasan dalaman Georgetown sebagai satu daya tarikan pelancong di samping melindungi dan memelihara sosio-budaya masyarakat tempatan. Laluan Utara yang memerlukan tebus guna tanah untuk mewujudkan 2 pulau buatan manusia (men-made island) berada terlalu hampir dengan kawasan pelingkungan warisan dan ini akan menjejaskan nilai dan pemandangan kawasan serta bangunan-bangunan warisan yang terlibat.

(8) Isu Kos dan Komponen Tempatan
Laluan Selatan walaupun lebih panjang iaitu 23.6 km berbanding dengan Laluan Utara 9.2 km, kosnya adalah lebih rendah, iaitu kurangan sebanyak RM30 juta. Kos yang tinggi bagi Laluan Utara disebabkan pembinaan terowong dasar laut yang rumit dan memerlukan kepakaran asing dan komponen import yang besar yang juga akan mengakibatkan kehilangan tukaran wang asing. Di sebaliknya, oleh kerana laluan selatan memerlukan pembinaan jambatan sahaja, ianya dapat dikendalikan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan dengan komponen tempatan yang tinggi, di samping memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor dan pekerja-pekerja tempatan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pembinaan jambatan kedua dengan sendirinya tidak akan menyelesaikan masalah lalulintas. Ianya perlu disokong oleh program infrastruktur dan pengurusan lalulintas seperti berikut:

(1) Melebarkan Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada dengan membina lorong motosikal secepat mungkin;

(2) Mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Jelutong (JEWay), Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan Lingkaran Luar Butterworth (BORR);

(3) Membina rangkaian jalan-jalan yang baru dan memperbesarkan jalan-jalan utama yang sedia ada untuk penyuraian lalulintas;

(4) Menambah dan mempertingkatkan perkhidmatan feri tanpa menjejas lalulintas kapal-kapal di kawasan pelabuhan tersebut;

(5) Mempertingkatkan sistem pengangkutan awam (public transportation system) dalam kawasan-kawasan bandar.

Pendirian Kerajaan Negeri mengenai pembinaan Jambatan Kedua di Laluan Selatan berasaskan pertimbangan yang menyeluruh ini telah dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan. Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa jambatan kedua akan dibina di Laluan Selatan. Selanjutnya, kajian yang lebih terperinci akan dilaksanakan, termasuk penilaian impak alam sekitar dan impak trafik serta kerja menetapkan jajaran dan rekabentuk. Ini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun. Perlaksanaan projek adalah dijangka sekurang-kurang lima (5) tahun.

Di samping itu, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan para juruperunding pengangkutan akan terus menerokai strategi dan langkah-langkah untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan yang mampan (sustainable transportation system) bagi jangkamasa panjang untuk seluruh negeri kita. Dalam perkara ini, Kerajaan Negeri akan mendapat dan menghargai pandangan dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam.

Kembali