Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI
48. Kerajaan Negeri melancarkan Penang Net hampir lima tahun yang lalu dengan matlamat untuk mewujudkan sebuah negeri yang mempunyai rangkaian dan perhubungan teknologi maklumat yang canggih untuk memenuhi keperluan penduduknya.
(A) Kemajuan dan Perkhidmatan Penang Net
(i) Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewujudkan Penang Net dengan objektif jangka panjang untuk mengemudi Negeri Pulau Pinang ke era ICT. Selari dengan objektif ini, sebuah syarikat usahasama, iaitu Penang Network Services Sdn. Bhd. (PNS), di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan syarikat-syarikat swasta tempatan telah ditubuhkan untuk mengurus dan mengoperasikan Projek Penang Net.
(ii) Projek Penang Net adalah untuk mempromosi penggunaan ICT di negeri ini dan menggalakkan para peniaga dan pengguna menceburi bidang baru ini dan menggunakan teknologi internet dalam urusan harian mereka. Kini, projek Penang Net telah berjaya meningkatkan kesedaran tentang potensi dan keupayaan internet melalui seminar, pameran, laporan media, pelancaran produk dan perkhidmatan oleh Penang Net. Tambahan pula, beberapa jaringan negeri seperti Selangor Net, Sabah Net, Trengganu Net dan lain-lain yang telah diwujudkan oleh negeri-negeri lain selepas pelancaran Penang Net pada tahun 1996.
(iii) Beberapa buah portal telah dibentuk oleh Penang Net seperti berikut:-
(a) e-SMI (www.esmi.net.my) – untuk menggalakkan industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan perkhidmatan dan barangan mereka melalui internet dan hubung-menghubungi di antara satu sama lain secara elektronik.
(b) e-pelancongan (www.exoticpenang.com.my) – untuk memasarkan Pulau Pinang sebagai pusat pelancongan di rantau ini kepada seluruh dunia.
(c) e-Pelabur (www.investpenang.com.my) – untuk menarik lebih banyak syarikat multinasional serta tempatan untuk melabur di Pulau Pinang.
(d) e-pembelajaran (www.el.com.my) – untuk menghubungkan sekolah-sekolah menengah dan rendah, menggalakkan pewujudan laman web sekolah dan menggalakkan murid-murid belajar secara elektronik.
(e) portal penempatan kerja (www.egap.com.my) – untuk membantu para graduan mendapat pekerjaan dalam sektor pengilangan yang berteknologi tinggi, melalui proses “penjodohan†para graduan dan syarikat-syarikat pengilangan.
(iv) Beberapa buah produk yang bertumpu kepada konsep “Perniagaan ke Perniagaan (B2B)†dan “Perniagaan ke Pengguna (B2C)†juga telah ditawarkan kepada syarikat-syarikat multinasional dan tempatan, seperti berikut:-
(a) e-Niaga (www.eniaga.com.my) – merangkumi pengurusan berantai (supply chain management) dan rangkaian penghabisan kargo udara dan laut (cargo clearance network).
(b) E-Pedagang (www.moset.com) – membantu para pedagang tempatan untuk berurusniaga dan menjual barangan mereka secara talian dengan kemudahan pembayaran yang secure.
(v) Laman Web Penang Net juga disediakan untuk pengguna-pengguna internet memperolehi berbagai-bagai maklumat mengenai Pulau Pinang. Perkhidmatan sistem integrasi, web-hosting, co-location, pembangunan portal, kawalan keselamatan internet, perhubungan fizikal dan internet serta berbagai jenis perkhidmatan IT juga ditawarkan oleh Penang Net.
(vi) Projek Penang Net ini memerlukan masa yang lama untuk melaksanakan lebih banyak projek-projek baru kerana bidang perniagaan internet ini merupakan bidang yang masih baru. Tambahan pula, bidang ini mempunyai lingkungan pembelajaran (learning curve) yang panjang.
(B) Cara Perkhidmatan Penang Net dikendalikan
(i) Untuk mengendalikan dan mengurus projek-projek Penang Net, dua buah syarikat subsidiari PNS telah ditubuhkan seperti berikut:-
(a) Moset Sdn. Bhd. yang menawarkan perkhidmatan e-dagang. Seorang pakar internet membangunkan dan menyelenggara program dan perisian. Pemasaran dan promosi sama ada melalui web atau penjualan langsung dilakukan oleh eksekutif pemasaran syarikat ini.
(b) PNS Technologies Sdn. Bhd. – yang menawarkan integrasi sistem, hubungan global, penyelesaian berasaskan web, web hosting, co-location dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Tiga orang jurutera yang diiktiraf oleh microsoft mengurus, membangun dan menyelenggara penyelesai-penyelesaian yang ditawarkan. Syarikat ini juga telah menggaji beberapa orang pakar IT daripada syarikat-syarikat lain untuk bekerja bersama bagi tugas-tugas pembangunan dan penyelesaian dari semasa ke semasa.
(c) Pemasaran dan promosi Penang Net dilakukan oleh beberapa orang eksekutif pemasaran dan jualan dari PNS.
(C) Ekuiti Penang Net
(i) PNS ditubuhkan pada 13 Jun 1996. Para pemegang saham PNS pada masa itu ialah PDC (29%), Pentanah Sdn. Bhd. (15%), THB Asia Connect (Penang) Sdn. Bhd. (51%) dan BSB On-Line Sdn. Bhd. (5%).
(ii) Oleh kerana THB Asia Connect Sdn. Bhd. ingin menjual syarikatnya kepada sebuah syarikat peneroka kapital (Venture Capitalist) dari negara America Syarikat, penstrukturan semula para pemegang saham telah dijalankan pada 2 Julai 1998. Akibat daripada penstrukturan semula ini, saham THB Asia Connect Sdn. Bhd. dalam PNS (iaitu sebanyak 51%) telah dipindahkan kepada 2 buah syarikat tempatan lain iaitu Tongkah Holdings Berhad (30.6%) dan PPH Technology (M) Sdn. Bhd. (20.4%).
(iii) Oleh kerana kegawatan ekonomi yang melanda rantau ini, Tongkah Holdings Berhad telah menjual kesemua sahamnya kepada A-PAC Multimedia Sdn. Bhd. (A-PAC), sebuah anak syarikat THB Industries Berhad, yang kemudiannya ditukar namanya ke KOBAY Technologies Berhad.
(iv) Oleh kerana objektif Penang Net tidak lagi selari dengan objektif perniagaan MAXIS, MAXIS On-line Sdn. Bhd. juga menjual kesemua 5% ekuitinya dalam PNS kepada A-PAC pada 19 Julai 2001.
(v) Sejak penubuhan pada 13 Jun 1996 hingga 30 Jun 2001, kerugian terkumpul adalah RM3.9 juta dan modal terbayar, premium saham dan pinjaman yang dilaburkan oleh pemegang saham adalah RM3.873 juta.
(D) Manfaat Kepada Rakyat
(i) Perkhidmatan yang setakat ini ditawarkan oleh Penang Net bukan sahaja dapat manfaatkan golongan penduduk bandar terlibat dengan perniagaan dan perkhidmatan malah rakyat di luar bandar juga mendapat manfaat dari khidmat e-pembelajaran dan portal penempatan kerja. Usaha-usaha untuk mempromosikan perkhidmatan-perkhidmatan ini juga dilaksanakan melalui surat khabar dan pelancaran produk Penang Net.
(ii) Melalui portal-portal Penang Net, keseluruhan rakyat termasuk yang berada di luar bandar dapat memperolehi maklumat tentang pelaburan, pentadbiran kerajaan negeri, pelancongan, SMI, pembelajaran, berita Pulau Pinang dan lain-lain. Ia amat mudah dan menjimatkan masa, tenaga serta kos kerana mereka tidak perlu ke bandar atau berkunjung ke pejabat yang berlainan untuk memperolehi maklumat yang diperlukan.
(iii) Melalui portal e-pembelajaran, Penang Net berkerjasama dengan Unit Penyelidikan Pendidikan Asas, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program SIPI (Student Industry Partnership Initiative) melatih guru-guru dari sekolah di luar bandar dan bandar untuk membangunkan laman web sekolah. Murid-murid pula boleh mempelajari mengenai seni lukis, warisan, astronomi, alam semulajadi, kesusasteraan dan sains daripada laman-laman web yang dihiperangkai kepada portal ini.
(iv) Portal penempatan kerja juga telah memberi manfaat kepada para penduduk termasuk mereka yang berada di luar bandar kerana mereka dapat mencari pekerjaan sementara dengan syarikat multinasional. Ini memberi peluang kepada penduduk negeri ini, termasuk dari luar bandar untuk bekerja dengan syarikat multinasional.
(v) Para penduduk negeri tidak dikenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan Penang Net yang diberikan melalui portal-portal yang sedia ada. Penduduk negeri dapat memperolehi maklumat-maklumat seperti pelancongan, pelaburan, SMI, pembelajaran daripada portal-portal seperti yang disebut di atas.
(vi) Penang Net akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi program untuk memberi manfaat kepada semua rakyat melalui kerjasama dengan institusi-institusi, NGO dan syarikat-syarikat swasta yang lain.
(E) Penduduk negeri tidak dikenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan PNS yang diberikan melalui portal-portal yang sedia ada (sila rujuk kepada butiran (a) di atas). Penduduk negeri dapat memperolehi maklumat-maklumat seperti pelancongan, pelaburan, SMI, pembelajaran daripada portal-portal yang diuruskan oleh PNS seperti yang disebut di atas. Pendapatan yang diperolehi oleh PNS adalah melalui pemasaran perkhidmatan dan penjualan produk dan barangan kepada peniaga-peniaga dan jabatan-jabatan kerajaan. Harganya adalah berbeza-berbeza bergantung kepada perkhidmatan dan produk, skopnya dan bilangan pengguna.
(F) Keuntungan atau kerugian telah dicatatkan oleh PNS adalah seperti berikut:-
Tahun (Kerugian)/
Keuntungan ** (yang telah diaudit)
30.06.1997 (RM500,180.00)
30.06.1998 (RM1,416,545.00)
30.06.1999 (RM569,786.00)
30.06.2000 (RM1,263,139.00)
30.06.2001* (RM150,386.00)
* Belum dibentangkan di Mesyuarat Agung Tahunan Pemegang Saham PNS.
** Termasuk kiraan perbelanjaan syarikat. Maklumat yang relevan bagi soalan ini adalah modal dan pinjaman sebanyak RM2,436,501 yang dilaburkan oleh pemegang saham dalam PNS.