MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan SOALAN BERTULIS OLEH Y.B. ENCIK HILMI BIN HAJI ABDUL RASHID 10. Kerajaan Negeri telah menyediakan pinjaman beli komputer tanpa faedah kepada kakitangan awam di Pulau Pinang. (a) Berapa ramaikah yang menggunakan kaedah ini. (b) Berapakah jumlah yang dikeluarkan setakat ini. (c) Berapakah jumlah yang diberikan kepada setiap pemohon. (d) Adakah program ini telah berjaya mencapai tahap celik IT dikalangan kakitangan awam dan keluarga mereka. Adakah kajian dijalankan untuk tujuan tersebut.
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara -

Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI


10. (a) Skim Pinjaman Pembelian Komputer untuk Anggota Perkhidmatan Awam telah mula dilancarkan pada tahun 1993 dengan dikenakan bayaran perkhidmatan (faedah) yang rendah. Sejak skim tersebut diperkenalkan kerajaan negeri telah meluluskan pinjaman sebanyak RM2,408,125.77 kepada seramai 507 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri.

Mulai 1 Januari 2001, kerajaan negeri telah memperkenalkan skim pinjaman beli komputer tanpa faedah khas kepada kakitangan awam di bawah kumpulan sokongan II.

Setakat ini seramai 38 orang kakitangan awam dalam kumpulan itu telah mendapat pinjaman di bawah skim tersebut.


(b) Jumlah pinjaman yang diluluskan di bawah skim tanpa faedah ialah sebanyak RM188,700.00.

(c) Peruntukan maksima bagi Pembiayaan Pinjaman Komputer adalah sebanyak RM5,000.00. Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi setiap permohonan adalah mengikut nilai sebut harga bekalan komputer atau RM5,000.00 yang mana lebih rendah. Daripada 38 orang yang telah diberi pinjaman, seramai 35 kakitangan telah menerima pinjaman sebanyak RM5,000.00 seorang, 2 kakitangan menerima pinjaman sebanyak RM3,700.00 dan seorang menerima pinjaman sebanyak RM3,000.00.

(d) Kemudahan ini disediakan untuk semua kakitangan awam dibawah kumpulan sokongan II. Apabila skim pinjaman tanpa faedah diperkenalkan, jumlah peminjam di kalangan kumpulan sokongan II meningkat dengan mendadak iaitu 38 peminjam dalam tahun 2001 (sehingga September) berbanding seramai 106 peminjam sepanjang tahun 1993 hingga tahun 2000 dengan purata peminjam setahun seramai 13 orang.

Pusat Komputer mengendalikan kursus - kursus komputer untuk kakitangan awam dan atas permintaan, bilangan kursus ditambah dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun kajian secara spesifik berhubung dengan perkara tersebut belum lagi dilaksanakan.





Kembali