MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan SOALAN LISAN OLEH Y.B. ENCIK JASMIN BIN MOHAMED 66. Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan negeri bagi mengurangkan kemalangan yang terlalu banyak di simpang-simpang jalan yang begitu bahaya terutamanya di Maklom, Sungai Dua, Lahar Bubu, Simpang Empat Permatang Buloh dan Pekan Darat yang sering berlaku di kawasan-kawasan ini.
Dun -
Exco YB. DATO' KOAY KAR HUAH
Perkara Keselamatan Negara

Jawapan
Y.B. DATO’ KOAY KAR HUAH MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

66. Memang terdapat banyak simpang-simpang yang merbahaya di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Dua iaitu Maklom, Sungai Dua, Lahar Bubu, Simpang Empat Permatang Buloh dan Pekan Darat, yang mengakibatkan kemalangan. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengambil tindakan untuk melebarkan persimpangan dan memasang lampu isyarat di persimpangan Maklom dan Sungai Dua.

Ada beberapa faktor yang menjadi punca terjadinya kemalangan dan faktor ini merangkumi unsur-unsur seperti manusia, kenderaan dan persekitaran. Di samping itu, kecuaian pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan juga turut menyumbang kepada kemalangan selain dari kerosakan ke atas kenderaan-kenderaan. Keadaan persekitaran yang buruk (adverse environment) seperti jarak penglihatan yang kurang, waktu hujan lebat dan sebagainya turut menyumbang kepada kejadian kemalangan.

Sejajar dengan itu, beberapa pendekatan untuk mengurangkan kekerapan kejadian kemalangan telah diambil oleh Kerajaan Negeri. Antaranya ialah :

· Pendidikan kepada pengguna-pengguna jalan raya;
· Penguatkuasaan undang-undang jalan raya; dan
· Mengenalpasti penambahbaikan kejuruteraan terhadap jalan raya termasuk persimpangan
yang seringkali dikaitkan dengan kekerapan kejadian kemalangan.

Dalam memberi pendidikan kepada pengguna-pengguna jalan raya dan penguatkuasaan undang-undang, agensi-agensi yang bertanggungjawab telah dan sedang melaksanakannya agar kejadian kemalangan dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum.

Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi tertentu seperti JKR, MPPP dan MPSP akan terus menambahbaik jalan-jalan agar tahap keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan selain daripada menambahbaik tahap perkhidmatan jalan raya tersebut. Penambahbaikan yang dimaksudkan itu merangkumi pelebaran jalan-jalan, menaiktaraf persimpangan-persimpangan dengan mengadakan jalan-jalan sisi serta mengadakan persimpangan berlampu isyarat dan sebagainya.

Bagi persimpangan-persimpangan di Maklom, Lahar Bubu, Simpang Empat Permatang Buloh dan Pekan Darat akan dinaiktaraf sekiranya kajian yang dijalankan menunjukkan ke arah penambahbaikan persimpangan tersebut. Kajian yang akan dijalankan ini merangkumi aspek-aspek peningkatan keselamatan jalan raya, keluasan rezab jalan sedia ada serta keperluan untuk mengadakan lampu isyarat dan sebagainya.

Walau bagaimanapun halangan-halangan seperti gerai-gerai tepi jalan, bangunan-bangunan sedia ada dan sebagainya merupakan kekangan-kekangan yang perlu diambilkira dalam perancangan untuk menaiktaraf persimpangan-persimpangan yang dimaksudkan. Ini adalah kerana perlaksanaan akan terjejas sekiranya halangan-halangan tersebut tidak dapat diselesaikan.

Semua kerja-kerja melebarkan persimpangan dan memasang lampu isyarat di persimpangan Maklom dan Sungai Dua akan dijalankan sebaik sahaja proses pengambilan balik tanah selesai dilaksanakan manakala simpang-simpang di kawasan Lahar Bubu, Simpang Empat Permatang Buloh dan Pekan Darat didapati masalah lalulintas masih lagi terkawal dan keperluan seperti papan tanda berhenti, garisan jalan dan lampu jalan telah disediakan bagi mengawal pergerakan lalulintas di persimpangan tersebut.




Kembali