MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 2. Bolehkah Y.A.B. Ketua Menteri memberitahu usaha dan cara terbaik untuk mengembalikan kebersihan dan cahaya ‘Taman Timur’ bagi rakyat Pulau Pinang.
Dun -
Exco Y.B. DR. TENG HOCK NAN
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan
2. Mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dipertingkatkan dengan memperkenalkan etika kerja yang lebih berkesan serta mewujudkan satu sistem maklumbalas dari pembayar cukai terhadap kualiti perkhidmatan yang diberi. Pemantauan terhadap kontraktor-kontraktor juga dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan yang diberi menepati kehendak dan expektasi pembayar cukai.

Program kitar semula juga sedang digiatkan dalam bentuk program pendidikan dan kesedaran, pembekalan peralatan dan tong kitar semula serta pembinaan beberapa buah pusat pengumpulan kitar semula. Satu program perintis “Public Private Partnership In Community Waste Recycling” anjuran UNDP, MPPP, SERI dan Rukun Tetangga Daerah Timur Laut sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Satu perjumpaan juga telah diadakan baru-baru ini bersama Rukun Tetangga Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya Pulau Pinang untuk mendapatkan kerjasama bagi menubuhkan pasukan petugas kebersihan di peringkat komuniti masing-masing bertujuan membantu PBT memupuk tabiat kebersihan di kalangan penduduk setempat. Perjumpaan yang sama akan diadakan kelak di Seberang Perai.

Kedua-dua PBT telah juga diarahkan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan agar ianya dijalankan secara tegas, konsisten dan berterusan supaya orang awam sentiasa berhati-hati dan tidak melanggar peraturan.

Keadaan sekarang jelas menunjukkan bahawa amalan kebersihan belum lagi sebati dengan orang ramai dalam kehidupan harian mereka. Terdapat orang awam dan penjaja membuang sampah merata-rata dan melonggok sampah sewenang-wenangnya. Mereka berpendapat bahawa kerja-kerja menjaga kebersihan adalah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semata-mata. Kerja pembersihan yang dijalankan oleh PBT sahaja tidak akan membawa keberkesanan tanpa penglibatan masyarakat. Setiap lapisan masyarakat harus melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung bagi membersihkan kawasan sekeliling mereka.

Pihak PBT telah melancarkan beberapa kempen kesedaran dan pendidikan kesihatan. Sebagai contoh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah melancarkan kempen kesedaran pada 22 September 2002 dengan tujuan mempertingkatkan penglibatan warga sekolah, persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan dan semua lapisan masyarakat dalam usaha menjaga kebersihan kawasan sekeliling. Kempen MPPP bertemakan “KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA” dan fokus diberi kepada empat perkara utama iaitu :-

(a) Orang awam dilarang melonggok sampah secara sembarangan;

(b) Orang awam, penjaja dan premis perniagaan dikehendaki menggunakan karung plastik untuk tujuan pembuangan sampah serta menyediakan tong sampah bertutup mengikut ketetapan PBT;

(c) Orang awam dilarang membuang sampah ke dalam parit dan sungai; dan

(d) Orang awam dilarang membuang sampah merata-rata di sekeliling sekolah, tempat tumpuan awam, kawasan perniagaan dan tapak penjaja.


Untuk menggalakkan orang awam menggunakan tong sampah piawaian Majlis, MPPP telah memberi tong sampah percuma kepada setiap rumah kediaman bertanah pada tahun 1995. Walaupun kemudahan ini disediakan, akan tetapi sebilangan orang awam tidak menggunakannya. Seterusnya sampah sarap diselerakkan oleh haiwan dan mengotorkan kawasan sekeliling. Di mana tong sampahnya telah hilang atau rosak, pemilik boleh memperolehi tong sampah baru pada harga diskaun RM50.00 setiap satu.

PBT juga menyediakan perkhidmatan membersihkan parit-parit serta melantik kontraktor-kontraktor bagi pembersihan parit besar namun sikap segelintir orang awam menyulitkan usaha PBT kerana masih bertabiat membuang sisa-sisa makanan ke dalam parit yang kelak menyebabkan parit tersumbat dan menyekat pengaliran air yang sempurna. MPPP juga menanggung perbelanjaan yang besar bagi melantik kontraktor pembersihan pantai dan laut akan tetapi terdapat setengah pengunjung secara sewenang-wenangnya mengotorkan pantai dan membantut usaha Majlis untuk mengekalkan kebersihan.







Kembali