Jawapan
83. Untuk makluman Yang Berhormat, di bawah undang-undang Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 1987 terdapat 19 aktiviti yang memerlukan kajian EIA dan kajian pencemaran laut/sungai tidak tergolong di antara aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar pada setiap masa menjalankan kerja-kerja pengawasan kualiti air sungai mengikut program yang telah ditetapkan ke atas setiap sungai di negeri ini. Untuk makluman Yang Berhormat juga, pengukuran kualiti air sungai tidak diukur dari segi toksid, sebaliknya ia diukur berdasarkan kepada indeks kualiti air yang melibatkan pengawasan parameter-parameter pencemaran seperti biokimia yang diperlukan (BOD), Oksigen Kimia yang diperlukan (COD), pH, Oksigen Terlarut, Pepejal Terampai dan Ammoniakal Nitrogen.
Terdapat tiga sungai yang melalui kawasan perindustrian iaitu Sungai Juru bagi kawasan perindustrian Perai, Sungai Kluang bagi kawasan perindustrian Bayan Lepas dan Sungai Perai bagi kawasan perindustrian Mak Mandin. Berdasarkan kepada laporan pengawasan kualiti air ada tahun 2001 didapati Sungai Juru dan Sungai Kluang adalah tercemar iaitu berada dalam klas 4 indeks kualiti air manakala Sungai Perai adalah sederhana tercemar iaitu berada dalam klas 3 indeks kualiti air. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, bahawa ketiga-tiga kawasan perindustrian tersebut berada berhampiran dengan muara sungai. Oleh yang demikian, lain-lain punca pencemaran seperti air kumbahan daripada kawasan perbandaran dan ladang ternakan haiwan yang berada di hilir sungai-sungai tersebut juga merupakan penyumbang terbesar ke arah pencemaran sungai-sungai tersebut.
Usaha-usaha ke arah untuk memulihkan sungai-sungai tersebut sedang dilaksanakan. Dua Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh saya dan Y.B. Dato’ Haji Azhar bin Ibrahim akan berusaha untuk memastikan kualiti air sungai-sungai tersebut dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya ke klas 2 pada masa akan datang. Beberapa agensi teknikal sedang melaksanakan tugas masing-masing bagi memastikan tahap pencemaran dapat dikurangkan dengan pelaksanaan penguatkuasaan dan program pencegahan pencemaran sungai. Jabatan Alam Sekitar khususnya sentiasa membuat pemantauan ke atas kilang-kilang yang beroperasi di kawasan-kawasan perindustrian. Tindakan yang tegas akan diambil terhadap kilang-kilang yang melepaskan effluen ke sungai-sungai yang melebihi standard pelepasan yang ditetapkan. Untuk makluman pada tahun 2001 sebanyak 22 buah kilang telah diambil tindakan mahkamah kerana melepaskan effluen yang tidak mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan.