Jawapan
40. (a) Produk-produk pelancongan baru yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh dua tahun yang lalu dan sasaran pelancong bagi setiap produk baru itu adalah seperti berikut:-
(i) Pembangunan Pulau Jerjak sebagai resort peranginan tropika dengan kemudahan-kemudahan `eco-tourism’ yang menarik.
(ii) Pulau Aman yang merupakan pusat pelancongan berasaskan `agro-tourism’ dan Pulau Gedong sebagai sebahagian daripada pembangunan Pulau Aman.
(iii) Pembangunan Hutan Simpan Pantai Acheh sebagai Taman Negara.
(iv) Projek menaik taraf Kawasan Little India.
(v) Empangan Teluk Bahang untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti `sports-tourism’ dan rekreasi.
(vi) Projek pembersihan dan rawatan air Sungai Pinang sebagai kawasan rekreasi, boat cruise, aktiviti sukan air dan restoran-restoran serta kedai cenderahati.
(vii) Projek Jeti Batu Musang di Batu Kawan untuk membangunkan kawasan Batu Kawan sebagai kawasan (pusat pelancongan) di samping menghubungi Pulau Aman yang mempromosikan `agro-tourism’.
(viii) Titian Silara Bukit Bendera (Canopy Walk)
Titian Silara yang telah dilancarkan pada 1.10.2002 ialah laluan yang merentasi empat (4) pohon Pokok Pasak Utama dan lima (5) penyokong Pokok Meranti Seraya. Ianya direka bentuk dengan sebuah pelantar tiga segi bagi membolehkan perjalanan menurun lereng dilakukan dengan selamat. Panjangnya Titian Silara ini ialah 220m (720 kaki).
Sasaran pelancong untuk produk-produk ini adalah para pelancong domestik dan antarabangsa
(b) Negeri Pulau Pinang mengambil langkah-langkah berikut dalam menghadapi persaingan daripada kawasan pelancongan lain.
(i) Menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri pada akhir tahun ini yang akan bertindak sebagai `one-stop agency’ untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan semua program-program pelancongan Negeri Pulau Pinang. Dengan pejabatnya sendiri dan jumlah tenaga pekerja yang mencukupi adalah dijangka Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dapat bergerak dengan lebih berkesan dan dapat memantau semua perkara yang bersabit dengan hal-hal pelancongan sama ada di dalam dan luar negara.
(ii) Merancang dan melaksanakan program-program pelancongan berpandukan Kajian Pelan Statistik Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PSDP2) 2001 – 2010 dan Dokumen Rancangan Pembangunan 5 Tahun Negeri Pulau Pinang 2001 – 2005.
(iii) Selain daripada cadangan dan strategi yang terkandung di dalam kedua-dua pelan tersebut, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha berikut untuk menambahkan bilangan para pelancong ke Pulau Pinang.
(1) Memperkukuhkan program-program pemasaran dan promosi di pasaran-pasaran utama seperti United Kingdom, negara-negara Eropah, Australia, Jepun, Singapura, Negara Thai, Hong Kong dan Taiwan.
(2) Mempergiatkan usaha-usaha pemasaran dan promosi untuk menembusi pasaran-pasaran sekunder seperti Timur Tengah, Republik Rakyat China dan India.
(3) Mempertingkatkan usaha dengan lebih gigih untuk mempromosikan Pulau Pinang di pasaran domestik yang turut menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan.
(4) Meyakinkan pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk membangunkan produk-produk pelancongan dalam usaha menambahkan daya tarikan pelancongan dan mempelbagaikan produk-produk pelancongan yang sedia ada.
(5) Menganjurkan dan mengelola acara-acara pelancongan bertaraf antarabangsa serta menarik minat para penganjur antarabangsa yang lain untuk mengadakan pementasan acara mereka di Pulau Pinang.
(6) Memasarkan Pulau Pinang kepada pasaran MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).
(7) Menembusi pasaran-pasaran `niche’ dengan mengadakan program-program seperti Program Long Stay, Pulau Pinang sebagai lokasi perfileman, Jejak Emas (Gold Trail), Jejak Warisan (Heritage Trail), Jejak Makanan dan Buah-buahan (Food and Fruit Trail), pelancongan kesihatan (Health Tourism) pelancongan pendidikan (Education Tourism), pelancongan sukan (sports-tourism), pelancongan agro dan eko (agro and eco-tourism) dan program homestay.
(8) Membaikpulih, menyelenggara serta meningkatkan kemudahan-kemudahan dan tempat-tempat tarikan pelancongan yang sedia ada.
(9) Bekerjasama dengan Kementerian, Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan Malaysia dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk memasarkan Pulau Pinang.
(10) Memperkukuhkan kerjasama dengan sector swasta untuk merancang program-program pemasaran dan promosi dan aktiviti-aktiviti pelancongan bagi menambahkan jumlah pelancong ke Pulau Pinang.
(11) Mencetak bahan-bahan promosi pelancongan untuk diedarkan kepada agen-agen pelancongan, mengiklan di dalam majalah-majalah pelancongan luar negara dan domestik, mengatur program lawatan pengenalan untuk agen-agen pelancongan di samping mengemaskini dan menyelenggara laman web exotic Penang.
12. Pengswastaan Banglo Kerajaan dan Tea kiosk Bukit Bendera kepada Syarikat Country Inn Sdn. Bhd. Pihak syarikat akan membaik pulih kesemua bangunan-bangunan ini dan kegunaannya akan kekal seperti sedia ada yang dijangka dapat memberi kemudahan kepada para pelancong yang berkunjong ke Bukit Bendera.
13. Georgetown sebagai Bandaraya Warisan. Melalui pengalaman bandaraya-bandaraya lain di seluruh dunia yang tersenarai di dalam senarai warisan dunia UNESCO (Unesco World Heritage Listing) seperti Li Jiang (China), Hoi An (Vietnam), Lyon (Perancis) serta Morroco, impak positif yang ketara dapat dilihat oleh bandaraya warisan tersebut adalah dari aspek pelancongan di mana jumlah pelancongan yang nyata bertambah.