MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 63. Apakah tindakan yang telah, sedang dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengatasi masalah pencemaran laut dan sungai dalam Pulau Pinang yang semakin bertambah serius dan telah menjejaskan kesihatan rakyat Pulau Pinang dan juga menyebabkan hasil-hasil lautan menjadi kurang
Dun -
Exco Y.B DATO' HJ. AZHAR BIN IBRAHIM
Perkara Alam Sekitar

Jawapan
63. Untuk makluman Y.B., usaha-usaha mengawal dan mengatasi masalah pencemaran sentiasa ada dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri dalam usaha memastikan suasana dan corak hidup yang berkualiti masyarakat Pulau Pinang. Berbagai tindakan telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi yang memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada usaha-usaha mengurangkan masalah pencemaran tersebut. Agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Alam Sekitar yang merupakan lead agency mengenai masalah pencemaran, telah pun meningkat dan memperkemaskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua industri mematuhi Akta Kualiti Alam Sekililing 1974. Disamping itu, program-program kesedaran mengenai masalah pencemaran laut dan sungai diadakan dari semasa ke semasa melibatkan semua peringkat masyarakat.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telahpun mengenalpasti dan merancang pelaksanaan program pencegahan pencemaran dan pemuliharaan lembangan sungai serta kualiti air sungai. Lembangan Sg. Pinang telah pun dipilih untuk pelaksanaan program tersebut secara menyeluruh yang bermula mulai tahun ini, melibatkan peruntukan awal sebanyak RM30.01 juta. Di samping itu, Lembangan Sg. Juru, Sg. Kerian, Sg. Perai dan Sg. Jejawi akan diberi tumpuan dari aspek meningkatkan kualiti air sekurang-kurangnya ke tahap Kelas 2. Sehubungan itu juga, 2 buah Jawatankuasa Kerja Teknikal yang dipengerusi oleh saya dan Y.B. Dato’ Dr. Teng Hock Nan telah pun ditubuhkan untuk memantau program peningkatan kualiti air sungai di bahagian Pulau dan di Seberang Perai. Program ini, secara langsung akan memberi kesan langsung kepada usaha-usaha meningkat kualiti air laut.

Bagi melengkapkan pelaksanaan program tersebut, kerajaan juga pada masa yang sama menguatkuasa penggunaan Garis Panduan Penternakan Khinzir Negeri Pulau Pinang yang antaranya komponennya mengawal selia penternakan khinzir dengan menguatkuasakan kualiti effluen pada tahap BOD kurang daripada 50 ml/I. Di samping itu, formula insentif kepada penternak yang bercadang menukar syarat tanah daripada ternakan khinzir kepada aktiviti ekonomi lain juga dilaksanakan.

Di samping mengawal pelepasan effluen daripada ladang ternakan, kerajaan juga menerusi Jabatan Alam Sekitar Negeri menguatkuasakan peraturan/undang-undang bagi memastikan pelepasan air kumbahan domestik ke sungai-sungai mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan. Kerja-kerja pemulihan serta menaiktaraf sistem pengolahan air kumbahan akan terus dilaksanakan oleh pihak Indah Water Konsurtium (IWK).

Adalah diharapkan usaha pihak kerajaan yang dilaksanakan secara bersepadu meliputi aspek penguatkuasaan peraturan/ undang-undang sehinggalah kepada pembangunan kemudahan infrastruktur mendapat kerjasama dan komitmen sepenuhnya semua lapisan masyarakat dalam usaha menangani pencemaran secara menyeluruh dan berkesan.
Kembali