MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan SOALAN LISAN OLEH Y.B. ENCIK LEE HACK TEIK 34. Apakah status pelaksanaan Projek Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) pada masa ini. Adakah kerajaan negeri bersedia menerima bantahan dari penduduk-penduduk termasuk persatuan-persatuan penduduk dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan adakah kerajaan negeri berhasrat untuk membatalkan projek ini.
Dun -
Exco Y.B DATO' DR.HILMI BIN HJ.YAHAYA
Perkara Pembangunan

Jawapan

Y.B. DATO’ DR. HILMI BIN HAJI YAHAYA MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

34. Status pelaksanaan projek PORR kini di peringkat akhir, perbincangan Perjanjian Konsesi.

Kerajaan negeri sentiasa menerima komen serta pandangan rakyat mengenai projek PORR. Pada 18 – 27 Mei 2002, Syarikat PMWSB bersama LLM telah mengadakan pameran kepada orang ramai mengenai cadangan projek PORR di Kompleks Masyarakat Penyayang. Selain daripada itu, beberapa Y.B. ADUN telah memberi taklimat mengenai projek PORR kepada kawasan masing-masing. Yang terkini ialah pada 27 Oktober 2002, Y.A.B. Tan Sri Ketua Menteri telah mengadakan forum tertutup bersama Ahli Jawatankuasa Bertindak NO PORR di Kompleks Masyarakat Penyayang. Seramai 300 orang menghadiri forum tersebut.

Selepas pameran mengenai PORR pada bulan Mei 2002, beberapa perubahan telah dibuat selaras dengan pandangan serta komen orang ramai. Secara ringkasnya, terdapat beberapa perubahan kepada jajaran yang lama iaitu:-

Dari Taman Delima ke Lebuhraya Thean Teik
- Paras jajaran diubahsuai
- Jajaran dialih lebih jauh dari rumah di Taman Delima
- Plaza tol dialih dari Taman Delima ke Taman Tembaga

Jalan Chor Sin Kheng ke Jalan Utama
- Paras jajaran dipertingkatkan
- Jalan-jalan dialih menjauhi rumah di Taman Reservoir Crescent
- Jalan dialih ke pinggir Tanah Perkuburan Bukit Gantung
- Jajaran menjauhi rumah di Taman Jesselton
- Jajaran ditukar ke jenis double deck dari Batu Gantung ke
Taman Jesselton

Jalan Gottlieb ke Persiaran Gurney
- Persimpangan Jalan Utama diubahsuai
- Lokasi jajaran dialih mengikut jajaran sedia ada

Dengan perubahan jajaran PORR ini, jumlah rumah, bangunan, kubur dan kuil yang terlibat dapat dikurangkan berbanding jajaran lama yang dicadangkan pada tahun 2000 seperti dipamerkan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada bulan Mei yang lepas. Berikut adalah jumlah penduduk dan struktur yang terlibat dengan jajaran terkini ini:-

Bil. Rumah Jajaran 2000 Jajaran Terkini
Pemancar 11 11
Changkat Delima 2 14 0
Chor Sin Kheng 26 26
Reservoir Garden 22 4
Batu Gantung 2 0
Taman Jesselton 1 1

Jumlah : 76 42

Struktur Bangunan Tahun 2000 Terkini

Kandang Kuda 2 0
Tokong/Kuil 3 2
Shrine 8 5
Kubur 50 0

Selain daripada jajaran, langkah-langkah mengurangkan kesan kepada alam sekitar juga telah dicadangkan seperti :-

Pemotongan Bukit dan Pokok

Bagi meminimumkan pemotongan bukit dan pokok, pemaju telah mencadangkan pembinaan di kawasan pendalaman (overland) dilaksanakan secara elevated dan double deck di kawasan berbukit seperti dari Taman Delima ke Bandar Baru Air Hitam dan dari Jalan Chor Sin Kheng ke Taman Jesselton. Cadangan untuk membina terowong di Taman Tembaga melalui kawasan perkuburan Batu Lancang dan dari Lebuh Thean Teik ke persimpangan Farlim telah dibatalkan.

Mengurangkan Pencemaran Bunyi dan Udara

Tembok penghalang bunyi dan penanaman pokok-pokok di tepi lebuh raya akan dapat mengurangkan kesan bunyi kepada penduduk persekitaran. Di samping itu, jarak di antara lebuh raya dan rumah ditingkatkan ke 20 – 24 m. Sebelum ini, jarak dicadangkan ialah 10-13 m sahaja. Berikut adalah kawasan-kawasan yang ditingkatkan jarak antara lebuh raya dan rumah:-

Kawasan Tahun 2000 Terkini

Pemancar 10 m 20 m
Changkat Delima 2 13 m 24 m
Chor Sin Kheng 10 m 20 m
Reservoir Garden 10 m 20 m
Taman Jesselton 10 m 20 m
Kembali