MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Huraikan dengan terperinci rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta konsep bagi Plot B (the Sore Thumb)., Bandar Tanjong Bunga, Daerah Timur Laut,Pulau Pinang sebagai Taman Rekreasi Orang Awam. Bila, bagaimana dan siapakah akan melaksanakannya?
Dun -
Exco YB. CHOW KON YEOW
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan
Plot 'B' adalah Tanah Kerajaan yang telah diluluskan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada Purerich Realty Sdn Bhd untuk tujuan Marina. LPS tersebut berkuatkuasa bermula tahun 1995 dan telah tamat pada tahun 2006. Status Plot B kini adalah Tanah Kerajaan.

Plot 'B' termasuk dalam kawasan pentadbiran Daerah Timur Laut, tetapi tidak termasuk dalam kawasan pentadbiran MPPP kerana tapak ini merupakan kawasan tambak laut. Dalam hal yang demikian hanya pemilik tanah (Kerajaan Negeri) yang berhak menentukan dan mencadangkan samada tapak tersebut sesuai untuk tujuan taman rekreasi atau untuk lain-lain tujuan. Dari sudut perundangan (Seksyen 21 (6) subseksyen 3, Akta Perancang Bandar Dan Desa, Akta 172), memandangkan tapak ini belum mempunyai “Local Plan”, maka sebarang cadangan untuk membangunkannya haruslah dirujuk kepada pemilik tanah/lot-lot berjiran untuk mendapatkan pandangan atau bantahan. Ini bermakna orang awam khasnya penduduk sekitar berhak untuk memberi pendapat atau cadangan mengenai pembangunan yang sesuai untuk tapak (the Sore Thumb) tersebut.

Sehingga kini masih belum ada perancangan khusus bagi membangunkan tapak Plot 'B' berkenaan untuk tujuan Taman Rekreasi Orang Awam. Walau bagaimanapun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Bil 34 Tahun 2013 bertarikh 23/10/2013 telah ada cadangan untuk dimajukan sebagai marina di sekitar kawasan tersebut.
Kembali