MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan (a). Pengurusan harta strata khasnya untuk rumah pangsa kos rendah menghadapi pelbagai masalah serius. Apakah usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan JMB/MC berfungsi dengan baik? (b). Nyatakan peranan Commissioner of Building (COB) untuk memastikan bahawa fi pengurusan, tunggakan bil elektrik dan air dapat diselesaikan?
Dun -
Exco YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
Perkara Projek Perumahan

Jawapan
26. (a) Di antara usaha Kerajaan Negeri dalam menangani pengurusan harta strata khususnya rumah pangsa kos rendah ialah dengan menubuhkan 12 JMB/MC untuk projek Perumahan Awam namun demikian ianya tidak berkesan. Ini adalah kerana pemilik-pemilik rumah/petak yang berkaitan lebih suka menyerahkan tanggungjawab pengurusan dan penyelenggaraan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sepenuhnya. Masalah yang serupa juga berlaku di perumahan swasta.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang mengambil tindakan untuk bekerjasama dengan Pesuruhjaya Bangunan (COB), Majlis Perbandaran Pulau Pinang / Majlis Perbandaran Seberang Perai supaya ejen pengurusan dapat dilantik bagi menguruskan hal-ehwal pentadbiran dan pengurusan rumah pangsa yang berkenaan dengan baik.


(b) Secara keseluruhannya, bidang tugas Pesuruhjaya Bangunan MPPP adalah menguatkuasakan/mengawalselia Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) dan Bahagian VI & VII, Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318). Selaras dengan itu, pihak Pesuruhjaya Bangunan telah mengambil langkah untuk :

(i) mengenalpasti skim-skim pemajuan di bawah pentadbirannya untuk menubuhkan badan pengurusan iaitu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang bertanggungjawab kepada pengurusan bangunan masing-masing.

(ii) pihak Pesuruhjaya Bangunan sentiasa memberi kerjasama kepada persatuan penduduk, pemaju dan JMB/MC dengan memberi sesi taklimat dan penerangan mengenai pengurusan bangunan bertingkat. Pihak Pesuruhjaya Bangunan juga menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan sekiranya dijemput oleh JMB/MC atau badan pengurusan yang bermasalah bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar dan sempurna seperti yang diperuntukkan di dalam Akta.

(iii) memastikan ejen yang dilantik menjalankan tugas pengurusan penyelenggaraan

(iv) memastikan penyediaan laporan akuan tahunan dan mesyuarat tahunan dijalankan setiap tahun

Salah satu peranan Pesuruhjaya Bangunan adalah memastikan pemilik petak-petak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam pengurusan dan penyenggaraan bangunan. Tanggungjawab pemilik petak ialah menjelaskan caj penyelenggaraan, cukai tanah dan insurans bangunan. Ejen pengurusan yang dilantik akan mengutip caj penyenggaraan bulanan. Fi pengurusan perlu dibayar kepada agensi yang mengurus bangunan tersebut. Fi pengurusan ini dibayar kepada agensi berdasarkan kepada Fi yang telah dipersetujui oleh pihak JMB/MC dengan ejen. Pihak agensi pengurusan juga membuat pembayaran semua bil-bil elektrik dan air bagi kawasan bersama atau common area untuk skim tersebut. Untuk bil-bil elektrik, air, insuran dan cukai tanah perlu dibayar oleh pemilik petak secara syer.
Kembali