MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Saya melihat belia dan beliawanis hari ini begitu jauh dengan program dan aktiviti Kerajaan Negeri yang mengakibatkan banyak timbul persepsi negatif di antara kedua belah pihak. (a) Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang kepada kumpulan sasaran ini?
Dun -
Exco YB. CHONG ENG
Perkara Belia

Jawapan
20. a) Kerajaan Negeri mengambil maklum pandangan mengenai golongan belia dan beliawanis yang tidak aktif dengan aktiviti Kerajaan Negeri. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Belia & Sukan akan mempertingkatkan lagi pemantapan program-program belia secara jangka pendek dan jangka panjang untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Perancangan Jangka Pendek:

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan lebih rapat bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) dan Penang Youth Development Corporation (PYDC) bagi memantapkan lagi golongan belia di Negeri Pulau Pinang. Antara perancangan jangka pendek yang telah dirangka adalah seperti berikut:-

(i) menganjurkan program belia yang berkonsepkan "youth centric" dengan memberi tumpuan kepada minat dan kecenderungan belia;


(ii) memastikan program yang dilaksanakan merupakan program yang berkualiti dan dapat memberi nilai tambah kepada golongan belia;

(iii) mengkaji keberkesanan program-program yang telah dilaksanakan serta melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa; dan

(iv) menyusun semula program-program belia supaya bersifat holistik dan seimbang dari segi pembangunan sahsiah, mental dan fizikal;

Perancangan Jangka Panjang:

Bagi perancangan jangka panjang, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penang Youth Development Corporation (PYDC) yang akan berperanan sebagai badan tonggak dalam pembangunan belia di Negeri Pulau Pinang. Antara perancangan jangka panjang yang akan dilaksanakan adalah:-

(i) merangka penubuhan jentera/unit belia di peringkat KADUN, Daerah dan Negeri yang dapat bertindak sebagai jentera Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan belia secara sistematik;

(ii) mewujudkan pangkalan data belia bagi memastikan tiada pihak yang tercicir dalam menikmati program- program pembangunan belia yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri; dan

(iii) membentuk dan melatih belia Pulau Pinang sebagai belia yang dinamik, berketrampilan, serba boleh serta mampu melonjakkan diri ke persada antarabangsa.
Kembali