MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Kampong Kolam (Y.B. Encik Lim Gim Soon) bertanya kepada Ketua Menteri: 4. Adakah Y.A.B. Ketua Menteri sedar bahawa pihak syarikat utiliti yang terus mengorek jalan mengakibatkan kemalangan dan mengorbankan nyawa? Apakah langkah yang akan diambil untuk memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan? Berapa banyakkah peruntukan telah disalurkan untuk membaiki kerosakan jalan dalam pusat bandar ini? Adakah sebarang larangan yang dikenakan kepada syarikat-syarikat utiliti daripada terus berbuat demikian?
Dun -
Exco YB. DATO' KOAY KAR HUAH
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan

YB DATO' KOAY KAR HUAH MENJAWAB BAGI PIHAK KETUA MENTERI:

4. Penyenggaraan jalan merupakan sesuatu perkhidmatan yang sentiasa diambil perhatian yang serius oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Jalan-jalan yang rosak di bawah bidangkuasanya sentiasa dikenalpastikan untuk tindakan pelaksanaan kerja penyenggaraan dari masa ke semasa.

Majlis sedar bahawa pada kebelakangan ini terdapat jalan-jalan yang rosak. Tinjauan menunjukkan bahawa kebanyakan jalan raya yang rosak adalah akibat kerja-kerja pengorekan yang dijalankan oleh agensi-agensi utiliti tanpa membaikpulihnya dengan memuaskan.

Dalam usaha menjadikan Bandar Raya Georgetown sebuah bandar raya yang bersih dan indah, langkah-langkah yang telah diambil adalah seperti berikut:-

(i) Kerajaan Negeri telah merumuskan satu garis panduan mengenai pengorekan jalan dan rezab jalan oleh Agensi Utiliti di Negeri Pulau Pinang. Ia merangkumi dan mengambilkira aspek-aspek berikut:
(a) Tatacara korekan;
(b) Waktu-waktu menjalankan kerja;
(c) Aspek keselamatan; dan
(d) Aspek-aspek meminimakan kesesakan lalu lintas.

(ii) Pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan program menurap jalan-jalan tiap-tiap tahun untuk memastikan jalan raya di bandar raya ini sentiasa berada dalam keadaan baik, berkualiti dan mengelakkan kecelakaan jalan raya serta memastikan keselesaan pengguna jalan raya.

(iii) Pihak Berkuasa Tempatan telah mengambil tindakan-tindakan berikut untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang dengan lebih tegas:

(a) Memberi notis amaran, notis berhenti kerja kepada agensi utiliti yang berkenaan dengan memberi tempoh masa untuk pembaikan;

(b) Menjalankan kerja pembaikan yang memerlukan tindakan segera dengan perbelanjaan sendiri jika agensi utiliti gagal menjalankannya. Semua kos yang terlibat dibilkan terhadap agensi utiliti berkenaan;

(c) Mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi utiliti;

(d) Mengadakan mesyuarat mingguan dengan semua agensi utiliti bagi menyelesaikan masalah berbangkit; dan

(e) Menangguhkan semua korekan dari masa ke semasa pada hari-hari perayaan dan lain-lain, sekiranya perlu.

Di samping itu, Jabatan Kerja Raya sebagai salah satu pihak berkuasa jalan juga mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempastikan keselamatan terjamin akibat dari kerja-kerja pengorekan iaitu:

- Semua agensi utiliti yang terlibat sama ada PBA, TNB, STM, agensi swasta dan badan berkanun disyaratkan meletakkan papan tanda AWAS, kon, safety rope dan blinkers serta menutup semula lubang dengan kadar segera. Jabatan akan membuat pemeriksaan memastikan syarat-syarat ini dipatuhi sepenuhnya.

- Kerja-kerja pembaikan pada road crossing hendaklah disiapkan dalam tempoh 24 jam.

- Semua agensi utiliti dikehendaki menyiarkan kerja-kerja membaiki atau menutup semula jalan yang dikorek selepas kerja-kerja pengorekan selesai dalam tempoh 3 hari.

- Pihak agensi utiliti dipertanggungjawabkan sepenuhnya sekiranya berlaku kemalangan akibat dari kerja-kerja pengorekan jalan tanpa kelulusan dari pihak berkuasa dan juga sekiranya tidak mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan.

(iv) Pihak Berkuasa Tempatan telah bersungguh-sungguh dalam usahanya menyenggarakan jalan dan peruntukan tambahan yang khas telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM8.1 juta untuk menangani masalah jalan utama yang rosak pada masa kini akibat kerja korekan yang sentiasa dijalankan oleh agensi-agensi utiliti.

Bagi tahun 1999, jumlah peruntukan kewangan adalah seperti berikut:-

(a) Menurap semula jalan - RM 1.2 juta

(b) Penyenggaraan jalan - RM 380,000

(c) Penyenggaraan lorong belakang - RM219,000

Jumlah RM1.799 juta

(d) Peruntukan khas menurap
semula jalan utama - RM8.1 juta


Kembali