MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Sila nyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mempertingkatkan sektor pelancongan di Seberang Perai?
Dun -
Exco YB. LAW HENG KIANG
Perkara Pelancongan

Jawapan
3. Dalam usaha mempertingkatkan sektor pelancongan di Seberang Perai, Jawatankuasa MMK Pembangunan Pelancongan telah mengadakan satu forum bertajuk Seberang Perai Tourism Forum pada 25hb Mac 2014 lalu untuk membincangkan mengenai potensi sektor pelancongan di Seberang Perai. Forum ini diterajui oleh MMK Pelancongan serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan.

Agenda-agenda yang telah dibincangkan adalah seperti mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai dipromosikan sebagai tarikan pelancong, kesediaan infrastruktur yang sesuai untuk tujuan pelancongan, pembangunan homestay di Seberang Perai, perbincangan mengenai isi kandungan dalam peta pelancongan Seberang Perai , hala tuju pelancongan di Seberang Perai serta pembangunan homestay di Seberang Perai. Kerajaan Negeri berharap kerjasama ini akan menghasilkan satu pelan pelancongan yang berjaya pada masa yang terdekat.

MPSP juga turut menjadikan pelancongan sebagai antara agenda utama. Antara langkah-langkah yang diambil oleh MPSP dalam usaha mempertingkatkan sektor pelancongan di Seberang Perai

adalah seperti berikut:

(a) Menerbitkan risalah Seberang Perai Tourist Map yang dilancarkan pada tahun 2013. 3,000 naskah peta pelancongan telah dicetak dan dihantar kepada agen-agen pelancongan, hotel-hotel dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kompleks membeli belah dan tempat peranginan.

(b) MPSP juga telah menerbitkan risalah Seberang Perai Coffee Table Book yang mengandungi lokasi tempat-tempat menarik dan bersejarah di Seberang Perai dan telah diberikan kepada hotel-hotel dan sebagainya.

(c ) MPSP kini sedang giat menjalankan aktiviti mengumpul bahan bagi menerbitkan Seberang Perai Tourist Map Edisi ke-2 dan Seberang Perai Heritage Trail bagi tujuan promosi pelancongan ke Seberang Perai.

(d) MPSP dengan kerjasama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) juga telah mengenal pasti warisan ketara di Seberang Perai.

(e) MMK Pembangunan Pelancongan juga menganjurkan satu forum untuk pengusaha homestay dalam penganjuran Bengkel Pembangunan Homestay pada 19 April 2014 supaya mereka mendapat maklumat terperinci dan terkini mengenai panduan pembangunan pelancongan di Pulau Pinang dan seterusnya untuk memperkenalkan dan mempromosikan homestay Seberang Perai.
Kembali