MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan (a) Apakah kaedah dan mekanisme Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan pengeluaran agrikultur untuk mengurangkan import makanan? (b) Apakah strategi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menggalakkan usahawan agrikultur makanan dan meningkatkan mutu industri agrikultur di Pulau Pinang? CATATAN: Keputusan mesyuarat pada 30.4.2014 Perubahan bagi Exco/KJAB
Dun -
Exco YB. DR. AFIF BIN BAHARDIN
Perkara Perkembangan ekonomi

Jawapan
13. (a) Antara kaedah dan mekanisme Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran pertanian adalah:

(i) mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Juru, untuk meningkatkan sumber makanan negeri seterusnya dapat mengurangkan import makanan dari luar. Pada masa ini, peserta di TKPM Juru terdiri daripada pengusaha sektor pertanian, penternakan dan perikanan;

Antara projek yang diusahakan adalah tanaman nenas, pembenihan ikan dan penternakan baka ayam. Sebagai contoh, penternakan ayam di TKPM Juru dijangka dapat menghasilkan pengeluaran ayam sehingga 9.7 juta ayam menjelang Januari 2015;

(ii) mewujudkan kawasan zon bebas penyakit hawar di kalangan unggas terutama di zon penternakan ayam di Seberang Perai. Industri babi dipastikan bebas dari penyakit Kuku dan Mulut (FMD) dan Swine Fever. Penternakan lembu di Negeri Pulau Pinang telah mendapat pengiktirafan bebas penyakit FMD daripada ibu pejabat Putrajaya dan keadaan ini perlu dikekalkan dengan pelaksanaan pemvaksinan starategik dan menyeluruh kepada semua ternakan bagi mengekalkan status bebas penyakit ini;

(iii) Memastikan ladang-ladang pertanian dan penternakan meningkatkan biosekuriti dan mempunyai akredetasi ladang untuk meningkatkan kecekapan pengurusan ladang;

(iv) Menggalakkan penggunaan teknologi baru dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan untuk meningkatkan pengeluaran yang berkualiti dan bernilai tinggi;

(v) mengalakkan penanaman tanaman yang memberikan nilai yang tinggi serta pulangan yang cepat kepada pengusaha; dan

(vi) menggalakkan penggunaan tanah secara maksimum untuk meningkatkan pengeluaran.

(b) Bagi menggalakkan penyertaan usahawan dalam sektor agrikultur serta meningkatkan mutu industri agrikultur di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melaksanakan strategi berikut:-

(i) Menjemput syarikat-syarikat besar dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan untuk menyertai acara-acara yang dianjurkan di peringkat negeri dan persekutuan;

(ii) melaksanakan program Tabung Usahawan Tani Muda yang memberikan bantuan pinjaman RM5,000.00 kepada usahawan Industri asas tani muda untuk meningkatkan pengeluaran dan pendapatan masing-masing;

(iii) memastikan penggunakan teknologi baru dari semasa ke semasa bagi memelihara kualiti pengeluaran yang dihasilkan;

(iv) memberi bantuan pukat kepada nelayan pantai negeri Pulau Pinang sebanyak 2 kali setahun untuk membantu para nelayan meningkatkan tangkapan ikan mereka seterusnya menambah pendapatan nelayan; dan

(v) melaksanakan program-program pengembangan sektor pertanian, penternakan dan perikanan untuk meningkatan hasilan tanaman negeri seperti padi, buah-buahan dan sayuran. Program pengembangan sektor penternakan juga dilaksanakan untuk membimbing penternak supaya dapat menjimatkan kos operasi dan memaksimumkan hasil pengeluaran.
Kembali