MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Encik Lee Hack Teik) bertanya kepada Ketua Menteri: 5. Kerja-kerja penyelenggaraan di rumah pangsa Gat Lebuh Macallum tidak memuaskan penghuni-penghuninya. Masalah yang timbul adalah seperti bumbung bocor, paip pecah, lampu di koridor tidak menyala, lif-lif yang sering rosak, kerja-kerja pembersihan yang kurang memuaskan, parit-parit yang tersumbat, jalan-jalan yang rosak dan tempat letak kereta tidak mencukupi. Adakah PDC berusaha untuk mengawal-selia dan mengatasi masalah-masalah ini?
Dun -
Exco YB KETUA MENTERI
Perkara -

Jawapan


Ketua Menteri:

5. Pengurusan dan penyelenggaraan rumah-rumah pangsa di Gat Lebuh Macallum adalah dikendalikan oleh Pedeco Management Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

PDC sebagai agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa peka dan bertanggungjawab serta mengambil tindakan yang pro-aktif terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk. Perkhidmatan Pedeco sentiasa dikawal-selia dan tindakan yang telah diambil oleh Pedeco dilaporkan kepada PDC. Selain daripada itu, PDC telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Perumahan yang ditugaskan untuk melawat tiap-tiap bulan projek-projek yang diuruskan oleh Pedeco. Keanggotaan Pasukan Petugas ini terdiri daripada enam pegawai PDC yang dipengerusikan oleh Pengurus Bahagian Perumahan dan Pembangunan Bandar. Tujuan Pasukan Petugas ini ialah untuk mengawasi perkhidmatan Pedeco mendapat maklum balas daripada penghuni-penghuni dan mengenalpasti kerosakan-kerosakan yang perlu diperbaiki.

Dari masa ke semasa, penghuni-penghuni rumah pangsa mengemukakan aduan mengenai beberapa perkara termasuk yang tersebut di atas. Tindakan yang telah diambil oleh Pedeco adalah seperti berikut:-

(i) Bumbong Bocor

Kerja-kerja pembaikan telah dijalankan apabila kebocoran dikenal pasti.

(ii) Paip Pecah

Semua paip air yang pecah dibaiki apabila perlu.

(iii) Lampu Koridor Tidak Menyala

Tindakan diambil untuk menggantikan lampu-lampu koridor termasuk starter apabila didapati rosak/hilang.



(iv) Kerosakan Lif-Lif


Penyelenggaraan komprehensif diadakan untuk semua lif di projek perumahan PDC. Tindakan membaikpulih dijalankan apabila terdapat kerosakan kepada lif. Walau bagaimanapun akibat vandalisme oleh penduduk-penduduk, didapati bahawa butang lif, dinding dan pintu lif dirosakkan. Tindakan sentiasa diambil oleh Pedeco untuk membaiki lif-lif yang berkenaan. Langkah ini menambahkan kos penyelenggaraan yang ditanggung oleh PDC.


(v) Kebersihan Blok

Kontraktor pembersihan dilantik oleh Pedeco Management Sdn Bhd untuk membersihakan setiap blok. Kerja-kerja pembersihan dijalankan tiap-tiap hari dan kerja-kerja pembersihan didapati memuaskan pada amnya.


(vi) Parit-parit yang Bertakung

Penjaja yang tidak bertanggungjawab telah membuang sisa-sisa makanan dan sampah di beberapa tempat menjadikan parit tersumbat. Bagi longkang-longkang yang rosak, kerja-kerja pembaikan telah dijalankan tetapi terdapat beberapa longkang lagi yang masih mempunyai masalah kerana pemendapan tanah. Pedeco sedang memberi perhatian kepada masalah ini untuk mencari penyelesaian.


(vii) Jalan yang rosak

Kerja-kerja pembaikan dijalankan apabila perlu.


(viii) Tempat Meletak Kereta tidak mencukupi

Tempat meletak kereta di projek-projek perumahan di Gat Lebuh Macallum adalah mengikut kehendak dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Walau bagaimanapun, beberapa tempat letak kereta digunakan oleh penjaja persekitaran untuk berniaga dan ini menimbulkan masalah kesesakan jalan dan juga kekurangan tempat meletak kereta untuk penduduk-penduduk rumah pangsa.




Adalah ditegaskan bahawa PDC melalui Pedeco sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penghuni-penghuni rumah pangsanya walaupun kos penyelenggaraan dan pengurusan sesuatu projek itu melebihi bayaran perkhidmatan yang dikutip atau diterima daripada penghuni-penghuni rumah pangsa. Penghuni pula perlu mengamalkan sikap yang lebih bertanggungjawab untuk menggunakan kemudahan awam supaya tidak mengalami kerosakan, yang demikian menyusahkan juga penghuni-penghuni yang lain. PDC juga dari masa kesemasa telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga dan sebagainya untuk menangani setiap masalah yang timbul dan memberi penjelasan mengenai perancangan dan perlaksanaan projek seperti diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Dalam perjumpaan pada 30 Julai 1999 dan 27 Ogos 1999, Yang Berhormat sendiri telah hadir di mana PDC dan Pedeco telah memberi penjelasan sewajarnya.



Kembali