MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memartabatkan sukan sepak takraw. Berapakah peruntukan yang diberikan kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri dan pencapaian tertinggi pasukan sepak takraw Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco YB. CHONG ENG
Perkara Sukan

Jawapan
Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) sentiasa memberikan kerjasama kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang dalam membangunkan serta memartabatkan program pembangunan sukan Sepak Takraw Negeri. Kerjasama yang dilaksanakan adalah dalam bentuk program penjanaan pembangunan sukan sepak takraw melalui usaha sama antara MSNPP, Pusat Satelit Institut Sukan Negara Pulau Pinang, Unit Sukan Prestasi Tinggi Negara, Cawangan Pulau Pinang bersama Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang. Fokus usaha sama berkenaan adalah untuk menambah baik dan melaksanakan pelbagai konsep latihan serta program pembangunan atlet secara komprehensif bagi menghasilkan atlet yang mantap dari segi fizikal dan mental.

Selain itu, MSNPP juga memberi bantuan penambahbaikan pasukan sepak takraw negeri melalui program pembangunan seperti berikut:-



(i) Pelantikan Jurulatih-Jurulatih Sambilan untuk membantu menguatkan Pasukan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang;

(ii) Menganjurkan program pendidikan dengan kerjasama Institut Sukan Negara, Malaysia;

(iii) Mengadakan Kem Latihan Pusat dan Kem Latihan Hujung Minggu untuk atlet-atlet Negeri Pulau Pinang;

(iv) Melaksanakan ujian kecergasan untuk atlet sepak takraw;

(v) Memperuntukkan subsidi serta bantuan kewangan kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang untuk menyertai kejohanan di peringkat Kebangsaan; dan

(vi) Membiayai pembayaran elaun insentif kepada atlet Skuad Latihan Sukan Malaysia untuk sepanjang tahun.

Peruntukan yang diberikan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang kepada Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang adalah seperti berikut:-


Tahun
Peruntukan
2012
RM 36,445.00
2013
RM 30,150.00
2014 (Sehingga Mac)
RM 36,045.00


Pencapaian tertinggi Pasukan Sepaktakraw Pulau Pinang adalah dengan memenangi dua (2) pingat emas, dua (2) pingat perak dan satu (1) pingat gangsa di dalam temasya Sukan Malaysia XV Pahang 2012.
Kembali