MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Kenapakah Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Negeri Pulau Pinang Bil 1/2014 pada 11 Februari 2014 menolak permohonan peruntukan untuk membina Taman Rekreasi Bersepadu Taman Guar Perahu yang hanya RM8 juta untuk kemudahan 28 kampung dan 3 taman tidak dipertimbangkan setelah satu-satunya Taman Rekreasi Empangan Mengkuang ditutup hingga Oktober 2016?
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Pembangunan

Jawapan
1. Jawatankuasa Pemandu Projek Negeri Pulau Pinang diwujudkan untuk membincangkan dan memantau khususnya projek-projek pembangunan negeri yang dilaksanakan oleh JKR dan JPS. Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Negeri Pulau Pinang Bil. 1/2014 pada 11 Februari 2014 lalu, antara perkara yang dibangkitkan ialah Cadangan Pembinaan Jalan dan Road Over Bridge (ROB) Menghubungkan Guar Perahu - Kampung Mengkuang, SPT yang disediakan peruntukan sejumlah RM1.3 juta dalam tahun 2014. Di mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Pemandu telah mengambil maklum akan surat Y.B. bertarikh 27 Januari 2014 kepada Jabatan Kewangan Negeri dan JKR yang menyatakan bahawa cadangan pembinaan ROB tidak lagi sesuai dibina memandangkan kesesakan lalu lintas di Pekan Penanti telah dapat diatasi dengan wujudnya jalan sehala di kawasan terlibat.

Dengan mengambil kira pandangan Y.B. seperti dalam surat tersebut, maka Jawatankuasa Pemandu telah bersetuju untuk menangguhkan Cadangan Pembinaan Jalan dan ROB Menghubungkan Guar Perahu - Kampung Mengkuang, SPT. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pemandu telah bersetuju supaya JKR menyemak keperluan bagi pelaksanaan projek ganti yang telahpun dicadangkan oleh Y.B. iaitu 'Cadangan untuk membaikpulih jalan pintas yang digunakan oleh penduduk dari Kampung Mengkuang ke Taman Guar Perahu yang seringkali dinaiki air ketika hujan lebat'.

Cadangan untuk membina Taman Rekreasi Bersepadu Taman Guar Perahu tidak dibincangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Negeri Pulau Pinang Bil. 1/2014 memandangkan ianya di luar bidang kuasa jawatankuasa tersebut. Tambahan pula, cadangan projek tersebut sebagai projek baru perlu diselaraskan dengan Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan serta melibatkan jabatan/agensi lain yang tidak menganggotai Jawatankuasa Pemandu Projek Negeri Pulau Pinang.
Kembali