MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang) bertanya kepada Ketua Menteri: 5. Apakah yang terjadi kepada tiga projek lebuhraya utama iaitu Lebuhraya Jelutong, Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang dan Jalan Lingkaran Luar Butterworth? Sila berikan laporan terperinci tentang kemajuan kerja dan bilakah ianya dijangka akan siap? Nyatakan juga masalah-masalah yang dihadapi dan sebab-sebab kelewatan projek disiapkan, jika ada.
Dun -
Exco YB KETUA MENTERI
Perkara Pembangunan

Jawapan


Ketua Menteri:

5. Ketiga-tiga projek lebuhraya utama iaitu Lebuhraya Jelutong (JEWay), Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) sedang dalam pelbagai peringkat perancangan dan perlaksanaan. Laporan kemajuan projek-projek tersebut adalah seperti berikut :

(i) Projek JEWay

Kerja-kerja fizikal seperti kerja-kerja tanah dan ukur tanah untuk penyediaan jalan telahpun dimulakan sejak bulan Oktober 1999. Berikutan dengan penjadualan semula program pelaksanaan projek ini, setakat ini Syarikat Konsesi Jelutong Development Sdn. Bhd. (JDSB) sedang memuktamadkan pelan induk pembangunan tanah untuk kelulusan Kerajaan Negeri. Projek ini dijangka siap pada tahun 2002.

Pelaksanaan projek JEWay telah tergendala akibat kegawatan ekonomi yang melanda negara ini. Keadaan ini telah menyebabkan JDSB menghadapi masalah mendapatkan pinjaman bank.

(ii) Projek PORR

Mengenai Projek PORR pula, projek ini masih di peringkat perancangan dan rundingan serta penyelesaian beberapa isu teknikal seperti pengambilan balik tanah, tebus guna tanah dan rekabentuk. Cadangan akhir Perjanjian Konsesi telahpun dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara. Namun begitu projek ini dijangka dapat ditandatangani Perjanjian Konsesi pada tahun 2000 dan projek disiapkan pada tahun 2004.

(iii) Projek BORR

Pelaksanaan Projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) juga telah terlewat dari jadual yang dirancangkan atas beberapa sebab termasuk keadaan kegawatan ekonomi yang menjejaskan proses rundingan pinjaman perdagangan dan masalah penempatan semula “ground tenants” yang terlibat dengan projek ini. Projek BORR telahpun dimulakan sejak bulan September 1999 iaitu Pakej 1B pembinaan jambatan merentasi Sungai Perai. Reka bentuk terperinci telahpun siap 95 peratus. Pengambilan balik tanah hampir selesai. Pembinaan bagi Pakej 2 dari Pejabat Pos Bagan Dalam ke Pangkalan

Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pakej 1A dari persimpangan Lebuhraya Utara Selatan Jalan Baru ke Pejabat Pos Bagan Dalam, dijangka dimulakan pada bulan Mac 2000 dan Pakej 3 dari NBCT ke Pekan Bagan Ajam, dan Pakej 4 dari Bagan Ajam ke persimpangan Lebuhraya Utara Selatan di Sungai Dua dijadualkan pada suku tahun ketiga tahun 2000. Projek ini dijangka siap pada tahun 2002.


Kembali