MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Apakah polisi Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kampung-kampung warisan di negeri ini. Mengapa pernyataan perancangan pengekalan kampung warisan dalam Rancangan Struktur Negeri tidak dilaksanakan.
Dun -
Exco
Perkara Pembangunan

Jawapan
Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP) yang menggariskan beberapa dasar untuk mengekalkan kawasan perkampungan sediada sebagai kampung tradisional. RSNPP disediakan selaras dengan kehendak dan peruntukan Bahagian III Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Penyediaan RSNPP ini adalah untuk melengkapkan sistem perancangan fizikal di samping menterjemahkan dasar-dasar Rancangan Fizikal Negara (RFN). Ia juga bertujuan untuk menyelaraskan dasar-dasar Rancangan Pemajuan sedia ada di samping saling melengkapi perancangan pembangunan Negeri semasa dan masa hadapan. RSNPP merupakan satu dokumen penyataan bertulis yang mengandungi dasar-dasar perancangan strategik dan cadangan-cadangan pembangunan kegunaan tanah serta hala tuju perancangan pembangunan masa hadapan bagi Negeri Pulau Pinang.

Antara langkah yang digariskan dalam RSNPP untuk mengekalkan perkampungan tradisional adalah merujuk kepada Dasar Sektoral 33 L2 dan L3 antaranya dengan mengekalkan dan menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan awam dari masa ke semasa. Di samping- itu juga disarankan supaya usaha-usaha dan program-program menaiktaraf jalan, pengindahan dan landskap perlu mengekalkan ciri-ciri tradisi dan budaya setempat kampung perlu dilaksanakan secara berterusan. Penyediaan garis panduan bagi pemajuan dan penyusunan semula kampung-kampung tradisional akan diberi keutamaan bagi membolehkan pengeluaran hak milik berasingan tertakluk kepada pematuhan undang-undang tanah dan perancangan.


Beberapa buah perkampungan telah dikenalpasti dan disenaraikan dalam Dasar Sektoral 33 L1 bagi usaha ini adalah seperti berikut:

Bahagian Pulau

Kampung Seronok, Kampung Sungai Rusa, Kampung di Telok Bahang, kampung - kampung nelayan di Balik Pulau, Kampung Sungai Batu, Kampung Teluk Kumbar, Kampung Masjid Teluk Kumbar, Kampung Bukit Gemuroh, Kampung Kongsi, Kampung Paya Telok Kumbar, Kampung Paya Kongsi, Kampung Titi Teras, Kampung Perlis, Kampung Pondok Upeh, Kampung Kuala Sungai Pinang, Kampung Pantai Acheh, Kampung Sungai Pinang, Kampung Kuala Jalan Bharu, Kampung Sungai Korok, Kampung Bukit Bayan Lepas, Kampung Binjai, Kampung Permatang Tepi Laut, Kampung Genting dan Kampung Terang.

Seberang Perai

Kampung Cherok To' Kun, Kampung Machang Bubuk, Kampung Bukit Teh, Kampung Junjung, Kampung Alma, Kampung Baru, Kampung Bukit Minyak, Kampung Kuala Tasik, Kampung Teluk, Kampung Manggis, Kampung Tok Subuh, Kampung Bukit Kecil di Bukit Mertajam, Kampung Seri Kijang, Kampung Mengkuang Titi, Juru, Kampung Kota Aur, Kampung Pinang Tunggal, Kubang Menerong, Kampung Ara Kuda, Kampung Tasek, Kampung Besar (SPS), Kampung Sungai Acheh, Sg Gelugur, Kg Surau, Kg.Masjid Timah di Penanti.

Kerajaan Negeri sememangnya mengambil berat tentang pengekalan kampung warisan seperti yang telah disenaraikan di dalam RSNPP 2020. Walaubagaimanapun proses pengekalan, maklumat serta sejarah kampung dan pewartaan kampung beserta sempadan kampung dalam Rancangan Tempatan perlu dilaksanakan terlebih dahulu yang melibatkan jangkamasa yang panjang. Isu tanah dan kos pengambilan balik tanah turut terlibat terutamanya apabila melibatkan tanah berimilik. Pengekalan kampung ini juga melibatkan peruntukkan perundangan yang berbeza bagi setiap jabatan dan memerlukan penyelarasan dan persefahaman antara banyak pihak. Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti sempadan setiap kampung yang akan diwartakan sebagai kampung tradisional bagi merealisasikan hasrat RSNPP.
Kembali