MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Kesesakan trafik di Seberang Jaya menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Utara Selatan serta menuju ke arah utara amat teruk di waktu puncak (pagi dan petang). Apakah tindakan dan perancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengatasi masalah ini?
Dun -
Exco
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan
Tindakan dan perancangan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini adalah berikut:-
i) Pihak MPSP dengan kerjasama Unit Pengurusan Lalu Lintas, Bahagian Kerajaan Tempatan, PLUS dan USM telah menjalankan satu kajian trafik di persimpangan susur keluar Jambatan Pulau Pinang - Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar persimpangan Perai. Hasil daripada kajian tersebut, pihak PLUS telah melaksanakan penambahbaikan dengan menambah dan menyelaras semula lorong di lokasi tersebut. Pelaksanaan ini didapati telah memberikan aliran lalulintas yang lebih baik dan mengurangkan kesesakan di lokasi tersebut.
ii) Pihak MPSP juga telah menyelaras masa lampu isyarat di persimpangan Juru dan Bulatan Seberang Jaya dengan menggunapakai Sistem ‘Vehicle Actuated Traffic Demand’. Melalui penggunaan sistem ini keadaan trafik semasa di persimpangan tersebut dapat dikenalpasti oleh sistem, sekaligus sela masa hijau yang bersesuaian dengan ketetapan dapat diberikan. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masa kenderaan menunggu di persimpangan-persimpangan berkenaan, sekaligus memberi kelancaran trafik di Lebuhraya Utara Selatan.
iii) Kerajaan Negeri melalui JKR akan menaik taraf persimpangan di Bulatan Seberang Jaya menghala ke Sunway Carnival bagi mewujudkan free flow left turn yang akan dapat membantu mengurangkan kadar kesesakan di sana. Peruntukan telah pun diluluskan dan dijangka akan siap sepenuhnya awal tahun hadapan (Mac 2015).
iv) Bagi perancangan jangka masa panjang pula, yang melibatkan LLM & PLUS khasnya terdapat beberapa cadangan projek pembinaan jalan baru iaitu :-
a) Pembinaan North – South Expresway Link Road yang akan menjadi alternatif kepada laluan Lebuhraya Utara – Selatan sedia ada. Pembinaan Link Road ini masih lagi diperingkat kajian dan dicadangkan pada tahun 2025
b) Cadangan pembinaan “by pass” dari Juru Autocity ke Bulatan Seberang Jaya. Perkara ini telah dipanjangkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk kajian terperinci. Status terbaru LLM ialah masih dalam kajian dan perbincangan lanjut mengenai kaedah pelaksanaannya.
c) Cadangan pembinaan jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Utara – Selatan susur Seberang Jaya ke Lebuhraya Butterworth – Kulim.



Disediakan Oleh: Hasnah Sulaiman (012-443 2112)
Disemak oleh : Mohd Lokman Hakim Bin Syed Sultan (017-4779796)
Kembali