MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Huraikan dengan data yang terperinci isu-isu dihadapi transgender (termasuk mak nyah dan pak nyah) sebagai genderisme spectrum. Apakah polisi dan strategi kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Gender Equality untuk menanganinya?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Istilah “transgender” merujuk kepada individu yang sedar bahawa ciri-ciri fizikal dan biologinya berbeza dengan identiti gender dalam mindanya. Mengikut Persatuan Psikiatri Amerika (American Psychiatric Association), “gender dysphoria”, sejenis gangguan mental-emosi, sering berlaku kerana stres dan diskriminasi yang dialami oleh individu transgender kerana keadaan fizikal dan biologi mereka tidak selari dengan identiti gender mereka dari segi mental. Reaksi dan layanan negatif yang sering diterima oleh golongan “transgender” daripada masyarakat sekeliling memburukkan lagi keadaan.

Transgender adalah golongan minoriti dalam masyarakat kita. Di Malaysia, data kuantitatif untuk bilangan “transgender” tidak mudah diperolehi. Walau bagaimanapun, golongan transgender boleh dikatakan sebagai minoriti kerana setakat 2001, terdapat sebuah kajian daripada Profesor Teh Yik Koon yang menyatakan anggaran “transgender” (mak nyah) di Malaysia adalah di sekitar 10,000 orang. Bilangan sebenar transgender (termasuk golongan "pak nyah") dianggarkan jauh lebih banyak daripada angka tersebut berdasarkan pelbagai laporan media dan sebagainya.

Data terperinci berkenaan golongan “transgender”, terutamanya data berbentuk kuantitatif, tidak mudah diperolehi kerana ramai individu transgender hidup dalam ketakutan dalam keadaan yang tertutup dan kurang tampil ke hadapan untuk bersuara. Pada September 2014, kumpulan hak asasi manusia antarabangsa “Human Rights Watch” menerbitkan sebuah laporan yang berjudul “Human Rights Abuses Against Transgender People in Malaysia” yang mengetengahkan isu diskriminasi dan keganasan yang dialami oleh golongan ini di Malaysia. Pada Januari 2014, Human Rights Watch telah menjalankan kajian di empat buah negeri di Malaysia iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang, dan juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sejumlah 66 individu telah ditemuduga untuk kajian ini, termasuk 42 orang “mak nyah”, 3 orang “pak nyah”, dan wakil-wakil daripada pelbagai agensi termasuk NGO yang terlibat dalam mengendalikan isu ini.

Data tentang bilangan “pak nyah” kurang jelas secara perbandingan kerana golongan ini kurang diberi perhatian ataupun kurang “visible” berbanding “mak nyah”.

Hakikatnya, sepertimana yang terkandung dalam laporan Human Rights Watch tersebut juga, golongan transgender sering tertindas dengan keganasan dan diskriminasi sosial, termasuk keganasan fizikal dan seksual yang berterusan, risiko tangkapan dan tahanan yang tinggi, kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan, bantuan dan pinjaman, tahap pendidikan rendah dan kekurangan peluang pekerjaan atas dasar identiti gender mereka.

Umpamanya, masalah yang jelas timbul apabila transgender perlu dimasukkan ke wad hospital atau lokap, untuk pihak berkuasa mahupun transgender itu sendiri. Ketiadaan garispanduan yang jelas menyebabkan prosedur yang tidak jelas atau seragam, dan tindakan yang diambil bergantung kepada budibicara pegawai yang berkenaan yang mungkin kurang peka atau prihatin. Seringkali, “mak nyah” dimasukkan ke bahagian lelaki. Ini membawa kepada risiko keganasan fizikal dan seksual yang jauh lebih tinggi. Di hospital pula, mereka didedahkan kepada keadaan yang sangat tidak selesa di kalangan pesakit lelaki, misalnya apabila terpaksa menukar pakaian atau pergi ke tandas.

Kajian pada tahun 2002 yang melibatkan 507 orang “mak nyah” di Malaysia mendapati bahawa 54% daripada mereka menganggap diri sebagai pekerja seks (ex workers) dan 92% daripada mereka telah menerima bayaran untuk melakukan perhubungan seks sekurang-kurangnya sekali. Sesetengah mereka terpaksa menjalankan kerja seks atas dasar diskriminasi dalam pekerjaan dan kekurangan kerja dan peluang ekonomi dalam sektor-sektor lain. Ada juga yang diperdagangkan (trafficked) ke dalam industri seks.

Berkenaan Jawatankuasa Gender Equality yang dicadangkan oleh YB Tanjung Bunga, pada Julai 2013 iaitu tiga sidang DUN yang lalu, Pihak Kerajaan telah memohon persetujuan dan kerjasama daripada pihak pembangkang dan lain-lain wakil Dewan yang mulia ini supaya sebuah jawatankuasa dapat ditubuhkan untuk mengkaji isu ini dengan teliti.

Jawatankuasa untuk mengkaji masalah yang dihadapi oleh transgender yang akan dipengerusikan oleh YB Tanjung Bunga sendiri, dengan tujuan untuk memulakan perbincangan tentang garispanduan yang harus diterimapakai untuk mengelakkan keganasan dan penindasan terhadap kaum “transgender” terutamanya di lokap dan hospital. Terdapat cadangan supaya jawatankuasa tersebut mewujudkan satu pusat memberi kaunseling dan nasihat kepada “transgender”, dan supaya jawatankuasa tersebut digunakan sebagai platform untuk menerangkan isu HIV/AIDS.
Kembali