MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Jelaskan apa yang sebenarnya berlaku kepada penduduk dan pemilikan tanah Kampung Mutiara, Batu Feringghi. Apakah bentuk bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk membela penduduk disitu. Apakah pendirian dan polisi Kerajaan Negeri bagi kes-kes seumpamanya yang melibatkan pengusiran keluar dari kampung asal, tanpa pampasan dan lain-lain perkara berkaitannya.
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
i) Penduduk Kampung Mutiara menetap di atas Lot 37,38,39,40,41 dan 42 Seksyen 1, Bandar Batu Feringgi, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Luas keseluruhan lot-lot ini ialah 12.139 ekar dan penduduk berdaftar lot ini adalah seperti di lampiran A yang bukan merupakan hakmilik rumah. Pemilik lot-lot tersebut adalah seperti di Lampiran A.
ii) Oleh kerana ianya melibatkan pemilik rumah yang mendiami tanah persendirian masalah ini adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri memandangkan Kerajaan Negeri tidak mempunyai locus standi untuk campur tangan. Oleh itu hanya mahkamah boleh membuat keputusan mengenai kes antara tuan tanah dan penduduk. Kerajaan Negeri akan akur atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
iii) Dalam kes sebegini bagi tujuan pembangunan tanah persendirian ini yang melibatkan perpindahan setinggan, Kerajaan Negeri akan mengenakan syarat supaya pemaju mengambilkira pemberian pampasan kepada setinggan atau mengambilkira program penempatan setinggan. Malangnya kerajaan negeri tidak ada sebarang peranan atau kuasa mempengaruhi penyelesaian “win-win” di antara penduduk dan tuan milik tanah kerana tidak ada sebarang permohonan pembangunan kepada MPPP. Kerajaan negeri hanya boleh mengarahkan ADUN atau Pegawai Penyelaras KADUN mengaturkan peguam untuk penduduk. Ini adalah hakikat undang-undang. Maka siapa tuan milik tanah sebenarnya belum dikenal pasti lagi. Menyelesaikan kepada isu setinggan akan dijadikan syarat semasa permohonan kelulusan Pelan Kebenaran Merancang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pada kebiasaannya pihak pemaju akan memberikan akujanji bahawa mereka akan menyelesaikan isu setinggan mengikut kaedah mereka sendiri dan tanpa menyelesaikan isu setinggan kelulusan pelan kebenaran merancang tidak akan dipertimbangkan. Namun begitu bagi Kampung Mutiara setakat ini Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang permohonan kebenaran merancang dari pemilik tanah tersebut.
Disediakan oleh : Puan Siti Zuraida Binti Napi
Disemak dan diluluskan oleh : YBhg. Dato' Abu Jamal Bin Nordin
Kembali