MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 8. Bolehkah Y.A.B. Ketua Menteri memberitahu Dewan ini kesan Projek Outer Ring Road (PORR) kepada penduduk-penduduk di Air Itam, Pulau Pinang. Sila nyatakan: (a) Berapakah luar/dimensi dan skop PORR yang akan dijalankan di Air Itam. (b) Berapakah bilanan rumah dan keluasan tanah yang akan dibeku/diambi alih danjuga terlibat dengan projek PORR.
Dun -
Exco YB. TIMBALAN KETUA MENTERI
Perkara Pembangunan

Jawapan
Dato’ Speaker, saya mohon untuk menjawab bersama-sama dengan soalan No. 19 ADUN Datok Keramat, No. 35 ADUN, Kawasan Sungai Pinang dan No. 56 ADUN Kawasan Pengkalan Kota.

Dato’ Speaker, untuk memberi satu gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh mengenai projek PORR ini, saya ingin memberi satu ringkasan sejarah berkenaan dengan projek ini untuk makluman Dewan ini.

Satu kajian mengenai lalu lintas dan pengangkutan bagi Negeri Pulau Pinang telah diadakan pada tahun 1981 oleh Japan International Cooporation Agency (JICA) yang menghasilkan satu laporan, Urban Transport Study in Greater Metropolitan Areas of Georgetown, Butterworth and Bukit Mertajam yang sekarang dikenali sebagai kajian JICA. Dalam kajian tersebut telah dicadangkan bahawa untuk menyuraikan isi padu lalu lintas atau traffic volume yang dijangka akan meningkat selepas siapnya pembinaan jambatan Pulau Pinang. Satu lingkaran luar Pulau Pinang atau PORR hendaklah dilaksanakan sebagai satu penyelesaian jangka masa panjang.

Konsep PORR yang dicadangkan oleh JICA merangkumi tiga segmen lebuh raya yang dijangka akan disambung menjadi satu lingkaran ataupun ring.

Segmen yang pertama ialah Lebuhraya Pantai dari Jambatan Pulau Pinang ke Pengkalan Weld di Pusat Bandaraya yang sekarang dikenali sebagai Lebuhraya Jelutong.

Segmen yang kedua ialah Jajaran Lebuhraya dari Jambatan Pulau Pinang melalui lereng bukit di belakang Island Glades dan Island Park ke Air Itam dan seterusnya ke Tanjong Tokong.

Segmen yang ketiga meliputi satu lagi lebuh raya pantai dari Tanjong Tokong ke Pusat Bandaraya Georgetown.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada masa itu secara prinsipnya telah menerima hasil cadangan JICA ini sebagai pelan jangka masa panjang. Walau bagaimanapun dalam tahun 80-an cadangan PORR ini tidak dilaksanakan kerana kekurangan kewangan kerajaan akibat kemelesetan ekonomi khasnya pada tahun 1985 hingga 1986. Kerajaan negeri pada tahun 1987 hingga 1988 cuba menswastakan segmen Lebuhraya Jelutong tetapi tidak berjaya.

Pada awal tahun 90-an kerajaan negeri sekali lagi mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan ketiga-tiga segmen bagi PORR ini. Pada waktu itu, telah dipersetujui bahawa kerajaan negeri sendiri akan cuba melaksanakan segmen Lebuhraya Jelutong manakala Kerajaan Persekutuan adalah dipertanggungjawabkan ke atas segmen yang kedua dan yang ketiga yang sejak waktu itu dikenali dengan PORR secara berasingan daripada Lebuhraya Jelutong.

Selanjutnya selepas beberapa percubaan kerajaan negeri memutuskan untuk menswastakan pembinaan Lebuhraya Jelutong melalui proses tender dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan. Tender itu telah diberi kepada Jelutong Development Sdn. Bhd. melalui surat niat pada 7 April 1995 dan perjanjian penuh pada 22 April 1997 dan fasa 1 Lebuhraya Jelutong kini telah mencapai tahap 62% pelaksanaannya.

Pada tahun 1995, Kerajaan Persekutuan telah mulai merancang pelaksanaan projek PORR di mana satu peruntukan sebanyak RM10 juta telah disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-6 untuk kerja jajaran dan reka bentuk secara terperinci oleh pakar runding Jabatan Kerja Raya (J.K.R.). Walau bagaimanapun, selaras dengan dasar penswastaan negara Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menswastakan pelaksanaan projek ini pada tahun 1996 dan Syarikat Peninsular Metro Work Sdn. Bhd. (PMWSB) telah dipilih oleh Kerajaan Persekutuan sebagai syarikat pemaju projek ini kerana PMWSB merupakan syarikat yang pertama mengemukakan cadangan pelaksanaan penswastaan projek PORR kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Pada 14 Ogos 1997 satu surat niat telah dikeluarkan oleh EPU untuk melantik PMWSB sebagai pemaju dan syarikat konsesi. Persetujuan secara prinsip ini adalah tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat perjanjian penswastaan yang sedang dirunding dan akan ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dengan PMWSB. PMWSB juga telah diberi kebenaran untuk terus melaksanakan kerja-kerja jajaran dan reka bentuk di bawah pengawasan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Akan tetapi selepas surat niat perundingan mengenai perjanjian dan kerja jajaran tidak berjalan dengan lancar akibat daripada kegawatan ekonomi yang melanda negara ini pada penghujung tahun 1997, hampir semua projek penswastaan dan projek swasta sendiri di seluruh negara termasuk projek PORR dan Lebuhraya Jelutong di Negeri Pulau Pinang telah menghadapi masalah pendanaan kewangan ataupun financial funding oleh institusi-institusi kewangan.

Pada penghujung 1979 apabila ekonomi negara dan sistem kewangan mulai pulih PORR berjaya di aktifkan semula dan kerajaan persekutuan bersetuju bahawa projek PORR boleh diteruskan. Walau bagaimanapun, penetapan jajaran ini diantara PMWSB, LLM dan kerajaan negeri pula mengambil masa yang agak panjang kerana beberapa sebab lain seperti berikut:-

1. Usaha yang diambil untuk mengurangkan dan mengelakkan seberapa banyak yang boleh pemotongan cerun bukit yang mempunyai kesan alam sekitar. Disamping itu, kerajaan negeri itu telah menegaskan dalam beberapa sesi perbincangan untuk mengurangkan seberapa banyak yang boleh penempatan semula rumah-rumah dan tempat-tempat ibadat yang akan mempunyai kesan sosial.

2. Oleh kerana segmen dari Tanjong Tokong ke Georgetown melibatkan tebus guna tanah, maka timbul masalah penyelarasan kawasan tebus guna tanah di antara PORR ini dengan projek tebus guna tanah Tanjong Tokong yang telah diswastakan pada Tanjong Pinang Development Sdn. Bhd. sejak pertengahan tahun 90. Projek Tanjong Pinang Development Sdn. Bhd. ini juga terbengkalai kerana kegawatan ekonomi.

3. Pindaan juga dibuat baru-baru ini ke atas jajaran PORR di kawasan Bandaraya Georgetown agar tidak menjejaskan kawasan pelabuhan serta kawasan Padang Kota dan Pengkalan Weld termasuk bangunan-bangunan yang mempunyai nilai kesan dan sejarah.

Mengikut jajaran yang telah dihasilkan setakat ini pembinaan Lebuhraya PORR melibatkan pembinaan jalan sepanjang 17 km dengan pakej A di bahagian pendalaman sepanjang 12 km dan Pakej B bahagian pantai sepanjang 5 km. Pakej A bermula dari Jambatan Pulau Pinang dan merentasi Kampong Kastam, Island Glades, Bandar Baru Air Itam, Padang Tembak, Taman Jesselton, Taman Belia, Jalan Bagan Jermal dan berakhir di Persiaran Gurney, sementara pakej B pula bermula dari Tanjong Tokong menuju ke selatan mengikut sempadan tepi pantai Persiaran Gurney dan seterusnya berakhir di Persimpangan Jalan Pangkor.

Perlaksanaan projek PORR ini dijangka melibatkan 76 buah rumah persendirian. Selain daripada itu kira-kira 30 buah rumah setinggan dan 70 buah kuarters kerajaan juga adalah terlibat. Selain itu lot 403 seluas 3.91 ekar di kawasan Kelab Lumba Kuda juga akan terjejas dengan projek PORR ini. Ia melibatkan 2 buah kandang kuda, 2 buah rumah kakitangan, sebuah bangsal, satu (1) pam air dan sebahagian padang belajar menunggang kelab tersebut. Jumlah pampasan yang perlu dibayar pada mereka yang terjejas akibat projek ini sedang berada di peringkat pengiraan dan penyelarasan.

Dato’ Speaker, kajian environmental impact assessment (EIA) bagi projek PORR telah dilaksanakan oleh Syarikat Esa Juruteran Perunding Sdn. Bhd. pada tahun 1996. Berdasarkan kajian EIA tersebut, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan laporan EIA pada tahun 1996 tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Jabatan Alam Sekitar juga telah menetapkan tempoh sah laporan diterima pakai adalah selama dua (2) tahun dari tarikh kelulusan laporan EIA tersebut. Oleh itu syarikat pemaju dikehendaki melantik pihak yang berkenaan untuk menyediakan kajian dan laporan EIA berdasarkan kepada rancangan dan ulasan Jabatan Alam Sekitar ke atas laporan EIA yang telah dijalankan dan diluluskan pada tahun 1996. Sekarang satu pameran sedang dianjurkan bersama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PMWSB bertempat di Kompleks Penyayang. Butir-butir mengenai jajaran PORR dan bangunan-bangunan yang terlibat boleh diperolehi daripada pamiran tersebut dan saya tidak bercadang untuk menghuraikan satu persatu secara terperinci dalam Dewan ini.

Kerajaan Persekutuan telah memutuskan PORR dilaksanakan secara bina kendali dan pindah ataupun built, operate and transfer (BOT). Di bawah konsep BOT ini syarikat konsesi dikehendaki membina dan membiayai sebahagian besar kos projek tersebut. Sebagai balasan syarikat konsesi yang akan ditetapkan dibenarkan mengurus mengoperasi mengutip tol bagi satu tempoh konsesi yang ditetapkan.

Dato’ Speaker, kos pelaksanaan projek PORR dianggar dalam lingkungan lebih kurang RM1.0 billion yang merangkumi kos pembinaan lebuh raya dan kos pengambilan tanah. Dalam konsep asalnya untuk mengawal kadar tol supaya tidak terlalu tinggi syarikat yang berkenaan akan diberi hak untuk menebus guna tanah dan memajukan projek-projek hal tanah untuk menampung sebahagian kos pelaksanaan projek PORR. Walau bagaimanapun, selepas kegawatan ekonomi pulangan daripada pembangunan hal tebus guna tanah merupakan satu pulangan yang akan mengambil masa yang lebih panjang. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsipnya untuk menampung kos pengambilan tanah kerana apabila berakhirnya tempoh konsesi PORR sama-sama dengan tanah yang diambil alih tersebut akan diserahkan kembali kepada pihak kerajaan.

Di samping itu, dalam perundingan dengan syarikat konsesi bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga telah menegaskan pendiriannya supaya kadar tol diletakkan pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan para pengguna PORR. Hasil daripada perundingan ini telah dipersetujui secara prinsip bahawa bagi setiap segmen lebuh raya akan diadakan plaza tol seperti berikut:-

1. Atas jajaran PORR berdekatan dengan Taman Delima bagi segmen dari Jambatan Pulau Pinang ke Air Itam – (dua hala);

2. Plaza tol berhampiran Taman Belia bagi laluan bagi Air Itam ke Bagan Jermal, ini pun (dua hala);

3. Plaza tol berdekatan kawasan tebus guna tanah bagi Tanjong Tokong bagi laluan Bagan Jermal ke Tanjong Tokong (dua hala);

4. Plaza tol berdekatan Persiaran Gurney bagi laluan dari Bagan Jermal ke Jalan Pangkor Georgetown (satu hala sahaja).

Kutipan tol yang dicadangkan pada asalnya RM1.70 bagi satu hala di tiap-tiap plaza tol tetapi telah dikurangkan kepada RM1.00 hasil maklum balas dan penegasan daripada kerajaan negeri selepas beberapa kali bermesyuarat dengan PMWSB, LLM dan Unit EPU

Lebuhraya PORR adalah merupakan lebuh raya lencongan ataupun by pass bertol yang bakal memberikan keselesaan dan tempoh perjalanan yang lebih pantas kepada para pengguna jalan raya di Pulau Pinang. Namun begitu para pengguna telah bebas untuk membuat pilihan mereka sendiri sama ada untuk menggunakan PORR ataupun memilih menggunakan jalan utama yang sedia ada untuk pergi ke destinasi mereka.

Untuk mengawal kadar tol Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah merancang dengan Kerajaan Persekutuan telah juga bersetuju secara prinsipnya untuk memindah milik pada syarikat tersebut 6 tapak tanah kerajaan negeri yang berjumlah seluas 76.6 ekar yang bernilai lebih kurang RM200.0 juta. Sebagai balasan syarikat konsesi akan menyerah balik pada kerajaan negeri tanah tebus guna sebanyak 75 ekar selepas tanah tersebut ditebus guna kelak. Ini tidak termasuk tanah lapang yang lain mengikut keperluan rancangan.

Lokasi dan keluasan 6 tapak tanah kerajaan negeri adalah seperti berikut:-

Jalan Peel 6.4 ekar
Jalan Grove 16.5 ekar
Jalan Lahat 8.4 ekar
Jalan Scotland 6.9 ekar
Jalan Jesselton 3.6 ekar
Jalan Sultan Azlan Shah 34.8 ekar

Jumlahnya 76.6 ekar

Pada masa ini, perundingan draf perjanjian konsesi bagi pelaksanaan projek tersebut di antara EPU Jabatan Perdana Menteri dan PMWSB adalah di peringkat terakhir. Pada masa yang sama berdasarkan kepada perjanjian konsesi tersebut satu perjanjian akan juga ditetapkan dan ditandatangani di antara kerajaan negeri dan PMWSB mengenai peruntukan dan tanah kerajaan negeri pada PMWSB penyerahan balik tanah tebus guna oleh PMWSB kepada kerajaan negeri. Projek PORR dijangka akan dimulakan pada pertengahan tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh 3 setengah tahun setelah perjanjian ditandatangani iaitu dari tarikh mula kerja pembinaan itu. Dato’ Speaker....(gangguan).

Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng):

Soalan tambahan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan, Kawasan Air Itam.

Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng):

Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan tambahan, bolehkah YB. Telok Bahang memberitahu nama dan alamat bagi tuan punya rumah atau punya tanah yang terlibat dengan projek PORR, kalau boleh senaraikan nama dan alamat yang terlibat.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, sebenarnya nama-nama yang diminta oleh Y.B. Air Itam, sorry, lot nombor adalah tersenarai di pameran sebenarnya dan kalau Yang Berhormat daripada Air Itam perlu di dalam Dewan ini maka saya perlu notis untuk mendapatkannya.

Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng):

Dato’ Speaker, sebenarnya pameran dalam Kompleks Masyarakat Penyayang pameran tidak boleh dapat nama dan alamat tuan rumah atau tuan tanah. Bolehkah senarai dan jelaskan kepada tuan rumah dan tuan tanah yang betul-betul terlibat. Itu yang saya minta saja.

Timbalan Ketua Menteri:

Seperti yang saya sebut tadi, saya perlu notis untuk mendapatkan nama tiap-tiap penghuni yang terlibat dalam jajaran ini.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Soalan tambahan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan Batu Lancang.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Dato’ Speaker, memandangkan Projek Lebuhraya Jelutong telah mengambil masa selama lebih kurang tujuh tahun untuk disiapkan. Saya rasa projek PORR mungkin mengambil masa yang sama atau lebih kerana projek ini mengamalkan konsep yang sama iaitu cross subsidy. Adakah kerajaan boleh menentukan projek ini akan siap dalam tiga setengah tahun dan soalan yang lain mengapakah kerajaan negeri tidak dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat lebih kurang RM1 bilion, sedangkan Kerajaan Negeri Kedah bulan lepas baru dapat RM1 bilion untuk melaksanakan jalan raya di sana dan bolehkah kerajaan negeri mempamerkan jajaran yang lebih teliti di mana tempat yang berkenaan seperti adakah kubur sebanyak 50 buah di Batu Gantung terlibat. Terima kasih.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, tadi saya memberitahu Dewan ini bahawa projek ini adalah projek Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, cuma di Jelutong ExpressWay. Kalau kita bandingkan kedua-duanya sekali Jelutong ExpressWay ia tidak dapat langsung apa-apa bantuan bentuk tunai daripada Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri. Tetapi kes ini kes PORR ia mendapat bantuan Kerajaan Pusat untuk pengambilan balik tanah yang 60 ekar yang perlu diambil untuk jalan ini, makna sudah ada sokongan kewangan daripada Kerajaan Pusat dan bagi pihak kerajaan negeri kita juga menyokong dengan memberi tanah sebanyak 36.6 ekar yang boleh dibangunkan segera, untuk menampung kos ini. Saya yakin projek ini berdaya maju dan dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang disebut tadi.

Yang keduanya tentang peruntukan Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Pusat telah beri sebahagian untuk ini dan selainnya banyak jalan-jalan yang bertol, ianya cuma mendapat sebahagian sahaja daripada Kerajaan Pusat dan tidak mendapat sepenuhnya ini yang sebenarnya berlaku. Sekarang ini kita boleh berunding buat appeal dengan Kerajaan Pusat tetapi masih lagi terpulang kepada Kerajaan Pusat sama ada nak memberi keistimewaan kepada Pulau Pinang dalam perkara ini.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Soalan saya mengenai jajaran belum jawab lagi.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, jajaran telahpun saya kira almost hampir telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk PMWSB, LLM dan kerajaan negeri dan seperti yang saya sebut tadi jajaran mengelakkan seboleh-bolehnya rumah terutamanya terlampau banyak sangat dalam perumahan sama ada persendirian atau pihak kerajaan dan ianya memakan masa jajaran dan juga design dalam enam bulan lagi boleh siap semua kalau ikut apa yang diperakukan diberitahu oleh pihak pemaju syarikat konsesi jajaran dan design sekali gus akan siap dalam masa enam bulan selepas ditandatangani. Kubur memang ada, 50 buah kubur yang terlibat di kawasan Padang Tembak memang ada.

Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng):

Batu Gantung saja.

Timbalan Ketua Menteri:

Bukan Padang Tembak, Batu Gantung sorry.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan Datok Keramat.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Terima kasih Dato’ Speaker. Rakyat jelata sangat memerlukan pembinaan PORR oleh sebab ia akan jadi satu isu untuk kesesakan jalan dan ini adalah cadangan JICA dari tahun 1981. Tetapi saya rasa ramai penduduk Pulau Pinang tidak akan menerima caj tol oleh sebab satu ketika Y.A.B. Ketua Menteri telah membuat satu janji, kalau saya salah boleh semak hansard rekodnya ialah kelewatan projek PORR salah satu sebabnya ialah kerajaan negeri hendak mencari satu kontraktor yang boleh menjalankan kerja ini tidak melibatkan tol dan dalam sejarah Pulau Pinang tidak tol yang dibayar dalam pulau untuk jalan oleh sebab ini saya harap kalau boleh dalam proses perundingan. Bolehkah isu tol ini diselesaikan oleh sebab ini jadi satu halangan untuk orang ramai menerima projek ini. Projek ini baik tetapi tol jadi satu halangan untuk orang ramai menerima satu projek yang begitu istimewa. Terima kasih.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, Dalam Dewan ini sudah tiga kali penggal ketiga saya tidak ingat sama ada tidak pernah dengar dan tidak ingat Ketua Menteri bercakap bahawa untuk Penang Outer Ring Road dikecualikan daripada tol, yang saya ingat cuma Jelutong ExpressWay yang dikecualikan daripada tol memang telahpun dirancangkan daripada awal supaya tidak ada tol. Saya ingat Y.B. Datok Keramat tidak berapa adillah, kalau di sebelah Seberang Perai kita terima tol, di sebelah sini tidak terima tol, bagaimana pula orang Seberang Perai akan merasa pula. Jadi bagaimanapun kita cuba kurangkan tol kepada angka yang munasabah. Seperti yang saya sebut tadi daripada awal mereka cadang untuk caj RM1.70 sen satu tetapi sekarang kita kurangkan kepada RM1.00. Jadi satu kadar yang munasabah dan kalau kita bandingkan keistimewaannya ialah menjimatkan masa kita berulang melalui Jambatan Pulau Pinang sampai ke Tanjong Tokong misalnya menjimatkan masa dan syarikat mengurangkan heart attack di kalangan kita. Itulah saja Dato’ Speaker.

Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):

Soalan tambahan.

Dato’ Speaker:

Ya, Ahli Kawasan Bayan Lepas.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Terima kasih, Dato’ Speaker. Apa saya hendak tanya kepada Ahli Kawasan Telok Bahang ialah mungkin saya dengar projek sebenarnya projek Kerajaan Pusat dan oleh sebab itu apa sebabnya Pulau Pinang mesti bertanggungjawab dari segi memberikan enam keping tanah yang bernilai lebih kurang RM200 juta. Kalau saya tidak silap kepada pihak concessionary dan untuk saya jika ini ialah suatu projek oleh Kerajaan Pusat mungkin ia jalan raya atau PORR akan jadi satu diklasifikasikan sebagai satu highway sebab ia dalam tajuk LLM dan sebagai highway mungkin ia ada catatkan syarat-syarat atas jalannya. Contohnya atas penyelenggaraan selepas dibangunkan dan atas isu jalan masuk ke jalan ini melalui jalan-jalan raya jalan negeri dan jalan majlis dan mungkin ini akan menjadi satu isu. Saya tidak tahu saya nak tanya, adakah kita bincang isu-isu ini dan termasuk dalam syarat-syarat dengan Kerajaan Pusat dan tanggungjawab atas concessionary atau kontraktor saya rasa oleh sebab projek ini federal mungkin kita tidak terlibat dalam campur tangan atas apa yang telah dipersetujui di antara pihak pusat dengan concessionary. Tapi apa saya hendak tahu oleh sebab ini kes macam projek federal bukan projek negeri apa sebab kita akan terlibat untuk memberi sumbangan kepada concessionary.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, saya sudah sebut perkara ini bahawa tujuan kerajaan memberi tanah enam keping tanah itu yang berharga lebih kurang RM200 juta adalah kerana kita mahu tol itu dikurangkan kepada satu tahap yang munasabah RM1.00 daripada RM1.70 pada awalnya. Jadi sebab itu kita bagi tanah itu dan akhirnya selepas tanah ditebus guna dalam laut kita akan dipulangkan balik sebanyak 75 ekar bermakna kita dapat balik tanah yang beri mula kita dapat balik. Selain daripada tanah-tanah yang lain, tanah lapang sebagainya juga akan diberi kepada kerajaan akan diganti semula oleh pihak concession dan jalan ini adalah seperti yang saya sebut tadi dibuat secara built operate and transfer kerana selepas masa concession itu tidak tahu berapa tahun mungkin tiga puluh tahun jalan dan juga tanah-tanah yang telah diberi itu akan dipulangkan balik kepada kerajaan dan kita dapat semua baliknya tanah ganti dan jalan pun dapat balik dan saya kira itu tidak merugikan kita dan di samping kita memudahkan perjalanan untuk di sebelah pulau dan sebenarnya Dato’ Speaker ada empat Plaza Tol dan ada lapan interchange bermakna interchange ini mengambil kira kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk dan mereka boleh access masuk ke dalam jalan ini dan memudahkan perjalanan mereka.

Dato’ Speaker:

Ya, Pengkalan Kota.

Ahli Kawasan Pengkalan Kota (Y.B. Enck Lee Hack Teik):

Terima kasih, Dato’ Speaker. Projek PORR adakah pratikal baik untuk selesai kesesakan trafik Pulau Pinang dan bagi penduduk-penduduk Pulau Pinang berbanding dengan Jelutong Express (JE) saya rasa PORR lebih panjang 17 km panjang tetapi kalau JE cuma 5 km dari JE Interchange dengan izin sampai Gurney Drive 4km – 9km saja lebih laju lebih cepat kalau berbanding dengan PORR dan PORR kalau ikut pelan saya ada bawa. Tengok dia punya bukan straight ini pusing kiri pusing kanan, lengkok tidak pratikal. Projek ini sudah dicadangkan 20 tahun dahulu sebelum JE dilancar. Soalan saya ada pratikal baik kepada rakyat Pulau Pinang, kalau tidak ada lebih dibatalkan. No. 1, berbanding dengan JE, JE pun boleh dapat tol free atau dikecualikan bayaran tol, mengapa PORR tidak boleh, kita mesti merayu kepada Kerajaan Persekutuan atau kontraktor yang berkaitan. Soalan kedua adakah cukup pampasan bagi rumah yang terjejas oleh PORR.

Soalan ke-2, adakah cukup pampasan bagi rumah yang dijejaskan, terjejaskan oleh you. Soalan Nombor 3 ucapan Tuan Yang Terutama tersebut lebih baik kita buat L.M.T. Y.A.B. Ketua Menteri memberitahu , saya baru tahu. Kalau buat PORR, lebih baik buat L.M.T. lebik baik ada praktikal untuk kita, rakyat Pulau Pinang. Terima Kasih.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker saya hendak bertanya Y.B. Pengkalan Kota, distance ini pendek atau panjang. Dato’ Speaker, tentulah benda yang dirancangkan itu untuk kebaikan, kalau dia mendatangkan keburukan kita tidak perlu buat. Kita telah buat kaji, kerajaan telah kaji, Lembaga Letrik Negara (LLN) sudah kaji, Kerajaan Pusat sudah kaji dan JIKA pun telah kaji sebab ini adalah baik untuk rakyat Pulau Pinang, tambahan sekali dibahagian pulau. Sebab itu kita setuju untuk membina, yang jadi bengkang bengkok. Jalan yang menjadi bengkang-bengkok kerana kita hendak mengelak, tidak mahu terkena banyak sangat perumahan, tidak mahu terkena banyak tanah perkuburan dan tidak mahu potong bukit yang banyak. Kita elak semuanya sebab itu menjadi bengkang-bengkok menjadi 17 km. Betullah macam Y.B. Pengkalan Kota kata tadi yang paling dekat ialah melalui pantai, tetapi kita ada masalah lain pula. Masalahnya ialah ia akan menjejaskan kawasan warisan kita, Padang Kota terlibat, dulu memang ada cadangan jalan itu sampai ke Padang Kota masuk, bawah Padang Kota, masuk bawah Esplanade dan terus masuk ke jam besar. Tetapi, bila kita bincang semula ini memang satu perkara yang saya kira merosakkan, merugikan kawasan warisan kita tapi kita elak dan kita, laluan itu telah menjadi pendek hingga ke Jalan Pangkor sahaja kerana kita tidak mahu menjejaskan bila ada jalan di situ dia juga boleh menjejaskan pelabuhan Pulau Pinang. Tapi kita cuba elak dan saya kira jajaran yang sekarang adalah terbaik, di antara yang telah dicadangkan.

Dato Speaker pampasan yang kita, saya sebut tadi bahawa pampasan, masih dalam perkiraan dan saya kira tentulah kita hendak beri yang terbaik untuk mereka yang terlibat.

Mengenai dengan LMT kerajaan memang mengakui bahawa dengan membina PORR sahaja tidak mencukupi untuk menguraikan kesesakan lalu lintas di dalam bandar Georgetown. Kita perlu ada sistem-sistem yang lain seperti LMT, the train car, Monorail ada dan ini kita sedang bincang, banyak kali bincang dan belum ada keputusan yang muktamad tentang apakah bentuk transport lain untuk menyokong jalan raya yang kita bina ini. Maknanya kita hendak juga selain membina jalan ini kita juga ada sistem yang lain untuk menyuraikan trafik kita di seluruh Georgetown dan kawasan-kawasan yang berdekatan. JE pendek dan kos ini cuma dalam lebih kurang RM300 juta sahaja dan boleh combine strait dengan pembinaan projek-projek pembangunan di persekitaran kawasan-kawasan itu, maka di buat pembangunan development. Hasil itu bina jalan, itu mencukupi. Tetapi PORR ini kos ini hampir RM1 billion. Jadi memang kalau kita hendak mengunakan keadah yang sama ianya mungkin tidak dapat dijalankan sebab kita perlu kaedah-kaedah yang lain sedikit daripada JE. Terima kasih Dato’ Speaker.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Soalan tambahan.

Dato’ Speaker:

Ada lagi, Batu Lancang.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Dato’ Speaker, saya di fahamkan iaitu di Jalan Gottlieb ada dibuat elevated jalan raya . Kalau di sana boleh buat elevated, mengapa Jalan Mesjid Negeri tidak boleh buat, kalau Jalan Mesjid Negeri boleh buat, saya rasa kosnya lebih kurang daripada yang akan di laksanakan untuk PORR dan juga di Jalan Paya Terubong juga akan membuat elevated. Saya rasa yang dimana jalan raya yang ada kesesakan lalu lintas, kita boleh selesaikan dengan membuat elevated.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, itu pun sebenarnya kita bincang juga, ada pihak-pihak tertentu , kawan-kawan kita yang mencadangkan supaya kita membuat elevated highway macam Y.B. Batu Lancang cadang tadi, elevated Highway melalui Jalan Masjid Negeri dan seterusnya ke mana pula? Jalan Gottelib memang meliputi elevated Highway dan saya sebut tadi elevated Highway ikut Jalan Masjid Negeri.

Memang juga kita mempertimbangkan tapi nampak juga tidak pratikal juga kerana ia boleh merosakkan banyak kawasan termasuk pokok-pokok yang 100 tahun itu akan rosak, kalau kita buat mesti kena tebang pokok-pokok tersebut. Melalui jalan-jalan yang memang cukup cantik destruction merosakkan, memusnahkan kawasan-kawasan yang saya kira pendukung alam sekitar tidak akan bersetuju, jalan yang terbaik pergi kebelakang sedikit dan cuba elakan, yang disebut tadi bukit-bukit jangan di potong banyak sangat dan rumah yang banyak sangat terkena dan sebagainya. Ini lebih baik daripada kita buat jalan terus begitu, Jalan elevated Highway melalui Jalan Masjid Negeri dan terusnya ke Jalan Scotland Road lepas itu ke mana pula. Ini kita hendak melibatkan kawasan yang cukup cantik, dan dalam alam persekitaran yang cukup baik, jadi hendaklah kita elakkan.

Dato’ Speaker:

ADUN Penanti.

Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):

Soalan tambahan saya ialah ada 2 soalan.

1. Ada pameran mengenai dengan PORR di Komplek Masyarakat Penyanyang, tapi sayangnya cuma ada pamerannya sahaja tidak ada pegawai ataupun orang yang bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pihak-pihak yang terlibat. Mengapa? Kita tidak letakkan pegawai ataupun orang yang bertanggungjawab untuk memberi penerangan kepada persoalan ataupun pertanyaan-pertanyaan yang kurang jelas yang dikemukakan ataupun yang dihadiri oleh pihak-pihak yang terlibat.

2. Soalan yang ingin saya tahu, tadi Y.B. Telok Bahang mengatakan bahawa sumbangan kerajaan negeri merupakan tanah yang bernilai RM200 juta dan disebabkan itulah bayaran tol yang dicadangkan RM1.70 telah di turunkan kepada RM1.00 dan adakah ini sehingga tanah itu diganti semula balik kepada kerajaan negeri, baru bayaran tol ini ditetapkan kepada RM1.00 ataupun ada satu period atau satu jangka masa yang tol ini akan dinaikkan daripada RM1.00 atau disemak semula untuk dinaikkan daripada RM1.00 kepada satu jumlah, kerana kita tahu tol di lebuh raya ataupun tol-tol seperti BKE dan sebagainya yang dijanjikan bahawa harga tol tidak akan dinaikkan semasa diberi concession atau diswastakan.

Tetapi apabila sampai masa satu ketika maka tol ini akan dinaikkan pula. Ini akan membebankan kepada rakyat Pulau Pinang. Dua soalan ini saya ingin tahu Y.B. Telok Bahang.

Timbalan Ketua Menteri:

Pameran sedang dijalankan dan tarikh tempohnya telah disambungkan hingga 27 Mei. Mengenai dengan pegawai yang tidak ada di situ, jadi kita meminta pihak LLM menyediakan pegawai, setakat ini saya tidak nampak, mendengar ada pegawai, kita akan mengingatkan pihak LLM supaya meletakkan pegawai sekurang-kurangnya seorang untuk menjawab pertanyaan jika ada.

Tentang tol ini, Dato’ Speaker, seperti saya sebut tadi dari peringkat awal RM1.70 sekarang dikurangkan kepada RM1.00, ini pun dengan perundingan EPU dan modal kewangan yang telah bawa begitulah RM1.00 sekarang dan setakat ini tidak disebut sama ada tol ini akan di naikkan atau tidak tetapi pihak kerajaan negeri, kita mahu pendirian tol ini ditetapkan kepada tahap RM1.00., kerana ini adalah projek Kerajaan Pusat, kita kena berunding kerajaan dengan EPU mengenai perkara hendak ditetapkan tol kepada kadar RM1.00 ataupun dinaikkan. Tetapi pendirian kita ialah untuk cuba kekalkan tol kepada tahap RM1.00 satu Tol Plaza.

Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir.

Saya ingat soalan saya tidak terjawab tadi. Soalan saya tadi berdasarkan kepada penjelasan Y.B. Telok Bahang mengatakan daripda RM1.70 diturunkan RM1.00 adalah disebabkan sumbangan kita sebanyak RM200 juta, maka itu kita beri sumbangan merupakan tanah yang bernilai RM200 juta. Jadi kita hendak tahu sama ada RM1.00 ini, sehingga tanah ini dikembalikan atau kita dapat ganti balik tanah ini ataupun pada satu period yang ......(gangguan).

Timbalan Ketua Menteri:

Sebenarnya RM1.00 ini dari mula lagi, bukan nanti dibayar ganti balik tanah, baru kita hendak di caj RM1.00. Daripada awal lagi RM1.00 bukan hendak mula RM1.70 dan diturunkan RM1.00. Itulah yang saya disebut tadi, pendirian kita ialah kita perlu berunding dengan EPU kerana ini projek Kerajaan Pusat. Setakat ini pendirian kita ialah tetapkan RM1.00 berterusan jadi kita kena bincang dan beri pendapat kita kepada EPU. Saya tidak berani kata di dalam Dewan ini, bahawa semestinya RM 1.00 berterusan. Kita sentiasa akan berunding dengan EPU tentang perkara ini. RM1.00 dan pendirian kita hendak teruskan RM1.00 itu. Kita perlu lihat juga dari segi pertambahan kenderaan, bertambahan banyak lebih kurang 5% pada tiap-tiap tahun. Jadi, itupun faktor yang perlu diambil kira juga. Jadi hari ini saya tidak boleh memberi jaminan mesti RM1.00 berterusan daripada awal hingga akhir konsesi, insya-Allah akan terus berunding dengan pihak UPU dalam perkara ini.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Soalan Tambahan.

Dato’ Speaker:

Satu lagi ya.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Dato, Speaker, nampaknya, bukan pendirian Kerajaan Persekutuan meletakkan tol. Cadangannya ialah Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Harganya ialah untuk mendapatkan 70 ekar tanah yang bernilai RM200 juta. Saya pun tidak tahu ini untuk apa dan kalau boleh kita menyerahkan isu tanah ini dan menerima apa yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu tidak payah tol. Oleh sebab tol tidak popular, ini akan membebankan komuter dan pengguna-penggunanya.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, kalau kita tidak mahu caj tol, maknanya kita cari jalan lain untuk subsidize hendak pastikan projek ini berjaya maju dan mesti kena cari kaedah lain. Saya tidak nampak kita beri tanah lebih banyak dari itu, sekarang ini kita sudah beri tanah 76.6 ekar, kita bagi banyak lagi, kita tidak ada tanah yang sesuai untuk kita beri kecuali bukit. Bukit buat apa.

Sebenarnya pihak Kerajaan Persekutuan yang tetapkan RM1.70, kita peringkat negeri consent dengan kemampuan penduduk tempatan. Jadi kita beruding dan subsidize dengan tanah dan kita bagi juga hak rights untuk hendak tebus tanah, supaya tol ini dapat dikurangkan dan sekarang ini pun dapat dikurangkan dan dapat tidak kena tol jugalah tidak ada jalan lain. Kalau kita tidak mahu tol, mungkin projek ini tidak jadi ......(ketawa)....(gangguan).

Dato’ Speaker:

Ya...Bayan Lepas

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Saya hendak tanya satu soalan. Selepas dengar jawapan tambahan. Mengenai isu yang dibangkitkan Ahli Kawasan Telok Bahang. Bila kita hendak rancang buat Jelutong Express atau JE, kita boleh dapat memulihkan kos dari segi pembangunan di sekeliling dan dari konsesi pembangunan di kawasannya kepada concessionaire. Tetapi dalam kes PORR saya rasa aspek ini boleh digunakan. Saya hendak tanya adakah kerajaan negeri mengkaji dari segi kos untuk membangunkan PORR. Oleh sebab itu saya hendak rujuk kepada perancangan PORR dalam proses title. Bila JICA menjalankan proses trafik pelan untuk Pulau Pinang, PORR ialah satu Ring Road System. Dari segi proses perancangan Ring Road kita tahu ialah untuk trafik yang boleh dikatakan tidak masuk kepada kawasan-kawasan bandar . Untuk divert traffic out of the City dengan izinnya Dato’ Speaker. JICA pun tidak kita mesti ada tol . Apa yang saya hendak tanyakan disini, ialah jika kita ada tol highway itu jadi satu private property yang jadi boleh dikatakan dengan izin pecahkan tanah atau severent kepada tanah-tanah lain. Contohnya jika kita hendak bangunkan tanah di satu side of jalan kita mesti ada masalah. Oleh sebab kalau kita hendak cross jalan itu akan jadi susah dan isu-isu ini kepada penduduk negeri kita akan jadi satu masalah yang besar. Apa sebabnya, bila kerajaan negeri kaji projek ini, contohnya sekarang kita boleh dapat RM200 juta daripada 76 ekar tanah, kita sudah dapat 20% of the cost. Dari segi reklamasi, contohnya di Gurney Drive yang Ahli dari Telok Bahang kata 3 kilometer atau 5 kilometer mungkin sana kita pun dapat banyak tanah dari proses reklamasi. Itu pun ada nilai dan dari segi cost financing daripada projek-projek mengikut apa yang di sentuh oleh ahli dari Telok Bahang, saya rasa kita boleh cover back at least 50% atau 60% kos untuk membina jalan. Mungkin sumbangan daripada Kerajaan Pusat, saya rasa kita boleh buat jalan ini, tidak gunakan tol pun dan saya bukan kata apa tetapi kita perlukan jalan ini untuk manfaat rakyat, ini yang penting. Seperti apa yang kita sentuh, saya rasa ini bukan masalah jika kita boleh dapat mengutip balik berapa banyak peratus dari segi kos dan tinggalkan sedikit. Saya rasa Kerajaan Pusat boleh memberi sebagai grant atau lain-lain dan kita boleh mengatasi masalah ini dan saya tidak nampak keperluan kita tidak dapat. Soalannya, betulkah apa sebab kita tidak perlu memberi konsesonari di mana tol kena di charge untuk kesulitan pengguna-pengguna jalan di negeri kita.

Timbalan Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, daripada apa yang diperkatakan oleh Y.B. Bayan Lepas, kita semua faham bahawa Yang Berhormat juga bersetuju bahawa jalan ini adalah mustahak sebagai satu jalan by-pass. Jadi, makna trafik daripada selatan daripada jambatan ataupun daripada Bayan Lepas hendak pergi ke Tanjung Bunga, dia ada jalan by-pass. Apa yang disebut oleh ahli daripada Bayan Lepas dengan izin it is easier said than done sebabnya Dato’ Speaker kita bagi hak tebus guna tanah, hendak reclaim tanah laut that cost, sekarang pasir pun bukan banyak sangat, hendak tebus guna tanah kena cost, bukan sedikit, beratus juta mungkin kosnya. Lepas itu hasilnya kita hendak jual tanah itu, mungkin tidak ada orang hendak beli, jadi kita tidak mahu tanggung risiko itu, kewangan negeripun bukan kuat sangat, kalau kita ada reserve 1 bilion mungkin, tetapi reserve kita sedikit sangat dan kita tidak boleh mengambil risiko itu. Lebih baik kita ikut seperti kehendak Kerajaan Pusat. Kita buat penswastaan dan bila tol ini sekurang-kurangnya ada pilihan seperti yang saya sebut tadi, kalau penduduk Pulau Pinang tidak mahu guna jalan ini, dia ada alternatif lain bukan dia tidak ada langsung jalan, boleh jalan, jalan lama boleh, dia makan masa panjang sedikit, risiko kepada kesihatan dan sebagainya. Tetapi dengan cara jalan tol jalan by-pass ini dia makan masa beberapa minit sahaja daripada Jambatan Pulau Pinang ke Tanjong Tokong, dia makan masa 10 minit, amat pendek dan cukup selesa dan kita rasa masa yang dijimatkan kita boleh balik ke rumah, ada quality time dengan keluarga dan sebagainya, kita kena ambil kira ini semua.

Dato’ Speaker, kaedah yang telahpun dibincang selama ini bertahun-tahun saya ingat setakat ini yang terbaik. Terima kasih Dato’ Speaker.

Dato’ Speaker:

Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Sengaja saya bagi perbincangan ini panjang sedikit supaya semua puas hati walaupun ada yang mungkin tidak puas hati seberapa banyak yang boleh. Y.B. Sungai Pinang tidak ada apa-apa yang hendak tanya, ada, terima kasih. Soalan berikutnya ada juga.

Ahli Kawasan Sungai Pinang (Y.B. Encik Looi Swee Cheang):

Ada, yang ini saya bimbang dengan tol. Tol kali pertama di perkenalkan di Pulau Pinang saya rasa dahulu kata mungkin kurang daripada RM1.00 sekarang sampai RM1.00 saya bimbang. Sekarang RM1.00 lepas itu dia naik pula, jadi saya hendak tahu RM1.00 ini sampai bila. Kalau sehingga akhirnya konsesonari, tidak apalah kita terima, jangan sampai 5 tahun. Kalau itu kita minta kurangkan sampai RM0.50 sen cukuplah.

Timbalan Ketua Menteri:

Saya tidak tahu Yang Berhormat daripada Sungai Pinang dia cakap Pulau Pinang. Pulau Pinang itu di mana? Saya ingat seluruh yang kita faham Pulau Pinang, seluruh negerilah di sana Jalan Plus sudah kena tol, Jambatan tol, ini sambung sedikit tollah, Pulau Pinang juga. Kalau Balik Pulau tidak payah tollah.

Kembali