MESYUARAT KEEMPAT PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Bahawa dewan ini meluluskan usul untuk membantah kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang yang dijangka akan naik 10% pada akhir tahun ini serta menunaikan janji yang telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk melebarkan Jambatan Pulau Pinang.
Dun -
Exco TKM
Perkara -

Jawapan
1. Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13.5 km telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 28 September 1985. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengurus dan memungut tol di Jambatan Pulau Pinang.

2. Pada tahun 1993, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menswastakan pengurusan Jambatan Pulau Pinang. Satu Perjanjian Konsesi Jambatan Pulau Pinang untuk tempoh 25 tahun bermula 1993 - 2018 telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Syarikat Mekar Idaman Sdn Bhd, anak syarikat United Engineers (Malaysia) Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Utara Selatan pada masa itu.

3. Antara terma dalam perjanjian konsesi tersebut ialah mengenai kutipan tol di mana pemegang konsesi dibenarkan mengutip tol pada kadar yang telah ditetapkan dalam Perjanjian seperti berikut:-

Kelas 1 - RM1.40 (motosikal)
Kelas 2 - RM7.00 (kereta)
Kelas 3 - RM12.00 (lori,van, bas 4 tayar 2 gandar (axles)
Kelas 4 - RM25.00 (lori,van dan bas, 6 tayar 2 gandar)
Kelas 5 - RM45.00 (kenderaan 3 gandar
Kelas 6 - RM60.00 (kenderaan 4 gandar)
Kelas 7 - RM75.00 (kenderaan 5 gandar atau lebih)

4. Kadar tol ini adalah sama dengan kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1985. Mengikut Perjanjian, pemegang konsesi perlu memohon untuk menaikkan kadar tol tersebut setiap 5 tahun sekali pada kadar 2% setahun bermula Oktober 1998.

5. Memandangkan kerajaan negeri bukan merupakan pihak yang menandatangani Perjanjian Konsesi tersebut, maka sebarang permohonan untuk menaikkan tol atau apa saja perkara yang melibatkan terma Perjanjian konsesi akan dirundingkan di antara pemegang konsesi dan Kerajaan Persekutuan. Oleh yang demikian, pihak pemegang konsesi tidak pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk menaikkan kadar tol Jambatan Pulau Pinang.

6. Pada tahun 1998, pemegang konsesi telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10%. Kerajaan negeri pada masa itu telah mengemukakan bantahan kepada Kerajaan Persekutuan atas alasan seluruh negara sedang mengalami kegawatan ekonomi yang teruk dan sebarang kenaikan tol akan memberi kesan yang besar kepada rakyat Pulau Pinang khususnya yang menggunakan jambatan setiap hari.

7. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan pandangan kerajaan negeri dan memutuskan untuk tidak membenarkan kenaikan tol sebaliknya membayar pampasan berjumlah RM41.7 juta kepada pemegang konsesi.

8. Pada bulan Ogos 2003, pihak pemegang konsesi telah sekali lagi memohon untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10%. YAB Ketua Menteri telah memaklumkan kepada YB Menteri Kerja Raya pandangan kerajaan negeri bahawa walaupun pihak pemegang konsesi berhak untuk menaikkan tol mengikut terma-terma dalam Perjanjian Konsesi, tetapi Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji pendapatan pihak pemegang konsesi sebelum sebarang kelulusan mengenai kenaikan tol dibuat. Selain daripada itu, Kerajaan Persekutuan juga perlu melihat kepada terma Perjanjian yang memperuntukkan bahawa pemegang konsesi perlu menaik taraf Jambatan Pulau Pinang.

9. Berdasarkan cadangan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menangguhkan cadangan menaikkan kadar tol bagi mengkaji aspek seperti bilangan kenderaan yang menggunakan jambatan, jumlah kutipan tol, kos penyelenggaraan dan cadangan menaiktaraf Jambatan Pulau Pinang.. YB Menteri Kerja Raya memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa keputusan mengenai kenaikan tol ini akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas kajian ini dijalankan.

10. Kerajaan negeri berpendapat, adalah wajar untuk memberikan sedikit masa lagi bagi membolehkan kajian tersebut disiapkan. Walau bagaimanapun, terma dalam Perjanjian tersebut adalah jelas iaitu sekiranya Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengenakan kadar tol yang lebih rendah daripada kadar yang telah dipersetujui dalam Perjanjian, Kerajaan Persekutuan perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi sebagaimana yang telah dilakukan pada tahun 1998.

CADANGAN PELEBARAN JAMBATAN PULAU PINANG

11. Kerajaan negeri tidak pernah berjanji untuk melebarkan Jambatan Pulau Pinang kerana Perjanjian Konsesi Jambatan Pulau Pinang melibatkan Kerajaan Persekutuan, maka sewajarnya sebarang keputusan untuk melebarkan Jambatan Pulau Pinang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

12. Walau bagaimanapun, pada tahun 1998, akibat kesesakan yang semakin teruk berlaku di atas Jambatan Pulau Pinang, kerajaan negeri telah mencadangkan agar beberapa alternatif dikaji. Antara alternatif yang dicadangkan ialah :-
(i). meneruskan pembinaan Jambatan Kedua; atau
(ii). melebarkan Jambatan Pulau Pinang kepada tiga lorong sehala; atau
(iii). membina lorong motosikal dan pada masa yang sama meneruskan pembinaan Jambatan Kedua.
YAB Ketua Menteri sendiri telah menulis surat kepada YAB Perdana Menteri pada bulan November 1998 mencadangkan agar laluan motosikal dibina segera bagi mengatasi masalah kesesakan Jambatan Pulau Pinang. Tambahan pula, kesan kepada trafik akibat pembinaan laluan motosikal ini lebih minima berbanding opsyen membina lorong tambahan. YAB Perdana Menteri bersetuju supaya Kementerian Kerja Raya mengkaji cadangan ini. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, pihak Kementerian Kerja Raya lebih menumpukan kepada cadangan pembinaan Jambatan Kedua sebagai opsyen mengatasi kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.

13. Pada bulan Januari 2004, satu perbincangan telah diadakan antara YAB Ketua Menteri dan pengurusan kanan syarikat pemegang konsesi Jambatan Pulau Pinang. Pihak pemegang konsesi memaklumkan bahawa kajian mengenai pelebaran Jambatan Pulau Pinang telah disiapkan dan diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk diteliti. Kerajaan negeri telah meminta agar kajian tersebut dibentangkan kepada kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

14. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, kerajaan negeri berpendapat usul yang di bawa oleh ADUN Kawasan Batu Lancang adalah tidak mengambilkira semua faktor berkaitan isu tol dan pelebaran jambatan secara keseluruhan. Adalah ditegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berbincang dengan pihak Kerajaan Persekutuan dan pemegang konsesi mengenai semua perkara yang melibatkan Jambatan Pulau Pinang dan kerajaan negeri yakin Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian terhadap pendirian kerajaan negeri dalam isu kenaikan tol dan pelebaran jambatan ini.

Saya dengan ini memohon agar usul ini ditolak.






MAKLUMAT TAMBAHAN

JUMLAH KENDERAAN YANG MENGGUNAKAN JAMBATAN PULAU PINANG
Sebenar Jangkaan

Tahun 2000 - 18.5 juta 11.9 juta

Tahun 2001 - 19.3 juta 12.6 juta

Tahun 2002 - 19.6 juta 12.6 juta


JUMLAH KUTIPAN TOL (SULIT)

Sebenar Jangkaan

Tahun 2000 - RM115.0 juta RM79.8 juta

Tahun 2001 - RM109.0 juta RM84.1 juta

Tahun 2002 - RM115.0 juta RM88.6 juta









Kembali