MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Penanti (Tuan Haji Daud bin Taha) bertanya kepada Ketua Menteri: 6. Adakah kerajaan mempunyai suatu dasar pembangunan di kawasan tadahan air dan di sekeliling loji-loji air?
Dun -
Exco KETUA MENTERI
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan



Dato' Hj. Abdul Rashid bin Abdullah:

6. Kerajaan Negeri sememangnya telah mempunyai dasar pembangunan di kawasan tadahan air dan di sekeliling loji-loji air. Untuk bahagian pulau dasar ini diterjemahkan di dalam Rancangan Tempatan Bukit Bendera dan Rancangan Struktur Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Di dalam Rancangan Struktur Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1987, langkah-langkah untuk membendung masalah pembangunan di kawasan tadahan air telah digariskan dengan menentukan kawasan yang sensitif dari aspek alam sekitar (termasuk kawasan tahan air). Pemajuan di dalam kawasan-kawsan ini tidak digalakkan dan jika dibenarkan akan dirancang dengan amat teliti dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar mestilah dikemukakan dan diluluskan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (Pindaan), 1985 sebelum pemajuan boleh diberikan kebenaran merancang.

Di samping itu, Pelan Dasar Perancangan dan Kawalan Pemajuan Majlis 1996 juga telah menggariskan satu dasar untuk pemajuan di tanah bukit dan simpanan hutan, yang juga melibatkan kawasan tadahan air atau terletak di sekitar loji-loji air, untuk kawasan tanah bukit dibenarkan 1 unit bagi satu lot dan pecah sempadan lot tidak dibenarkan. Kerja tanah dan pemotongan pokok tidak dibenarkan tanpa kelulusan Majlis. Untuk kawasan simpanan hutan cuma kegunaan-kegunaan yang mengikut Ordinan Hutan N.S. Bab 147 sahaja dibenarkan. Majlis Perbandaran Pulau Pinang juga telah menyediakan Rancangan Tempatan Bukit Bendera untuk mengawal pembangunan di kawasan tersebut. Bagi kawalan pembangunan di Seberang Perai pula adalah menerusi dasar-dasar yang dinyatakan di dalam Rancangan Struktur Seberang Perai, yang telah menggariskan bahawa kawasan hutan-hutan dan tadahan air tidak dibenarkan untuk pembangunan.



Kembali