MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG YANG KEDUABELAS 21 JULAI 2008 PERKARA : 5(B)(XVIII)6 SOALAN BERTULIS OLEH AHLI KAWASAN PAYA TERUBONG YB. TUAN YEOH SOON HIN 6. Bangunan KOMTAR merupakan lambang Negeri Pulau Pinang. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menaik taraf KOMTAR dan menjadikan KOMTAR sebagai simbol dan kebanggaan rakyat Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco KM
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan
JAWAPAN OLEH YAB KETUA MENTERI

6. Pihak PDC sememangnya menyedari akan kemerosotan KOMTAR ini dan sedang berusaha untuk memastikan pemulihan KOMTAR agar kegemilangan KOMTAR dapat dikembalikan.

Punca utama kemerosotan yang dialami oleh KOMTAR ialah penutupan operasi 2 penyewa utama (anchor tenant) di blok Podium iaitu Super KOMTAR dan Parkson (Aktif Lifestyle/Yaohan) selain daripada faktor usia bangunan KOMTAR itu sendiri yang boleh dikatakan agak berusia jika dibandingkan dengan kompleks-kompleks membeli-belah yang lain.

Dalam usaha untuk menghidupkan kembali bangunan KOMTAR, pihak PDC telah menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan KOMTAR di peringkat kerajaan negeri yang kini dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Ng Wei Aik, ADUN KOMTAR, Wakil dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), MPPP, JKR, JPBD dan juga anak-anak syarikat PDC adalah dijemput untuk membantu merancang pemulihan KOMTAR.


Kini, jawatankuasa ini juga akan menjemput pakar-pakar dan konsultan luar yang berminat untuk turut sama menyumbang idea dan pandangan mereka untuk sama-sama merancang ke arah pemulihan KOMTAR.

Manakala di peringkat dalaman PDC pula, satu Jawatankuasa Pengubahsuaian KOMTAR juga telah dibentuk bagi melaksanakan perancangan projek-projek fizikal seperti kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih serta penggantian item-item mekanikal dan elektrikal di beberapa bahagian di Blok Menara, Blok Podium dan kawasan perkarangan serta luaran KOMTAR yang dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Selain daripada itu, pihak PDC juga telah melantik perunding hartanah iaitu Henry Butcher Malaysia (Penang) Sdn. Bhd. (Henry Butcher) untuk menjalankan Kajian Pemulihan KOMTAR. Kajian ini merangkumi pengenalpastian terhadap punca dan faktor-faktor yang menyebabkan kemerosotan KOMTAR dan seterusnya mencadangkan strategi, langkah serta pendekatan yang boleh diambil bagi memulihkan KOMTAR.

Tambahan daripada itu, pihak PDC juga telah melantik firma perunding arkitek iaitu Veritas Architects Sdn Bhd (Veritas Architects) untuk menjalankan kajian perancangan semula kawasan ruang terbuka di Rooftop Tingkat 5 , kawasan lapang, lanskap di sepanjang Jalan Dr. Lim Chwee Leong dan juga tapak Fasa 5, KOMTAR yang akan dibangunkan dengan sebuah taman perbandaran (urban park) untuk melengkapi (transportation hub) yang dicadangkan di Fasa 5, KOMTAR.

Dalam usaha mengatasi masalah kekosongan ruang (anchor tenant) ini, usaha yang giat telah dilakukan oleh PDC. Setelah berusaha beberapa lama, maka PDC akhirnya pada 4 Jun 2007 telah berjaya mengetepikan Perintah Penghalangan di mahkamah yang dipohon oleh Super KOMTAR pada 9 Mac 2005, di bawah Seksyen 176(10), Akta Syarikat 1965. Susulan daripada itu, PDC telah mendapatkan kembali milikan kosong (vacant possession) ke atas ruang Super KOMTAR pada 27 September 2007, apabila kedua-dua pihak iaitu PDC dan Super KOMTAR merekodkan Penghakiman Persetujuan (Consent Judgement) di mahkamah.

PDC juga turut melantik Henry Butcher memasarkan ruang-ruang (anchor tenant) ini kepada pihak-pihak yang berminat. Daripada sejumlah syarikat berpotensi yang didekati oleh Henry Butcher, akhirnya The Store iaitu salah sebuah rangkaian pasaraya yang terbesar di Malaysia, telah memberikan pengesahan yang ia bersetuju untuk menyewa ruang Super KOMTAR. Kini, kedua-dua pihak PDC dan juga The Store sedang dalam proses untuk memuktamadkan perundingan penyewaan yang berkaitan.

Dalam masa yang sama, pihak PDC telah menerima beberapa pertanyaan daripada banyak pihak yang turut berminat untuk menyewa ruang Parkson yang mana kini sedang diteliti kesesuaiannya.

PDC berharap jika sekiranya ruang-ruang (anchor tenant) ini dapat diisi kembali oleh rangkaian pasaraya/departmental store maka ianya akan dapat menarik kembali pengunjung ke KOMTAR. Apabila semakin ramai pengunjung dapat ditarik kembali, maka secara langsung akan turut memberikan kesan postif ke atas lot-lot kedai yang lain di dalam KOMTAR.

Pada masa yang sama, pihak PDC juga sememangnya menyedari tentang faktor usia bangunan KOMTAR yang memerlukan PDC menjalankan kerja-kerja pemulihan untuk bangunan KOMTAR dari segi fizikal.

Dalam hubungan ini, banyak kerja-kerja yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan sedang dalam perancangan.




Antara kerja-kerja yang telah dilaksanakan termasuklah pembaikan repeater, walkie talkie dan antenna, penggantian fire rated cable, penggantian rubber gasket dan pencucian panel tingkap di Blok Menara dan juga kerja-kerja ubahsuai dan naik taraf tempat letak kereta di Aras 2, Blok Podium serta pengubahsuaian tandas-tandas awam di Aras 1 – 5, di Blok Podium.

Manakala kerja-kerja yang sedang dalam proses pelaksanaan termasuklah pengubahsuaian bus duct di Blok Menara, pemodenan lif (zon tinggi dan rendah) dan juga menaiktaraf pintu masuk di Lebuh Tek Soon (bersebelahan Maybank di Blok Podium) yang merangkumi kemasan lantai, dinding, siling, pencahayaan dan juga turut melibatkan lobi lif di Aras 1 dan 2 berdekatan laluan masuk tersebut.

Nilai kontrak bagi kerja-kerja di atas adalah sebanyak hampir RM16.0 juta. Butiran adalah seperti di lampiran A.

Antara kerja-kerja lain yang berada dalam peringkat perancangan ialah kerja-kerja pengubahsuaian kawasan bersama dalaman (internal common areas) di kawasan berdekatan Super KOMTAR/The Store), kerja-kerja menaik taraf keseluruhan kawasan konkos di aras 3 di blok podium, ruang terbuka (open space) di kawasan (Roof Top) aras 5, cadangan mewujudkan ‘urban park’ di tapak Fasa 5 KOMTAR, menambahbaik aksesibiliti ke KOMTAR dengan cara mewujudkan (pick up and drop off points) di kawasan tertentu seperti di Jalan Dr Lim Chwee Leong, memperbaiki kemudahan laluan ke ruang terbuka di (Roof Top) aras 5 serta naik taraf secara keseluruhan (siling, pencahayaan, kemasan lantai dan dinding) di Blok Podium termasuk Dewan (Geodesic Dome), cadangan (linkage) ke pembangunan Fasa 3, KOMTAR (dari ruang bekas Yaohan/Active Lifestyle), program penghijauan KOMTAR dan juga penambahbaikan keseluruhan aksesibiliti pejalan kaki untuk pembangunan KOMTAR secara keseluruhannya.
LAMPIRAN “A”


1. Ubahsuai Tandas 1-5 (Kontrak Nazmo) - RM 1,322,089.00

2. Walkie talkie and repeater - RM 22,600.00

3. Fire Rated Phase 2B - RM 179,460.00

4. Rubber Gaskett - RM 396,700.00

5. VIP Parking - RM 635,350.00

6. Bus Duct Menara KOMTAR - RM 2,998,905.50

7. Ubahsuai Lebuh Teck Soon - RM 1,530,735.00

8. Modernisation Lif - RM 8,600,000.00
________________
JUMLAH : * RM15,685,839.00
===========



* tidak termasuk Tandas VIP Tingkat 28, RM127,900.00





Kembali