MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Tolong senaraikan peratusan kemiskinan bandar dan luar bandar mengikut daerah dan bangsa dan apakah jenis pertolongan yang boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan ini mengikut tajuk pertolongan dan keperluan-keperluan yang patut diberikan bantuan.
Dun -
Exco PBP
Perkara Kajian

Jawapan
4. Hasil kajian kemiskinan di peringkat negeri dibezakan mengikut miskin dan miskin tegar kemudian dikategorikan kepada produktif dan tidak produktif bagi setiap daerah. Namun, untuk melihat kepada peratusan kemiskinan Bandar, dan luar bandar ia adalah berdasarkan persempadanan yang telah ditetapkan dan ianya dipantau oleh agensi-agensi di daerah masing-masing.

Daerah Seberang Perai Utara mempunyai empat orang miskin bandar dan 75 orang miskin luar Bandar. Daripada jumlah itu, 98% daripadanya adalah berbangsa Melayu dan 2% berbangsa Cina. Bagi Daerah Seberang Perai Tengah, golongan miskin bandar adalah seramai 46.84% dan luar bandar sebanyak 53.16%. Golongan miskin di daerah ini, 100% daripadanya adalah berbangsa Melayu. Manakala, di daerah Seberang Perai Selatan didapati seramai 6 orang dalam kategori miskin bandar dan 100 orang miskin luar bandar. Daripada jumlah berkenaan 78.3%, adalah berbangsa Melayu, diikuti dengan bangsa India sebanyak 20.8% dan 0.94% adalah berbangsa Cina. Bagi daerah Barat Daya, 100% golongan miskin adalah dalam kategori luar bandar dengan pecahan mengikut bangsa iaitu Melayu 92%, Cina 6% dan lain-lain 2%. Manakala bagi daerah Timur Laut pula didapati hanya Melayu sebanyak 95% dan bangsa India 5%.

Bagi membantu golongan ini menjalani kehidupan seharian dan mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan mengikut keperluan yang bersesuaian. Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya menyediakan bantuan kepada golongan tidak berkemampuan melalui pemberian bantuan bulanan kepada pemohon yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Antara kriterianya adalah :-

i) Pendapatan dibawah RM400.00 sebulan.

ii) OKU yang memerlukan.

iii) Orang terdampar.

iv) Orang papa.

v) Keluarga yang berkeperluan dan tidak berkemampuan (faktor-faktor lain semasa siasatan dijalankan ke atas setiap permohonan juga mengambil kira bilangan tanggungan dalam keluarga, keadaan rumah kediaman, umur penjaga atau ketua keluarga, tahap kecacatan dan keuzuran pemohon serta lain-lain aspek dalam keluarga).

Di peringkat daerah pula, bantuan-bantuan disalurkan melalui jawatankuasa pembasmian kemiskinan adalah seperti berikut:

i) Program Peningkatan Pendapatan (Pemberian Modal, Peralatan dan Kemahiran);



ii) Program Focus Group – Bancian semula Ketua Isi Rumah (KIR), Penglibatan semua Jabatan dalam Pembasmian Kemiskinan, Program Bantuan Baik- Pulih Rumah;

iii) Pemberian Rebat Air sebanyak RM100.00 – bagi golongan berpendapatan RM150.00 ke bawah; dan

iv) Memberi latihan dan pendedahan kepada anak-anak KIR secara percuma di bawah bimbingan Kolej Silicon Perai.

Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PBT. Di antara usaha-usaha yang telah dijalankan adalah seperti berikut:

i) Bantuan bayaran sewa rumah sebanyak RM124 sebulan atau kadar sebenar mengikut yang terendah;

ii) Bantuan bayaran sewa bilik sebanyak RM70 sebulan atau kadar sebenar mengikut yang terendah;

iii) Bantuan kemasukan ke sekolah termasuk pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis untuk setiap tahun atau bantuan one off kemasukan ke IPT sebanyak RM1000;

iv) Bantuan kos jagaan kanak-kanak/tadika/jiran/individu sebanyak RM200 sebulan;

v) Bantuan kos pengangkutan ke tempat kerja dan sekolah. Kadar bayaran adalah RM30 kepada pelajar dan RM50 kepada ibu yang bekerja;

vi) Bayaran kos rawatan dialisis buah pinggang;

vii) Bantuan latihan dan kemahiran beserta elaun RM150 sebulan semasa mengikuti latihan; dan

viii) Bantuan ihsan one off RM3000 untuk setiap keluarga miskin tegar dan RM2000 untuk keluarga miskin yang menepati kriteria-kriteria tertentu seperti musnah tempat kediaman, kematian ketua keluarga, hilang upaya akibat kemalangan dan diberhentikan kerja disebabkan masalah syarikat serta telah menganggur lebih dari 3 bulan.
Kembali